Rumah Fantasi ditubuhkan pada awal 2010 bertujuan untuk menghimpunkan semua penulis-penulis bergenre fantasi, thriller, sains-fiksyen dan seram. Usaha ini dilakukan untuk meningkatkan martabat penulisan berbentuk seperti ini dan saling berkongsi ilmu dan manfaat bersama. Apa yang diharapkan lebih banyak karya-karya seperti ini lebih mendapat tempat di pasaran buku Malaysia suatu hari nanti. Pengasas Bersama RF : Anita Aruszi, Farah Husain dan Zuliana Abuas.

Wednesday, March 23, 2011

CUPID : Chapter 9

Apa bodoh benar budak Lex ni? Aku nampak segala-galanya. Dari saat Henrietta membonceng Lex di belakangnya sehinggalah saat gadis itu menampar muka Lex. Tiada apa yang aku boleh buat kecuali menyumpah di dalam kereta. Jika aku keluar dan meluru ke arah mereka, padah jadinya kerana Lex akan menyedari yang aku sedang mengekori mereka. Lex langsung tidak mengejar Henrietta, malah namanya pun tidak dipanggil. Dia hanya merenung Henrietta yang berlalu dari situ dari jauh. Aku tidak dapat meneka apa yang bermain di fikirannya ketika itu. Tetapi aku pasti yang salah seorang dari mereka pasti akan mengadu hal ini kepadaku.

Sangkaanku memang tepat. Henrietta menelefonku dan memberitahu segala-galanya. Dia langsung tidak meninggalkan sepatah peristiwa pun yang berlaku selepas pemergian aku dari rumah anak yatim itu. Aku hanya mendengar dengan penuh kesabaran sehingga dia sampai ke poin yang penting.

"Saya tak faham betul dengan dia. Mula-mula dia cakap baik-baik saja dengan saya. Bila dah sampai dekat kafe tu, tiba-tiba dia cakap saya ni macam perempuan pisau cukur yang berubah sebab nak dekat dengan awak." luah Henrietta. Kedengaran suaranya di telefon agak meninggi. 

Aku tahu dia agak marah. Aku sudah membaca profil gadis ini dulu. Dia seorang gadis yang berpendirian. Mudah terasa apabila seseorang bercakap perkara yang tidak benar terhadapnya, apatah lagi dari mulut lelaki yang disukainya itu.

Aku mula mencari akal. "Jangan risau. Itu mungkin petanda baik." kataku.

"Petanda baik apa pula? Saya tengah sedihlah sekarang Asran." bentaknya sedikit. 

"Cuba awak fikir, kenapa dia tiba-tiba cakapkan perkara itu. Awak tak rasa ke dia mungkin sedang cemburu? Dia mungkin ingatkan ada sesuatu antara kita. Biasanya seseorang tak akan bangkitkan hal  macam ni kalau dia tak terasa apa-apa." kataku memberi pandangan. Sudah menjadi lumrah manusia yang selalunya tidak akan mempedulikan sesuatu perkara yang tidak menarik perhatiannya. Malah, Lex ialah seorang lelaki yang tidak gemar menjaga tepi kain orang lain.

"Tapi, dia anggap awak sebagai kawan dia. Mungkin dia risaukan awak." kata Henrietta lagi.

Kawan? Manusia-manusia ini menganggap aku sebagai kawan mereka?

"Tak mungkinlah. Kita semua kan baru kenal. Awak mesti yakin sikit, Henrietta." balasku.
"Habis tu, saya nak buat apa?" soal gadis itu lagi.

"Awak tahu permainan main tarik tali? Awak jangan hiraukan dia dulu sampai saya beritahu nanti. Percaya cakap saya. Lex akan jatuh cinta pada awak nanti." jawabku.


Malam itu juga, Lex menelefonku. Dia ingin menemuiku di sebuah kedai kopi. 
"Salah aku ke?" tanyanya setelah selesai bercerita sambil meneguk koko panas di kedai itu. Pelayan yang lalu-lalang tidak dihiraukan.

Nampaknya perkara ini agak menganggu fikiran dia. Aku pasti Henrietta telah meninggalkan sedikit kesan terhadapnya. Aku tersenyum dalam hati.

