Rumah Fantasi ditubuhkan pada awal 2010 bertujuan untuk menghimpunkan semua penulis-penulis bergenre fantasi, thriller, sains-fiksyen dan seram. Usaha ini dilakukan untuk meningkatkan martabat penulisan berbentuk seperti ini dan saling berkongsi ilmu dan manfaat bersama. Apa yang diharapkan lebih banyak karya-karya seperti ini lebih mendapat tempat di pasaran buku Malaysia suatu hari nanti. Pengasas Bersama RF : Anita Aruszi, Farah Husain dan Zuliana Abuas.

Tuesday, February 15, 2011

Stanza Terakhir: Bab 2

Di sebuah daerah terpencil di pinggir Sektor Zero...

Telatah seorang budak lelaki berusia empat tahun yang lincah berlari ke sana ke mari menggamit perasaan Selena. Di bawah pokok Oak yang menguning daun-daunnya, Selena memerhatikan gelagat budak lelaki berambut pendek itu berlari-lari berseorangan mengejar kumpulan rama-rama yang berterbangan di udara. Bibirnya menguntum senyuman pahit. Melihatkan keceriaan anak kecil itu hatinya dipagut rasa pilu.

Sepatutnya dia tidak berseorangan berlari-lari di taman bunga itu. Dia ingat lagi, satu masa dahulu ada seorang budak lelaki yang sering mengejar rama-rama seperti yang dilakukan oleh anak kecil itu. Ketika itu keadaannya berbeza dengan hari ini. Dia juga sering berada di bawah pokok Oak ini memerhatikan gelagat budak lelaki itu. Cuma bezanya ketika itu dia tidak berseorangan seperti hari ini. Ketika itu dia bersama ibunya menemani sepasang suami isteri yang berlari-lari bersama budak lelaki itu di taman bunga di hadapannya. Si suami akan mengendong anaknya di bahu sementara si isteri akan berada di sebelah suami dan anaknya. Gelak ketawa ceria akan kedengaran di segenap ruang taman sederhana besar itu.

Tanpa dia sedari, setitis air mata mengalir membasahi pipi. Cepat-cepat dia menyeka air mata itu apabila melihat budak lelaki itu berlari ke arahnya.

“Makcik Selena! Makcik Selena! Tengok ni...” Teriak Ean girang.

Selena terkedu. Sejambak bunga daisy liar berada di dalam genggaman anak kecil itu. Dia memang cukup maklum apa yang akan dikatakan oleh Ean sebentar lagi.

“Makcik, kita pergi jumpa mama ya? Ean rindulah!” Pinta Ean separuh merenggek.

Selena mencapai bunga daisy di tangan Ean. Melihat mata bundar dan wajah polos anak kecil itu membuatkan hatinya serba salah. Kalau tidak diikutkan kehendak anak kecil itu, pasti sehingga malam nanti Ean melancarkan mogok dengannya. Tidak mahu makan, mandi, belajar dan jika anginnya betul-betul tidak baik, dia akan duduk di atas pondok kecil di atas pokok di luar rumah mereka. Namun jika diikutkan kehendak Ean, rasa bersalah yang sudah cukup sarat di jiwanya akan bertambah lagi.

“Ean, kita pergi lain kali sajalah.”

“Ala, tak nak. Kita pergi hari ini lah. Bolehlah, makcik. Bawa Ean jumpa mama. Sekejap saja...” Rayu Ean. Kedua belah tapak tangannya dicantumkan lalu dirapatkan ke dada. Wajahnya yang sebentar tadinya ceria sudah suram.

Selena mengeluh perlahan. Kepala Ean diusap perlahan. Mata Ean sudah mula berkaca. Dengan hati yang berat, Selena mengangguk perlahan.

“Baiklah. Makcik bawa Ean jumpa mama. Tapi kita pulang ke rumah dulu, bersihkan bunga ini ya?”

“Yeay! Kita boleh jumpa mama.” Jerit Ean teruja. Bahu Selena dirangkul kuat. Sebuah ciuman dihadiahkan ke pipi kanan Selena. “Ean sayang makcik!” Ucap Ean sebelum berlari pantas menuju ke arah rumah mereka.

