Rumah Fantasi ditubuhkan pada awal 2010 bertujuan untuk menghimpunkan semua penulis-penulis bergenre fantasi, thriller, sains-fiksyen dan seram. Usaha ini dilakukan untuk meningkatkan martabat penulisan berbentuk seperti ini dan saling berkongsi ilmu dan manfaat bersama. Apa yang diharapkan lebih banyak karya-karya seperti ini lebih mendapat tempat di pasaran buku Malaysia suatu hari nanti. Pengasas Bersama RF : Anita Aruszi, Farah Husain dan Zuliana Abuas.

Monday, January 30, 2012

The Curse Of White Lily: Tale 1


Seorang gadis sedang memerhatikan sebuah mansion berkonsep ala inggeris dari jarak seratus meter. Suasana di dalam mansion berkenaan meriah dengan bunyi muzik dan tetamu-tetamu yang hadir. Hari ini, merupakan hari jadi Datuk Bandar Accrapolis, Lord Henry yang ke enam puluh lima.
            Sedang asyik menari dengan isteri tercinta, Lord Henry dihampiri oleh seorang lelaki muda yang berpakaian serba hitam. Segera Lord Henry menyelit dengan pantas di celah-celah tetamu yang hadir menuju ke pejabat mini yang terletak di tingkat satu rumahnya apabila menerima perkhabaran yang kurang enak daripada Ben, setiausahanya.
            “Apa yang kau nak?” Lord Henry memandang rakan lamanya, Tuan Jun yang sedang duduk dengan santai sambil menikmati jus mangga di tangan.
            Lelaki ini sepatutnya sudah beredar semenjak seminggu yang lepas daripada negeri Accrapolis ini apabila sudah menerima habuan yang lumayan.
            “Jangan marah-marah. Duduk dahulu.” Tuan Jun mengukirkan senyuman sinis.
            Lord Henry segera melabuhkan punggungnya  berhadapan dengan Tuan Jun. Usai menyisip habis jusnya, Tuan Jun mengambil sekeping sampul surat daripada sebuah beg bimbit yang sedari tadi terletak di atas paha.
            Lord Henry memerhatikan sampul itu dengan pandangan curiga. Tuan Jun memberi isyarat agar Lord Henry melihat isi kandungan sampul surat bersaiz sederhana besar itu.
            Tuan Jun tersenyum sinis apabila melihat Lord Henry campak sampul surat itu dengan kasar ke atas meja.
            “Apa yang kau mahu?” Lord Henry merenung dalam ke dalam anak mata sahabatnya. Sahabat yang dikenali semenjak daripada zaman dia berjinak-jinak dengan politik.
            “Aku terima berapa sahaja yang kau nak bayar. Sebagai balasan, aku tak akan muncul di depan kau buat selama-lamanya.” Lord Henry menggamit Ben yang berdiri di belakangnya semenjak daripada tadi. Dia menadahkan tangan apabila setiausahanya itu mendekati.
            Sekeping cek berjumlah satu juta Ruby ditandatangani sebelum diserahkan kepada Tuan Jun.
            “Terima kasih. Aku akan pegang janji aku.” Tuan Jun menepuk bahu Lord Henry sebelum beredar.
            “Selesaikan dia. Sekali dia meminta, kelak dia akan meminta lagi.” Lord Henry menderam halus. Ben terus sahaja beredar apabila menerima arahan.
            Lord Henry kembali menatap dokumen yang dibawa Tuan Jun. Dokumen bukti bahawa dia melobi undi untuk menjadi Datuk Bandar Accrapolis.
            Segera dia bangun dan campak kesemua dokumen berkenaan ke dalam pendiang api yang terdapat di dalam pejabat mini itu.
***
“Bagaimana?” Summer bersuara setelah sekian lama memerhati mansion di hadapannya. Dia mengangguk sebelum melompat turun daripada pohon epal jenis rome beauty yang sedang masak dengan ranum.
            Bagaikan bayang, dia meloloskan diri masuk ke dalam mansion Lord Henry tanpa disedari oleh sesiapa pun.
            Lord Henry bangun dan mencapai alat kawalan jauh penghawa dingin yang terletak di atas meja kecil di tepi katil. Entah mengapa malam ini dia terasa panas sekali. Peluh di dahi dilap dengan tangan.
            Niat untuk berlayar ke alam mimpi terbantut apabila pintu balkoni di depannya terbuka. Terlukis kerutan di dahi lelaki berusia itu.
            ‘Angin barangkali.’ Desis hatinya. Dengan langkah yang berat, dia bangun, tutup dan mengunci pintu balkoni yang menghadap ke arah kawasan kebun epal seluas empat ratus ekar. Khuatir jika pintu balkoni itu terbuka sekali lagi.
            Tidur Lady Amelie terganggu apabila dia merasakan ada benda yang sedang menggelupur di sebelah. Hampir terbeliak biji mata Lady Amelie apabila melihat Lord Henry sedang mencekik batang leher sendiri dengan mata masih terpejam.
            “Sayang!” Lady Amelie berusaha menarik tangan Lord Henry daripada terus mencekik leher sendiri namun gagal. Panik dengan situasi itu, Lady Amelie lekas bangun dan menjerit meminta tolong.
            Selang beberapa saat kemudian, masuk beberapa orang pengawal peribadi Lord Henry ke dalam kamar tuan mereka.
            Namun tiada apa yang boleh dibuat apabila Lord Henry sudah kaku tidak bernyawa. Malam itu, suara tangisan kedengaran. Tangisan menangisi pemergian insan tersayang.
***
Dengan ditemani Archer, Summer masuk ke dalam sebuah bilik yang menempatkan sekujur tubuh lesu yang sudah beberapa tahun tidak bergerak.
            Summer melihat tubuh milik ibunya sedang terapung di udara. Sesekali, dia ternampak ada cahaya berwarna biru mengelilingi tubuh puan Selina. Dia hanya kaku berdiri di tepi pintu bilik ibunya sambil memerhatikan seorang lelaki sedang menjalankan upacara meditasi.
            Perlahan-lahan tubuh puan Selina kembali mendarat ke atas katil sebaik sahaja upacara meditasi tamat.
            “Macam mana?” Soalan pertama yang keluar daripada bibir lelaki yang mengubati ibunya sebaik sahaja lelaki itu usai melukis sesuatu di dahi puan Selina.
            Summer membuka telapak tangan kanan. Sebiji bebola sederhana besar berwarna merah muncul beberapa saat kemudian. Di Accrapolis, bebola itu dipanggil dengan nama Don. Bebola yang mengandungi roh manusia.
            “Aku suka bila kau laksanakan tugas kau dengan baik. Jangan lupa tugasan yang seterusnya mesti dilakukan dalam tempoh dua minggu.” Lelaki itu beredar sebaik sahaja dia mengambil Don di tangan Summer.
            Summer menghampiri puan Selina. Wajah wanita berusia 50-an itu kelihatan sedikit pucat. Terdapat lukisan white lily berukuran lima millimeter di dahi ibu. Lukisan yang juga berfungsi sebagai jampi supaya ibunya tidak bertindak diluar kawalan.
            “Archer.” Archer mengangguk sebelum menghilangkan diri. Summer menuju ke arah bilik air yang terdekat.
            Sebesen air dan sehelai tuala di ambil bertujuan untuk mengelap tubuh puan Selina.
            “Tolonglah…Tolonglah pulih dengan cepat…” Dengan perlahan dia menuturkan kata-kata itu. Dia tidak akan berputus asa untuk menyembuhkan puan Selina dengan apa cara sekalipun.

A/N: cerita ini diolah semula daripada black cat: the curse of white lily... Sebarang komen amat dihargai =) -Snow Queen

3 comments:

Anonymous said...

permulaan yg penuh dgn saspen..
best...

cmbg la cpt yer snow queen...
camner dgn citer black cat tu???
nak lg...

OkiE a.k.a WitcH said...

Snow, awak edit dr bab 1 sampai abis atau awak tukar tajuk aja?
tapi tetap best <3 penuh misteri...hehe

Snow_Queen said...

@anon: Tengs..Cter black cat tu diedit smula dan tjuk pn snow ubah jd the curse of white lily =)

Okie: edit smpai habis hehe..Tengs <3