"Kenapa kau cakap macam tu? Dia mestilah terasa. Dia baru saja berubah sekarang, kau dah tuduh dia macam-macam. Aku dengan dia tak ada apa-apa. Kami kawan baik. Aku suka berkawan dengan dia sebab emmm... sebab dia macam menyimpan rahsia. Dia kan pendiam. Seronok bila tengok dia bercakap dengan kuat lepas tu termalu sendiri. Seronok dapat tengok dia yang jarang senyum tu, senyum dengan ikhlas dekat aku." fikiranku berputar ketika Henrietta menghadiahiku senyuman ketika di Kedai pakaian tempoh hari. Senyumannya itulah yang membuatkan aku tiba-tiba terasa ....

"Asran!" kedengaran Lex menyebut namaku kuat. Aku tersedar. 

"Dia nampak macam tak seronok bila bersama dengan aku berbanding dengan kau. Nampak macam tak selesa saja. Cara dia berbual dengan aku gugup semacam. Aku naik marahlah." sambung lelaki itu mempertahankan tindakannya.

Bodoh betul budak Lex ni. Dia bukan tak seronok, tapi dia gelabah bila dengan kaulah! Fikirku sendiri tetapi tidak dizahirkan. " Mungkin dia masih tak biasa berdua dengan kau. Kau juga yang cakap yang kamu berdua tak pernah berbual walaupun sudah lama kenal. Beri dia sedikit masa." kataku menyuarakan pendapat. Aku yakin perkara itu adalah benar. 

"Esok aku akan minta maaf daripada dia." kata Lex setelah agak lama mendiamkan diri. Inilah pertama kali aku perasan Lex berasa sangat serba-salah terhadap seorang perempuan. Aku juga yakin, inilah pertama kali dia membuat seorang perempuan begitu marah sehingga telah menamparnya.

Aku mengangguk tanda bersetuju. Permainan ini semakin menarik.


Lex

Berkali-kali Lex memohon maaf di kelas, namun Henrietta tidak menghiraukan. Dia tahu Henrietta marah benar padanya. Henrietta langsung tidak memandang mukanya pada hari itu. Gadis itu seperti melarikan diri daripadanya. Beberapa pasang mata yang asyik memerhatikannya memujuk Henrietta tidak diendahkan. 

Dia sedar Asran sedang memerhatikannya dari pagi. Lelaki itu bersandar di kerusi sambil memeluk tubuh. Asran kelihatan seperti sedang berbual dengan pelajar lelaki lain, tetapi matanya asyik menjeling memandang mereka. Selesai kuliah pada tengah hari itu, Lex mengekori Asran ke keretanya. Mereka tiada kelas pada petang itu.

"Dia masih marahkan aku. Aku tak tahu nak buat apa lagi." kata Lex dengan nada berputus asa.

"Relax. Kau pujuk dia lama sikit, mesti dia cair punya. Susah-susah sangat, cuba kau ajak dia keluar. Buat surprise sikit." kata Asran sambil bersandar di pintu keretanya. Beberapa pelajar perempuan yang berjalan di hadapan mereka tersenyum dan dibalas mesra oleh Asran.

Lex turut bersandar pada kereta biru itu. Dahinya berkerut, "Perlu ke sampai aku ajak dia keluar? Kalau dia benci aku, mestilah dia tak mahu."

"Jangan risau. Aku yakin dia mesti akan maafkan kau." balas Asran sambil menepuk-nepuk bahu Lex. Selepas itu dia masuk ke kereta. Sebelum sempat dia menutup pintu Lex menahannya.

"Eh, Asran. Aku nak masukkan kau dalam pasukan bola aku. Kita akan ada tournament dalam 2 minggu lebih lagi. Aku rasa kau akan sempat berlatih." kata Lex yang kedengaran seperti satu arahan. Asran berfikir sejenak.

"Tengoklah dulu. Aku akan balik ke tempat aku tak lama lagi. Lagipun, kerja aku macam hampir selesai." kata Asran sambil menghidupkan enjin kereta. Radio dipasangnya dengan kuat.