“Makcik pun sayang Ean,” ujar Selena perlahan sambil memandang ke arah Ean yang sedang menolak pintu pagar kayu berwarna putih di depan rumah mereka. Wajah itu nampak gembira sekali. Selena tersenyum kecil. Perlahan dia mengatur langkah ke arah rumahnya. Walaupun jiwanya terseksa setiap kali dia membawa Ean bertemu mamanya, namun demi memastikan wajah anak itu sentiasa gembira dia rela menanggung penderitaan itu. Anggaplah ia sebagai cara menebus dosa silam kau, Selena. Ujarnya dalam hati.

***

Arena Kismet, Bandaraya Crysta...

Di sudut kanan tingkat atas Arena Kismet, Aizek yang berpakaian serba hitam bersembunyi di sebalik sebuah tiang yang besar. Mukanya bertutup dan yang kelihatan hanya sepasang mata coklatnya. Tangannya sudah bersedia dengan sniper gun yang dihalakan ke arah tempat duduk VIP, dua tingkat di bawahnya. Sasarannya seorang lelaki berusia lewat 50-an berpakaian suit berwarna putih yang diapit oleh dua orang wanita jelita. Suasana hingar bingar dengan jerit pekik dan sorakan memenuhi setiap ruang di dalam arena itu tidak begitu diambil pusing olehnya.

Satu perlawanan tinju sedang berlangsung di antara 2 orang peninju handalan Crystallisa. Yang beseluar merah adalah Abbot, peninju dari Sektor Emas dan lawannya yang berseluar hitam merupakan peninju yang paling hebat di Sektor Zero, Kid. Ada sebab mengapa perlawanan itu menjadi tumpuan orang ramai. Bukan hanya disebabkan kehebatan peninju-peninju itu. Tetapi kerana sektor yang diwakili masing-masing.

Kebanyakan mereka yang hadir di arena datangnya dari Sektor Zero. Kawasan penempatan ‘orang miskin’ seperti yang digelar oleh masyarakat Sektor Emas. Mereka hadir untuk memberi sokongan kepada Kid. Jika Kid berjaya menewaskan Abbot, ia akan membawa makna yang besar dalam masyarakat mereka. Sekurang-kurangnya ia akan membuka mata masyarakat Sektor Emas yang selalu memandang mereka sebelah mata.

Matanya melirik seketika ke tengah gelanggang. Di sebalik sarung kepalanya, dia tersenyum kecil. Langkah Abbot sudah mulai sumbang. Tumbukannya tidak lagi tepat mengenai Kid. Dia sudah mula terhuyung-hayang di tengah gelanggang. Matanya beralih semula ke arah lelaki bersuit putih yang tegang wajahnya. Jarinya sudah bersedia untuk menekan picu snipper gun di tangan. Dia hanya perlu menunggu isyarat dari rakannya sahaja.

“Huh! Kau tengok muka orang tua tu. Kali ini entah berapa ratus ribu yang terbang.” Suara separuh marah seorang lelaki kedengaran melalui fon di telinganya. “Rakyat susah payah kerja cari duit, dia senang-senang nak habiskan di meja judi. Memang patut dia mati pun hari ni!” Sambung suara itu lagi.

“Nick, kau ni membebel macam mak aku lah. Macam orang perempuan!” Sampuk satu suara yang lain.

“Ini bukan membebel, cuma luahan rasa. Ada bezanya. Faham Encik Eremir?” Tempelak Nick.

“Huh! Betullah tu. Orang perempuan saja yang suka meluahkan perasaan ni.” Balas Eremir tidak mahu mengalah.

Aizek hanya membiarkan kedua-dua mereka berperang mulut. Hampir lima minit kemudian suara sorakan kegembiraan kedengaran di dalam arena. Nick dan Eremir kembali menutup mulut. Beberapa buah lampu sorot dihalakan ke arah tengah gelanggang. Kid sedang dijulang menandakan dia sudah memenangi pertarungan itu. Aizek tersenyum sinis melihat wajah bangga anak pengusaha kedai makan itu. Pandangannya dialihkan semula ke arah lelaki di tempat VIP.

Aizek memandang tepat wajah lelaki itu melalui kanta snipper gunnya. Lelaki itu kini sudah tersandar di kerusi. Riak mukanya seperti orang yang baru dikejutkan dengan perkara yang tidak diduga. Pasti sedang mengenangkan wangnya yang sudah hangus di meja bookie. Muncung sniper gunnya dihalakan tepat ke dahi lelaki itu. Titik hijau di atas kanta kini berada betul-betul di tengah dahi lelaki itu. Keriuhan di dalam arena itu semakin kuat.

“Aizek, sekarang!” Nick memberikan arahan yang ditunggu-tunggu Aizek.