"Kerja apa?" Lex kehairanan. Setahunya Asran akan berada di situ selama sebulan sebagai pelajar pertukaran. Perlawanan bola sepak akan diadakan dalam masa 3 hari sebelum Asran dijangka pulang ke negaranya.

Asran memandangnya kemudian tersengih, kemudian melambai-lambai tangan kanannya "Tak ada apa-apa. Aku balik dulu. Jumpa di padang petang ni." Dia terus menekan minyak dan meluncur laju keluar dari perkarangan tempat parkir kereta. Lex hanya mampu melihat dari jauh.

Baginya Asran sangat bermisteri. Dia langsung tidak pernah bercerita tentang dirinya tetapi seolah-olah sangat mengenali orang lain dengan baik. Lex juga senang terpengaruh dengan kata-kata Asran.


Lex berjalan perlahan-lahan ke kafetaria universiti. Dia bercadang ingin mengulangkaji di perpustakaan selepas makan tengah hari. 

Kelihatan Henrietta dengan seorang pelajar perempuan lain juga berjalan menuju ke kafetaria. Gadis itu juga ternampaknya dan mereka bertentang mata untuk seketika. Lex cuba tersenyum tetapi Henrietta kembali memandang kawan di sebelahnya dan terus masuk ke kafetaria.

Hati Lex sedikit tergugah. Dia tidak pernah menerima layanan sebegitu daripada sesiapa terutamanya perempuan. Jika diikutkan ego lelakinya, dia juga tidak mahu menghiraukan gadis itu setelah maafnya tidak diterima gadis itu sejak pagi tadi. Tetapi hatinya menyatakan yang dia perlu memperoleh kemaafan Henrietta. Buat masa itu, Henrietta kelihatan begitu penting tanpa dia sedari.

"Henrietta, nanti!" panggil Lex. Laungannya tidak dihiraukan. Dia berlari mengejar gadis itu ke dalam kafetaria dan menyentap lengannya. Henrietta kelihatan terkejut.

"Saya minta maaf sebab cakapkan benda yang teruk tu. Saya tahu mulut saya memang tak ada insurans, tapi saya tak ada niat hendak tuduh awak yang bukan-bukan." kata Lex. Dia melepaskan lengan Henrietta perlahan-lahan. Muka gadis itu dipandangnya.

Henrietta memandangnya dengan mata yang luas. Bibirnya bergerak-gerak seperti ingin bercakap sesuatu. Seketika kemudian dia tunduk memandang lantai.

"Sebenarnya pada waktu tu saya rasa emm..." 

"Rasa apa?" Kata-kata Lex dipotong oleh Henrietta yang terus memandang wajahnya dengan ingin tahu. Matanya seperti tadi, terbuka luas.

Lex merenung Henrietta. Dia kemudian kelihatan tersipu-sipu. Raut wajah yang jarang ada pada Lex. "Saya rasa marah sedikit sebab awak nampak tak gembira berjalan dengan saya. Saya sangkakan awak lebih seronok dengan Asran sebab dia ada kereta dan nampak macam orang kaya, sedangkan saya cuma naik motorsikal buruk aje"

Tanpa disangka-sangka, Henrietta tertawa kecil. Wajahnya nampak ceria daripada biasa. "Saya dah cakap yang saya tak kisah, kan? Asran kawan saya. Dia yang memberi inspirasi kepada saya untuk berubah. Saya mengaku saya rasa tenang bila berada bersamanya. Tak lebih dari itu." 

Lex tersenyum. "Jadi awak dah maafkan saya?"
Henrietta mengangguk sambil tersenyum. 

"Kalau macam tu, saya nak ajak awak keluar hujung minggu ni. Saya akan ajak Asran sekali. Awak fikirkan tempatnya." Lex mengajak. Dia ingin menebus rasa bersalah di hati.

Wajah Henrietta sedikit berubah menjadi merah namun tidak disedari oleh Lex. "Boleh saya bawa kawan saya bersama?" Dia menarik lengan kawannya yang dari tadi asyik memerhatikan mereka dengan penuh minat. 

Lex mengangguk.


1 comments:

Anonymous said...

best..xsabar nak baca sambungannye..