Bang! Sedas tembakan tepat dilepaskan ke dahi lelaki itu. Serta merta lelaki itu menggelepar menggelongsor ke atas lantai. Dua orang wanita yang mengapitnya tadi mula menjerit ketakutan. Namun di dalam keriuhan arena itu, tiada siapa yang mendengar jeritan-jeritan mereka.

“Yes!” Ujar Nick teruja.

Aizek hanya diam membisu. Snipper gun di tangan dimasukkan ke dalam sebuah beg kanvas lalu digalas ke bahu. Sarung kepala dibuka. Dia berdiri tegak memerhatikan lelaki yang baru dicabut nyawanya tadi. Matanya terbelalak ke atas. Darah merah memenuhi mukanya. Baju putihnya sudah bertukar warna. Aizek hanya memandang sepi.

***

Angin petang sepoi-sepoi bahasa menampar wajah Selena. Dedaun dari pokok-pokok di sekelilingnya gugur ke tanah membuatkan tanah di atas bukit itu nampak seperti hamparan permaidani bewarna hijau. Beberapa kaki di hadapannya, Ean sedang melutut dengan kedua belah tangannya ditadah separas dadanya. Matanya dipejamkan sambil mulutnya terkumat-kamit mengucapkan sesuatu. Beberapa ketika kemudian Ean membuka matanya dan memandang tepat ke arah plak yang terukir nama seorang wanita.

Selena bergerak beberapa tapak ke hadapan. Bunga daisy yang dipetik dari Ean tadi dihulurkan kepada anak kecil itu. Ean meletakkan bunga yang sudah cantik diikat itu di hadapan plak kayu itu.

“Salam, mama. Ean datang,” ucap Ean perlahan namun masih mampu didengari oleh telinga Selena.

Suara Ean yang sedikit bergetar membuatkan Selena sedikit sebak. Tidak mahu air matanya tumpah di hadapan Ean, Selena berpusing lalu berjalan menjauhi Ean yang sudah mula ‘bercerita’ dengan mamanya. Itulah rutin Ean setiap kali dia menziarahi kubur mamanya. Usai membaca doa, mulutnya akan mula bercerita segala perkara yang terjadi dalam hidupnya. Kadang-kala dia akan mengadu tentang apa-apa hal yang tidak memuaskan hatinya seolah-olah mamanya dapat mendengar setiap butir bicaranya.

Selena menarik nafas dalam-dalam. Hatinya sakit. Jiwanya terseksa setiap kali mereka melawat kubur mama Ean. Mahu sahaja dia menarik Ean pergi dari situ. Namun demi janjinya pada ayah Ean, dan demi memastikan anak itu terus gembira seperti ini dia terpaksa mengenepikan perasaannya sendiri.

Tiba-tiba Selena merasakan ada alat transmisi di dalam poket baju panasnya bergetar. Dia segera mengeluarkan alat berbentuk pentagon itu lalu dibelek gambar yang tertera di atas skrin. Berkerut-kerut dahinya bila melihat wajah wanita yang muncul di skrin. Perasaan hairan dan risau bercampur baur di dadanya. Dengan hati yang berat, Selena menekan butang biru di atas alat transmisi itu. Sesaat kemudian, hologram imej rakan lamanya, Bibi muncul di hadapannya.

“Puan Selena.” Sapa Bibi.

“Bibi...” Wajah wanita yang pernah menjadi pembantunya satu masa dahulu dipandang dengan penuh tanda tanya. “Ada apa kau hubungi aku?”

“Ada berita kurang baik, puan.” Balas Bibi sambil matanya meliar memandang kiri dan kanan.

Jantung Selena berdegup pantas. “Berita apa?”

“Senator Zackaria sudah dibunuh!”

“Bunuh? Bila?”

“Baru sebentar tadi.”

Selena mengurut dadanya yang tiba-tiba menjadi sesak. Dia terasa sukar bernafas. Matanya melirik ke arah Ean. “Sudah dikenal pasti siapa yang bertanggungjawab?”

Bibi menggeleng laju. “Ada sesuatu yang puan perlu tahu.” Nada suara Bibi sudah mula berubah. Riak ketakutan jelas terpancar di wajahnya.

“Apa Bibi?”

“Dia sudah...” Tiba-tiba perhubungan mereka terputus. Imej Bibi hilang begitu sahaja. Selena cuba menghubungi wanita itu namun gagal. Dia terus mencuba namun setelah berkali-kali isyarat tiada talian muncul di skrin transmisinya, Selena berhenti. Apa yang hendak disampaikan Bibi? Siapa dia yang dimaksudkan? Kenapa Bibi nampak ketakutan?

Soalan demi soalan muncul di fikirannya. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang yang mampu memberi jawapan kepada semua soalan itu. Walaupun berat hatinya mahu menghubungi lelaki itu tetapi dia sudah tidak punya jalan lain.

Selena menarik nafas panjang. Tanpa berlengah, dia menekan butang berwarna merah di alat transmisinya. Nama-nama yang tertera di skrin dibaca sepintas lalu hinggalah dia menemui nama orang yang mahu dihubunginya. Dia menyentuh nama Arios di skrin dan status ‘sedang dihubungkan’ terpapar di skrin. Tidak sampai sepuluh saat, talian mereka dihubungkan dan imej Arios muncul di hadapannya.

“Selena? Aku bermimpikah? Apa khabar sahabatku?” Sapa Arios yang nampak terkejut bercampur gembira.

Tanpa mengendahkan sapaan Arios, Selena terus bertanyakan soalan yang sedang berlegar di fikirannya. “Benarkah apa yang aku dengar. Senator Zackaria telah dibunuh?”

Wajah Arios, Ketua Majlis Jaksa Pendamai yang ceria tadi terus berubah riak. Tangannya melurut-lurut janggutnya yang sejemput. “Dari mana kau dengar berita itu?”

“Itu tidak penting, Arios. Aku cuma mahu pengesahan dari kau. Benarkah Zackaria sudah dibunuh?”

Arios mengangguk lemah. “Beberapa jam yang lalu di Arena Kismet. Pasukan penyiasat sedang menjalankan siasatan.”

Selena menelan liur yang terasa kesat di tekaknya. “Dua minggu lalu, Senator Tobin dibunuh. Kemudian Senator Zofan. Dan hari ni, Zackaria. Apa maknanya semua ini Arios?” Dia memandang wajah Arios yang keruh, mengharapkan jawapan yang boleh meredakan kebimbangannya.

“Kami belum tahu lagi, Selena. Kami belum dapat apa-apa petunjuk.”

“Kesemua mereka pernah terlibat dengan peristiwa itu. Kau rasa adakah pembunuhan ini ada kena mengena dengan kejadian itu?”

Arios menggeleng. “Tak mungkin Selena. Mungkin ini hanya kebetulan. Lagipun, semua yang ada kena mengena dengan kejadian itu sudah mati, Selena. Selain dari kau, aku dan ...” Belum sempat Arios menghabiskan kata-katanya, Selenas pantas memotong.

“Dan dia, Arios. Dia masih hidup!”

“Jangan mengarut, Selena! Kita dah lakukan segala-galanya untuk pastikan dia tidak mengingati apa yang pernah terjadi.”

“Tapi...”

“Sudah!” Bentak Arios. “Kita dah berjanji akan lupakan perkara ini. Jangan ungkit lagi peristiwa lama, Selena. Lupakan segalanya dan teruskan kehidupan kau bersama Ean. Tentang pembunuhan senator-senator itu, jangan kau fikirkan sangat. Mungkin ini hanya perbuatan pihak pemberontak.”

Selena memandang Arios dengan perasaan yang bercampur baur. Lelaki itu satu masa dahulu pernah menjadi seseorang yang istimewa di dalam hidupnya namun kerana satu keputusan yang dibuat Selena, segala-galanya berubah. “Aku berdosa, Arios. Pada dia. Pada gadis itu. Dan pada Ean. Aku tak tahu, sampai bila aku sanggup teruskan hidup yang begini.”

Arios mengeleng seraya tersenyum tawar. “Kita sama-sama berdosa, Selena. Kalaulah aku cukup kuat dulu, semua ini dapat dielakkan.”

“Sampai bila kita harus begini, Arios?” Tanya Selena sayu.

Arios melepaskan keluhan yang panjang. “Segalanya terletak di dalam tanganmu, Selena. Kau yang memulakannya lima tahun dahulu. Hanya kau yang boleh mengakhirinya.”

Selena menoleh ke arah Ean. Tangan anak itu lincah membersihkan plak yang tertera nama mamanya. Alaina Zefri. Satu nama yang mencipta kemelut yang melanda dirinya kini. Dan nama itu akan sentiasa menghantui hidupnya selagi dia tidak mengakhiri segalanya.

0 comments: