Rumah Fantasi ditubuhkan pada awal 2010 bertujuan untuk menghimpunkan semua penulis-penulis bergenre fantasi, thriller, sains-fiksyen dan seram. Usaha ini dilakukan untuk meningkatkan martabat penulisan berbentuk seperti ini dan saling berkongsi ilmu dan manfaat bersama. Apa yang diharapkan lebih banyak karya-karya seperti ini lebih mendapat tempat di pasaran buku Malaysia suatu hari nanti. Pengasas Bersama RF : Anita Aruszi, Farah Husain dan Zuliana Abuas.

Saturday, February 26, 2011

CUPID : Chapter 5

Lex

Penipu betul si Asran ni. Dia cakap dia tak pandai main bola. Pandai je dia main aku tengok! Lex mengomel seorang diri memerhatikan Asran yang melompat keseronokan selepas berjaya menjaringkan 2 dari 3 gol untuk permainan petang itu. Lagaknya seperti seorang kanak-kanak yang baru pertama kali menjaringkan gol. Dia berlari-lari anak ke arah Lex sambil tertawa kuat. 

"Tak sangka main bola sepak ni seronok betullah." katanya kepada Lex. 

"Kau ni betul ke tak pernah main bola?" soal Lex. Tiada lagi awak-saya dalam perbualan mereka. "Tempat kau pun tak ada orang main ke?"

"Tak pernah. Ini pertama kali." jawab Asran lalu duduk di sebelah Lex di tepi padang. Air mineral dicapainya dan diminum dua teguk. Lex memandangnya dengan pandangan yang tidak percaya.

Sebelum bermain dengan pelajar lain, Lex mengajar Asran teknik-teknik dan peraturan bola sepak. Asran dapat menangkap pelajarannya dengan cepat membuatkan Lex berasa kagum. Dia semakin yakin Asran mempunyai bakat dan berhasrat untuk mengambilnya menyertai pasukan universiti untuk kekjohanan bola sepak antara universiti yang akan diadakan kurang sebulan lagi.

"Oh ya. Aku dengar kau pernah sama sekolah menengah dan sekolah tinggi dengan Henrietta. Betul ke?" Asran tiba-tiba menyoal Lex.

Lex memandangnya dengan tanda tanya. "Siapa Henrietta?"

Asran merenung Lex dengan tajam kemudian menutup mukanya dengan tapak tangan sambil menggeleng-gelengkan kepala.
"Henrietta Miles, budak perempuan sekelas kita. Aku selalu duduk di sebelah dia."

Lex seperti memikirkan sesuatu. "Oh budak tu. Ya, aku kenal dia cuma tak ingat nama. Dia macam pendiam sangat dan aku tak pernah bercakap dengan dia sebelum ni." katanya. Dia memandang Asran seketika. "Kau suka dia kah? Budak macam tu sepatutnya tak ada boyfriend lagi."

Asran memandangnya dengan tajam. "Apa maksud kau budak macam tu?"

"Yelah, dia nampak pendiam dan kurang errr... berhias. Macam mana nak cakap ye, dia emmm... lain sikit dari perempuan lain. Tapi, kalau kau suka dia, tak ada masalah. Sekurang-kurangnya dia baik." balas Lex lagi cuba bersikap diplomasi. Risau juga kalau Asran benar-benar sukakan Henrietta.

Asran seperti memikirkan sesuatu sambil merenung jauh ke tengah padang. Fikirannya sedang merangka satu rancangan.



Henrietta

Henrietta terkejut lagi. Sekali lagi Asran melakukan perkara yang tidak diduga. Sebaik habis kelas pada keesokan harinya, lelaki itu menarik tangan Henrietta keluar dari kelas menuju ke tempat parkir kereta pelajar. Dia mengheret Henrietta ke sebuah kereta Honda biru laut tanpa menghiraukan pandangan orang sekeliling. Asran membuka pintu kereta dan menyuruh Henrietta masuk ke tempat duduk hadapan. Asran kemudian terus memandu keluar meluncur laju di jalan raya.


"Awak ada kereta? Macam mana awak ada lesen memandu negara ni?" soal Henrietta.

Asran yang sedang memandu terus ketawa terbahak-bahak. "Reaksi awak selalu tak kena pada tempatnya. Kelakarlah awak ni."

Henrietta merenung Asran dengan bingung.

"Sepatutnya awak akan tanya, ke mana saya nak bawa awak. Boleh pulak awak tanya saya tentang hal yang kurang penting." balas Asran dalam nada mengejek. Henrietta mencebik. Boleh pula dia ingat aku buat lawak. Fikirnya.

"Tak apalah. Itu tak penting. Saya nak bawa awak ke syurga wanita." kata Asran lagi dan terus menumpukan perhatiannya di jalan raya. 

"Syurga wanita?" 

Tuesday, February 22, 2011

CUPID : Chapter 4

Henrietta

Tiba-tiba banyak pula perkara pelik berlaku pada hari ini. Fikir Henrietta. Pagi tadi dia perasan yang Lex Green sedang memerhatikannya dan tersenyum sendiri. Dia tidak dapat mengawal perasaan gembiranya di dalam hati. Tapi, kenapa agaknya dia tiba-tiba pandang aku? Henrietta bermonolog sendiri. Sekali-sekala dia mencuri-curi pandang lelaki itu. Kadang-kadang dia berfikiran negatif sendiri. Menidakkan fakta yang Lex sedang memandangnya. Mengatakan yang dia perasan sendiri.

Asran, pelajar pertukaran baru itu sekali lagi duduk di tepinya sambil tersenyum lebar. Lesung pipitnya memang manis, membuatkan Henrietta terleka seketika. Asran selalu cuba berbual dengannya, tetapi dia hanya menjawab sepatah jawapan. Dia memang cuba bersikap ramah tetapi lidahnya kelu untuk berbual dengan lelaki yang tidak dikenali. Tetapi dia akui yang dia senang duduk di sebelah Asran. Lelaki itu tidak membuatnya rasa mual atau tidak selesa. 

Malah, semakin ramai pelajar perempuan mula berbual dengannya bertanyakan hal Asran. Henrietta cuma berkata yang dia tidak begitu mengenali Asran tetapi hanya berbual perkara-perkara biasa. 

Malam itu ketika dia bekerja part time di restoran, Asran tiba-tiba masuk ke situ. Dia terkejut apabila Asran melambai-lambai ke arahnya sambil tersenyum. Tiada siapa tahu tempat dia bekerja kecuali Elis. Lelaki itu meminta Henrietta mengesyorkan makanan yang sedap kerana dia tidak pernah makan makanan Jepun. Dengan senang hati Henrietta melayan kawan sekelasnya itu.

"Awak kerja di sini rupanya, ya?" soal Asran.
Henrietta mengangguk. "Ya. Saja nak cari duit lebih sikit."

"Baguslah. Saya patut cari kerja sambilan juga. Banyak tak gaji di sini? Saya nak minta di sini juga lah." kata Asran sambil memandang sekeliling.

Henrietta tidak pasti samada Asran sedang bergurau atau tidak tetapi dia dengan spontannya berkata, "Eh, janganlah di sini. Nanti gaji saya kena bahagi dua dengan awak."

Asran merenungnya seketika lalu ketawa dengan kuat. Dia kemudian menutup mulut sebelum memandang pelanggan lain.

Wajah Henrietta menjadi merah. Dia tidak pernah membuat seseorang ketawa dengan begitu kuat. Malah dia seorang yang berhati-hati dalam pertuturannya terutamanya dengan orang yang baru dikenali. Untuk seketika dia berasa kagum dengan diri sendiri. Lelaki bernama Asran ini mempunyai aura yang luar biasa.

"Saya ambilkan pesanan awak." kata Henrietta sebelum berjalan ke dapur. 


Henrietta memerhatikan Asran yang menjamah makanannya seorang diri. Terdetik di hatinya kenapa lelaki itu makan seorang diri. Takkanlah dia tidak ada kawan lain ataupun teman perempuan. 

Asran sangat berbeza dengan Lex. Fikir Henrietta. Lex seorang yang kelihatan matang dan dingin, namun dia melayan kawan-kawannya dengan ramah. Manakala Asran pula seorang yang ceria sentiasa dan bijak berbual membuatkan orang senang dengannya. Dia menggeleng-gelengkan kepala dengan cepat apabila dia sedar yang dia mula membandingkan kedua-dua mereka. 

Beberapa orang lelaki pertengahan 20-an dan awal 30-an masuk ke dalam restoran dan duduk di sebuah meja di satu sudut. Mereka asyik tertawa kuat. Henrietta dengan segera mengambil pesanan makanan mereka.

"Kami mahu yang paling sedap di sini, cik." kata salah seorang dari mereka apabila ditanya. Dia memandang Henrietta dengan satu pandangan yang menyeramkan gadis itu. Henrietta serta-merta berundur jauh dari meja namun masih cuba tersenyum sambil menghulurkan menu.

"Cik nak ke mana ni?" lelaki tadi bertanya lalu terus menyentap tangan Henrietta dan menarik tangan gadis itu merapati mereka. Menu di tangannya terlepas dan seorang lagi lelaki memegang sebelah lagi tangannya. Henrietta mula menyumpah dalam hati.

"Encik, lepaskan saya." pintanya. 

Lelaki-lelaki itu ketawa kuat. Pelanggan-pelanggan lain hanya mampu memandang sambil mengeluh kecil. Henrietta memandang sekeliling meminta pertolongan. Pelayan restoran yang lain menghampiri mereka dan cuba memujuk lelaki itu melepaskan Henrietta namun tidak diendahkan. Lelaki-lelaki itu kelihatan seperti samseng membuatkan orang di restoran itu takut untuk campur tangan.

Henrietta mula rasa mual. Tangannya kebas. Dia tahu dia akan pitam tidak lama lagi. 

Dia nampak Asran menghampiri mereka dan bercakap sesuatu dengan lelaki-lelaki itu. Suara Henrietta tersekat di kerongkong dan lututnya mulai lemah. Kemudian dia merasakan pegangan lelaki-lelaki it terlepas sebelum dia terjatuh. Dia pasti dia tidah jatuh ke lantai kerana ada seseorang yang menyambutnya.


Henrietta membuka mata dan sedar dia berada dalam bilik rehat restoran. Beberapa pekerja mengerumuninya dan bertanya keadaanya. Dia memegang kepala tanda ia masih sakit. Pengurus restoran membenarkan Henrietta pulang awal. 

Selesai menukar pakaian dan mengambil barang-barangnya dia keluar dari restoran. Dia terperanjat melihat Asran sedang bersandar di dinding luar restoran menunggunya.

"Awak okey tak?" soal Asran.

Muka Henrietta merah. Dia sedang menahan malu yang teramat. Pengsan di khalayak ramai memang memalukan. Apatah lagi dia bukannya dicederakan, tapi setakat disentuh lelaki. Dia mula terfikir samada adakah dia termuntah tadi.

Henrietta mengangguk dan tunduk memandang lantai. Dia kemudian berjalan ke luar menuju ke stesen tren. Asran mengikutinya. "Awak tak sihat ni, saya temankan awak balik." pelawa Asran.

"Tak apa. Saya tak mahu menyusahkan. Terima kasih sebab tolong tadi." balas Henrietta. Dia berjalan makin laju.

"Awak memang selalu macam ni ke? Sepatutnya bila orang sentuh, awak marah atau menjerit. Bukannya pengsan atau muntah."katanya lagi.

Langkah Henrietta terhenti. Secara tiba-tiba darahnya menyirap naik ke muka. Dia berhenti berjalan dan berpusing memandang Asran yang lebih tinggi darinya itu. Dia yang hanya setinggi bahu Asran terpaksa mendongak memandang lelaki itu.

"Saya tak faham kenapa awak nak sibuk tentang hal saya. Kita bukannya rapat. Terima kasihlah sebab dah tolong tadi, tapi tak payahlah awak nak ketawakan saya pula." Henrietta hampir menjerit. Beberapa orang yang lalu lalang memandangnya.

Asran memandang Henrietta sedikit tergamam. 

Gadis itu segera sedar dan terus menutup mulutnya. Kenapa pula dia perlu marah terhadap lelaki itu sedangkan dia telah menolongnya tadi?

"Saya tak gelakkan awaklah. Cuma reaksi tadi, bukannya reaksi orang biasa. Kalau tak suka, cakaplah tak suka. Kalau suka, cakap saja suka." spontan Asran menutur katanya.

Henrietta memandang Asran lagi. Dia meminta maaf dan berjalan ke arah sebuah kerusi taman di tepi jalan. Di kiri mereka terdapat sebuah taman rekreasi yang sudah lengang tetapi masih terang disuluh lampu jalan. Henrietta duduk di kerusi diikuti oleh Asran.

"Sebenarnya saya ada satu kelemahan yang orang lain tak tahu. Saya tak patut cakap pada sesiapa sebab perkara ni memang memalukan." kata Henrietta. Dia memandang Asran yang tekun mendengar katanya. Asran hanya tersenyum dan entah kenapa senyuman lelaki itu membuatkan dia percaya dan yakin untuk bercerita lanjut.

"Setiap kali saya dekat dengan lelaki, saya akan rasa lain macam. Rasa macam nak pengsan pun ada. Kepala jadi sakit dan saya sesak nafas. Bila bercakap, saya tak tahu nak kata apa lagi. Dari kecil, saya memang tak pernah ada kawan lelaki." 

Asran mendengar dengan diam. Dia menunggu seketika Henrietta menghabiskan ayatnya.

"Terasa macam si bodoh pun ada. Memalukan betul." 

Asran tersenyum mendengar kata-kata itu. "Semua orang ada kelemahan sendiri. Tapi, sedikit demi sedikit kita perlu mengatasi kelemahan tu. Saya yakin, awak sebenarnya ada masalah tiada keyakinan diri yang kronik. Bukannya penyakit misteri ke apa. Jangan bimbang." katanya lembut.

"Habis tu, apa yang saya perlu buat?" soal Henrietta.

"Awak cuma tak berkeyakinan dengan orang asing dan lelaki kan? Maksudnya dengan kawan-kawan rapat, awak rasa okey kan?" soal Asran.

Henrietta mengangguk.

"Maksudnya, kita ni berkawanlah ya. Sebabnya saya ni lelaki, malah yang baru awak kenal beberapa hari lepas. Tapi awak tak pernah pengsan atau muntah pun bila dekat dengan saya. Selamatlah saya duduk di sebelah awak ni." sambung Asran sambil tersengih.

Henrietta mula tersedar. Dia berasa sangat selesa duduk berdekatan dengan lelaki itu, malah boleh bercakap dengan perkara yang disembunyikannya dari orang lain. 

"Awak cuba cari kelebihan diri sendiri dan cuba memahami orang lain dahulu. Saya yakin perkara baik mesti akan berlaku." kata Asran.


Kata-kata Asran malam itu terngiang-ngiang di telinga Henrietta sebelum tidur. Dia begitu bersemangat mencari kelebihan diri sendiri supaya dia tidak lagi terasa rendah diri. Tadi Asran menghantarnya ke stesen tren. Mereka begitu banyak berbual terutamanya tentang perihal dirinya sedangkan Asran hanya menjadi pendengar. Henrietta berazam ingin mengenali lelaki itu dengan lebih mendalam lagi.


Keesokan paginya di kelas, Asran kelihatan begitu seronok berbual dan tertawa dengan pelajar-pelajar lain sebelum kelas bermula. Sebaik sahaja dia ternampak Henrietta, dia mengangkat tangan dan begnya dan duduk di sebelah Henrietta seperti biasa. Beberapa pelajar perempuan yang sedang berbual dengan Asran saling berbisik-bisik apabila Asran duduk di sebelah Henrietta.

Joan yang duduk di sebelah Henrietta pula asyik menyiku gadis itu sambil tersenyum nakal. Asran tanpa mempedulikan orang lain menegur Henrietta. Tindakannya mengundang banyak bisikan dan kerlingan dari pelajar-pelajar lain membuatkan Henrietta kurang selesa. 

"Sepanjang malam tadi, saya terfikir apa yang awak cakapkan. Saya perlu cari kelebihan sendiri." Henrietta membuka perbualan.

"Dah jumpa ke?" Asran membalas.

Henrietta menjawab teragak-agak. "Entah. Setakat ni belum lagi."

Asran tertawa kecil. "Tak apa. Teruskan mencari. Awak akan jumpa nanti. Saya yakin orang lain pun akan nampak kelebihan awak tu. Jangan risau." katanya. Ringan saja tangannya menyentuh kepala gadis itu. Henrietta sedikit terkejut.

Seseorang menegur Asran dari belakang menyebabkan perbualan mereka terganggu. Asran menoleh dan begitu juga Henrietta. Lex mengangkat tangannya menegur Asran dan dia membalas.

"Petang ni jangan lupa ya." kata Asran kepada Lex dan dia mengangguk. 

Lex turut memandang Henrietta yang begitu asyik merenung wajahnya. Dia tersenyum dan mengangguk sedikit kepada Henrietta menyebabkan gadis itu tertunduk malu. Kemudian lelaki itu berjalan ke belakang ke tempat duduk biasanya.

Tanpa disedarinya, Asran sedang memerhatikannya dengan seulas senyuman nakal. 
"Awak suka dia, ya?" tanyanya berbisik memastikan Joan tidak mendengar.

Wajah Henrietta merona merah. "Mana ada!" dia separuh memekik menyebabkan hampir seluruh kelas memandangnya. Dia tunduk memandang meja.

"Sudah terang lagi bersuluh, cik Henrietta. Saya dah tahu rahsia kedua awak." kata Asran lagi. Dia ketawa. "Jangan risau. Saya tak akan beritahu sesiapa."

Henrietta mengeluh lega. Dia mempercayai kata-kata Asran walaupun dia menuturkannya dengan nada sinis dan nakal. 

"Saya boleh tolong awak mendekati Lex, kalau awak mahu." pelawa Asran yang ketika itu begitu seronok melihat perubahan wajah Henrietta. Gadis itu sepantas kilat memandangnya. Wajahnya jelas tertulis perkataan, 'bagaimana?'

"Saya dan dia berkawan dan setiap petang dia akan ajar saya main bola sepak. Awak boleh datang ke padang kalau awak nak." sambung Asran lagi. "Saya boleh ceritakan tentang awak kepada dia untuk menarik minat dia terhadap awak."

"Tak semudah tu." tingkah Henrietta cepat.

"Betul tu! Memang bukan mudah untuk mendapatkan sesuatu tanpa usaha. Kalau awak mahu merubah sesuatu dalam hidup awak, awak juga perlu bersedia untuk berubah." balas Asran. Dia memandang pakaian gadis itu lalu mengerutkan wajah. Henrietta segera memeluk tubuhnya.

"Tapi, bukan ke kita pelu jadi diri sendiri? Apa gunanya orang sukakan kita kalau kita bukannya kita yang sebenarnya." tanya Henrietta lagi. Begitulah pendiriannya sejak dulu lagi.

Asran tersenyum. "Tapi tak salah berubah ke arah kebaikan, bukan? Asalkan awak masih kekalkan identiti diri sendiri tapi naik tarafkan diri, tak salah. Tak ada apa yang berubah dalam diri awak." dia menjawab secara bijak menyebabkan Henrietta terdiam. Terfikir betapa betulnya apa yang dikatakan lelaki itu.

"Lagipun, kan saya dah cakap semalam. Kalau awak cuba cari kebolehan diri, perkara baik akan berlaku." Asran tersenyum penuh makna.

Wednesday, February 16, 2011

CUPID : Chapter 3

Pertama kali aku membuat kerja di lapangan. Walaupun hati kurang ikhlas sebab aku terima tugasan ni semata-mata untuk membersihkan nama aku dan mengugut Tuan Cassius supaya aku hanya diberi tugasan yang aku suka, tapi, aku sendiri mengakui tugasan kali ni kelihatan lebih mencabar dan menarik dari yang sebelumnya. Malah, aku diberi masa sebulan untuk membuktikan kehebatan aku ni. Inilah pertama kali aku menjejakkan kaki ke sebuah bilik (kelas) yang dipenuhi manusia. Ini juga pertama kali aku bercakap dengan mereka. Hati aku membengkak kerana kebencian yang mendalam terhadap manusia, tetapi terpaksa ditahan dalam masa sebulan ini. Aku mesti cuba bersahabat dengan mereka, terutamanya dua watak penting dalam tugas aku kali ini.

Aku mempunyai perancanganku sendiri. Mula-mula aku akan mendekati gadis bernama Henrietta itu dan melihat bagaimana reaksi dia apabila didekati lelaki. Sepanjang di kelas, dia hanya menumpukan perhatian dalam pelajaran dan jarang berbual. Dia kelihatan pendiam tapi agak ceria. Dia juga nampaknya tidak menunjukkan sebarang reaksi negatif apabila berada dekat dengan aku. Jadi, aku akan mengujinya sekali lagi.

"Hai awak yang duduk di sebelah saya tadi." sapaku di koridor apabila kelas tamat. "Henrietta kan?"
Dia mengangguk sambil tersenyum sedikit. "Kenapa?"

"Tak ada apa. Saya cuma nak minta tolong awak tunjuk ajar saya apa yang patut." kataku memancing perbualan. Aku menyamar menjadi exchange student dari Barnadia, sebuah negara jiran yang akan menuntut di universiti itu selama sebulan. Tuan Cassius awal-awal lagi telah 'mencuci otak' pihak pengurusan universiti supaya aku dianggap sebagai pelajar pertukaran.

"Boleh. Bagitahu lah apa yang awak nak saya tolong." katanya lalu berlalu pergi selepas tersenyum.

Budak ni memang macam robot.


Petang itu aku berjalan bersendirian di tepi padang bola sepak universiti, sebuah sukan yang menjadi kegemaran ramai terutamanya kaum lelaki di dunia manusia. Aku telah membuat sedikit kajian tentang Lex Green sebelum itu. Dia ialah seorang pemain bola sepak yang mewakili universiti, malah ialah ketua pasukan. Hamnpir setiap petang dia akan turun ke padang dan bermain bersama pelajar lain. Kadang-kadang dia akan bertindak seperti jurulatih pasukan. Lelaki yang jarang menguntum senyum ini walaubagaimanapun lebih bersikap ramah terhadap orang lain dan sentiasa mengalu-alukan mana-mana pelajar yang ingin bermain bola bersamanya.

Lex Green, seorang lelaki yang agak tinggi, sama sepertiku. Wajahnya kelihatan seperti seorang yang bijak dengan cermin mata yang dipakainya, namun dia sangat lincah di padang.

Kalau setakat gerakan macam tu, aku pun boleh buat. Hahaa...

Aku berjalan ke tepi padang. Beberapa orang pelajar perempuan berdiri di tepi sambil bersorak-sorak kecil memanggil nama Lex. Aku sekadar senyum.

Salah seorang pemain menyepak bola ke arah ku dan aku sengaja menyambutnya. Kemuadian dengan sengaja aku melambung-lambung bola sepak itu dengan kaki beberapa kali sebelum menyepaknya ke tengah padang tepat ke arah Lex yang sedang memandangku. Beberapa orang pemain memandangku dan pelaja-pelajar perempuan di tepi padang turut memandang sambil berbisik-bisik.

Betapa mudahnya menarik perhatian manusia.

Aku berpusing berpura-pura hendak ke tepi apabila kedengaran Lex memanggil. Dia tahu nama aku rupanya. Aku berkalih lambat-lambat sambil tangan kananku diletakkan dalam poket seluar.

"Ada apa?"

"Awak nak main bola dengan kami tak?" soalnya.

Aku memandangnya tajam. Memang betul seperti apa yang tertulis di profilnya. Lelaki yang kelihatan dingin tetapi baik, naif dan sentiasa bersemangat. Seorang yang kurang peka dengan perasaan orang lain dan blur-blur sedikit.

"Saya tak pandai main bola." balasku menjual mahal.

"Tapi tadi awak boleh melambung bola macam tu, kira okeylah. Tendangan awak kuat juga. Kalau awak tak tau peraturan, saya boleh ajarkan." bersungguh-sungguh dia mengajakku. Aku tahu dia memang sedang mencari pemain baru untuk diserapkan dalam pasukannya.

"Okeylah kalau macam tu. Tapi dengan satu syarat." kataku tersengih.
Dia kelihatan bingung dan menunggu ayat seterusnya dari aku.

"Awak perlu coach saya secara peribadi selama sejam setiap hari." kataku. Inilah cara terbaik untuk aku mendekatkan diri dengan dia ni.

Dia lambat-lambat mengangguk.

"Okey. Kita mula esok petang." kataku gembira lalu terus berlalu keluar dari padang. Sekarang satu hal sudah selesai. Aku boleh berkawan dengan dia ni dan seterusnya cuba meng-matchkan dia dengan Henrietta secepat mungkin.

Perkara seterusnya ialah cuba mendapatkan kepercayaan Henrietta kepadaku pula.



Lex 

Lex sedikit bingung dengan pelajar pertukaran baru di kelasnya itu. Asran namanya. Dia kelihatan berseronok sepanjang masa dan hampir semua pelajar berbual mengenainya. Lex terfikir yang Asran mungkin boleh menjadi idola di kampus memandangkan dalam masa sehari hampir kesemua pelajar perempuan jurusan Seni Bina mengenalinya. Dia tidak menyedari dirinya sendiri menjadi kegilaan ramai pelajar perempuan di situ juga.

Mulai esok dia akan mengajar Asran bermain bola sepak secara peribadi selama sejam setiap petang. Asran kelihatan berpotensi baik dan mungkin mempunyai bakat bermain bola. Dia ada tanggungjawab menyungkil bakat kawan barunya itu.

Malam itu Lex mula membuat jadual pelajaran bola sepak untuk Asran. Dari senaman ringan hinggalah ke gerakan dan strategi permainan. Malah dia turut membuat kajian tentang makanan seimbang untuk dicadangkan kepada Asran.

Selepas selesai, dia mula mentelaah pelajaran yang bakal diajar esok untuk seketika. Lex memang terkenal dengan kerajinannya. Walaubagaimanapun, dia tidak dikatakan ulat buku atau skema kerana peribadi dan penampilannya.


Keesokan harinya di kelas, Asran menepuk bahunya dan tersenyum gembira. Dia kelihatan begitu mudah menyesuaikan diri walaupun pelajar berlainan negara. Dia tidak kekok berbual dengan pelajar-pelajar lain di kelas dan sentiasa murah dengan senyuman.

Tetapi, Lex perasan yang di dalam kelas Asran akan selalu duduk berdekatan dengan seorang gadis. Dia kenal gadis itu tetapi tidak pernah berbual dengannya. Nama gadis itu pun dia selalu terlupa. Lex terfikir Asran mungkin meminati gadis tersebut.

Citarasa dia memang luar biasa. Lex tersenyum sendiri melihat penampilan gadis itu. Dia tidak mekap seperti gadis lain, rambutnya kadang-kadang sedikit serabai seperti tidak bersikat. Pakaiannya langsung tidak feminin dengan Jeans dan T-Shirt kosong hitam atau warna-warna gelap setiap hari.

Dia tidak memandang rendah penampilan gadis itu, cuma dia berasa aneh kerana dia tahu setiap perempuan mementingkan penampilannya.

Tuesday, February 15, 2011

Stanza Terakhir: Bab 2

Di sebuah daerah terpencil di pinggir Sektor Zero...

Telatah seorang budak lelaki berusia empat tahun yang lincah berlari ke sana ke mari menggamit perasaan Selena. Di bawah pokok Oak yang menguning daun-daunnya, Selena memerhatikan gelagat budak lelaki berambut pendek itu berlari-lari berseorangan mengejar kumpulan rama-rama yang berterbangan di udara. Bibirnya menguntum senyuman pahit. Melihatkan keceriaan anak kecil itu hatinya dipagut rasa pilu.

Sepatutnya dia tidak berseorangan berlari-lari di taman bunga itu. Dia ingat lagi, satu masa dahulu ada seorang budak lelaki yang sering mengejar rama-rama seperti yang dilakukan oleh anak kecil itu. Ketika itu keadaannya berbeza dengan hari ini. Dia juga sering berada di bawah pokok Oak ini memerhatikan gelagat budak lelaki itu. Cuma bezanya ketika itu dia tidak berseorangan seperti hari ini. Ketika itu dia bersama ibunya menemani sepasang suami isteri yang berlari-lari bersama budak lelaki itu di taman bunga di hadapannya. Si suami akan mengendong anaknya di bahu sementara si isteri akan berada di sebelah suami dan anaknya. Gelak ketawa ceria akan kedengaran di segenap ruang taman sederhana besar itu.

Tanpa dia sedari, setitis air mata mengalir membasahi pipi. Cepat-cepat dia menyeka air mata itu apabila melihat budak lelaki itu berlari ke arahnya.

“Makcik Selena! Makcik Selena! Tengok ni...” Teriak Ean girang.

Selena terkedu. Sejambak bunga daisy liar berada di dalam genggaman anak kecil itu. Dia memang cukup maklum apa yang akan dikatakan oleh Ean sebentar lagi.

“Makcik, kita pergi jumpa mama ya? Ean rindulah!” Pinta Ean separuh merenggek.

Selena mencapai bunga daisy di tangan Ean. Melihat mata bundar dan wajah polos anak kecil itu membuatkan hatinya serba salah. Kalau tidak diikutkan kehendak anak kecil itu, pasti sehingga malam nanti Ean melancarkan mogok dengannya. Tidak mahu makan, mandi, belajar dan jika anginnya betul-betul tidak baik, dia akan duduk di atas pondok kecil di atas pokok di luar rumah mereka. Namun jika diikutkan kehendak Ean, rasa bersalah yang sudah cukup sarat di jiwanya akan bertambah lagi.

“Ean, kita pergi lain kali sajalah.”

“Ala, tak nak. Kita pergi hari ini lah. Bolehlah, makcik. Bawa Ean jumpa mama. Sekejap saja...” Rayu Ean. Kedua belah tapak tangannya dicantumkan lalu dirapatkan ke dada. Wajahnya yang sebentar tadinya ceria sudah suram.

Selena mengeluh perlahan. Kepala Ean diusap perlahan. Mata Ean sudah mula berkaca. Dengan hati yang berat, Selena mengangguk perlahan.

“Baiklah. Makcik bawa Ean jumpa mama. Tapi kita pulang ke rumah dulu, bersihkan bunga ini ya?”

“Yeay! Kita boleh jumpa mama.” Jerit Ean teruja. Bahu Selena dirangkul kuat. Sebuah ciuman dihadiahkan ke pipi kanan Selena. “Ean sayang makcik!” Ucap Ean sebelum berlari pantas menuju ke arah rumah mereka.

“Makcik pun sayang Ean,” ujar Selena perlahan sambil memandang ke arah Ean yang sedang menolak pintu pagar kayu berwarna putih di depan rumah mereka. Wajah itu nampak gembira sekali. Selena tersenyum kecil. Perlahan dia mengatur langkah ke arah rumahnya. Walaupun jiwanya terseksa setiap kali dia membawa Ean bertemu mamanya, namun demi memastikan wajah anak itu sentiasa gembira dia rela menanggung penderitaan itu. Anggaplah ia sebagai cara menebus dosa silam kau, Selena. Ujarnya dalam hati.

***

Arena Kismet, Bandaraya Crysta...

Di sudut kanan tingkat atas Arena Kismet, Aizek yang berpakaian serba hitam bersembunyi di sebalik sebuah tiang yang besar. Mukanya bertutup dan yang kelihatan hanya sepasang mata coklatnya. Tangannya sudah bersedia dengan sniper gun yang dihalakan ke arah tempat duduk VIP, dua tingkat di bawahnya. Sasarannya seorang lelaki berusia lewat 50-an berpakaian suit berwarna putih yang diapit oleh dua orang wanita jelita. Suasana hingar bingar dengan jerit pekik dan sorakan memenuhi setiap ruang di dalam arena itu tidak begitu diambil pusing olehnya.

Satu perlawanan tinju sedang berlangsung di antara 2 orang peninju handalan Crystallisa. Yang beseluar merah adalah Abbot, peninju dari Sektor Emas dan lawannya yang berseluar hitam merupakan peninju yang paling hebat di Sektor Zero, Kid. Ada sebab mengapa perlawanan itu menjadi tumpuan orang ramai. Bukan hanya disebabkan kehebatan peninju-peninju itu. Tetapi kerana sektor yang diwakili masing-masing.

Kebanyakan mereka yang hadir di arena datangnya dari Sektor Zero. Kawasan penempatan ‘orang miskin’ seperti yang digelar oleh masyarakat Sektor Emas. Mereka hadir untuk memberi sokongan kepada Kid. Jika Kid berjaya menewaskan Abbot, ia akan membawa makna yang besar dalam masyarakat mereka. Sekurang-kurangnya ia akan membuka mata masyarakat Sektor Emas yang selalu memandang mereka sebelah mata.

Matanya melirik seketika ke tengah gelanggang. Di sebalik sarung kepalanya, dia tersenyum kecil. Langkah Abbot sudah mulai sumbang. Tumbukannya tidak lagi tepat mengenai Kid. Dia sudah mula terhuyung-hayang di tengah gelanggang. Matanya beralih semula ke arah lelaki bersuit putih yang tegang wajahnya. Jarinya sudah bersedia untuk menekan picu snipper gun di tangan. Dia hanya perlu menunggu isyarat dari rakannya sahaja.

“Huh! Kau tengok muka orang tua tu. Kali ini entah berapa ratus ribu yang terbang.” Suara separuh marah seorang lelaki kedengaran melalui fon di telinganya. “Rakyat susah payah kerja cari duit, dia senang-senang nak habiskan di meja judi. Memang patut dia mati pun hari ni!” Sambung suara itu lagi.

“Nick, kau ni membebel macam mak aku lah. Macam orang perempuan!” Sampuk satu suara yang lain.

“Ini bukan membebel, cuma luahan rasa. Ada bezanya. Faham Encik Eremir?” Tempelak Nick.

“Huh! Betullah tu. Orang perempuan saja yang suka meluahkan perasaan ni.” Balas Eremir tidak mahu mengalah.

Aizek hanya membiarkan kedua-dua mereka berperang mulut. Hampir lima minit kemudian suara sorakan kegembiraan kedengaran di dalam arena. Nick dan Eremir kembali menutup mulut. Beberapa buah lampu sorot dihalakan ke arah tengah gelanggang. Kid sedang dijulang menandakan dia sudah memenangi pertarungan itu. Aizek tersenyum sinis melihat wajah bangga anak pengusaha kedai makan itu. Pandangannya dialihkan semula ke arah lelaki di tempat VIP.

Aizek memandang tepat wajah lelaki itu melalui kanta snipper gunnya. Lelaki itu kini sudah tersandar di kerusi. Riak mukanya seperti orang yang baru dikejutkan dengan perkara yang tidak diduga. Pasti sedang mengenangkan wangnya yang sudah hangus di meja bookie. Muncung sniper gunnya dihalakan tepat ke dahi lelaki itu. Titik hijau di atas kanta kini berada betul-betul di tengah dahi lelaki itu. Keriuhan di dalam arena itu semakin kuat.

“Aizek, sekarang!” Nick memberikan arahan yang ditunggu-tunggu Aizek.

Bang! Sedas tembakan tepat dilepaskan ke dahi lelaki itu. Serta merta lelaki itu menggelepar menggelongsor ke atas lantai. Dua orang wanita yang mengapitnya tadi mula menjerit ketakutan. Namun di dalam keriuhan arena itu, tiada siapa yang mendengar jeritan-jeritan mereka.

“Yes!” Ujar Nick teruja.

Aizek hanya diam membisu. Snipper gun di tangan dimasukkan ke dalam sebuah beg kanvas lalu digalas ke bahu. Sarung kepala dibuka. Dia berdiri tegak memerhatikan lelaki yang baru dicabut nyawanya tadi. Matanya terbelalak ke atas. Darah merah memenuhi mukanya. Baju putihnya sudah bertukar warna. Aizek hanya memandang sepi.

***

Angin petang sepoi-sepoi bahasa menampar wajah Selena. Dedaun dari pokok-pokok di sekelilingnya gugur ke tanah membuatkan tanah di atas bukit itu nampak seperti hamparan permaidani bewarna hijau. Beberapa kaki di hadapannya, Ean sedang melutut dengan kedua belah tangannya ditadah separas dadanya. Matanya dipejamkan sambil mulutnya terkumat-kamit mengucapkan sesuatu. Beberapa ketika kemudian Ean membuka matanya dan memandang tepat ke arah plak yang terukir nama seorang wanita.

Selena bergerak beberapa tapak ke hadapan. Bunga daisy yang dipetik dari Ean tadi dihulurkan kepada anak kecil itu. Ean meletakkan bunga yang sudah cantik diikat itu di hadapan plak kayu itu.

“Salam, mama. Ean datang,” ucap Ean perlahan namun masih mampu didengari oleh telinga Selena.

Suara Ean yang sedikit bergetar membuatkan Selena sedikit sebak. Tidak mahu air matanya tumpah di hadapan Ean, Selena berpusing lalu berjalan menjauhi Ean yang sudah mula ‘bercerita’ dengan mamanya. Itulah rutin Ean setiap kali dia menziarahi kubur mamanya. Usai membaca doa, mulutnya akan mula bercerita segala perkara yang terjadi dalam hidupnya. Kadang-kala dia akan mengadu tentang apa-apa hal yang tidak memuaskan hatinya seolah-olah mamanya dapat mendengar setiap butir bicaranya.

Selena menarik nafas dalam-dalam. Hatinya sakit. Jiwanya terseksa setiap kali mereka melawat kubur mama Ean. Mahu sahaja dia menarik Ean pergi dari situ. Namun demi janjinya pada ayah Ean, dan demi memastikan anak itu terus gembira seperti ini dia terpaksa mengenepikan perasaannya sendiri.

Tiba-tiba Selena merasakan ada alat transmisi di dalam poket baju panasnya bergetar. Dia segera mengeluarkan alat berbentuk pentagon itu lalu dibelek gambar yang tertera di atas skrin. Berkerut-kerut dahinya bila melihat wajah wanita yang muncul di skrin. Perasaan hairan dan risau bercampur baur di dadanya. Dengan hati yang berat, Selena menekan butang biru di atas alat transmisi itu. Sesaat kemudian, hologram imej rakan lamanya, Bibi muncul di hadapannya.

“Puan Selena.” Sapa Bibi.

“Bibi...” Wajah wanita yang pernah menjadi pembantunya satu masa dahulu dipandang dengan penuh tanda tanya. “Ada apa kau hubungi aku?”

“Ada berita kurang baik, puan.” Balas Bibi sambil matanya meliar memandang kiri dan kanan.

Jantung Selena berdegup pantas. “Berita apa?”

“Senator Zackaria sudah dibunuh!”

“Bunuh? Bila?”

“Baru sebentar tadi.”

Selena mengurut dadanya yang tiba-tiba menjadi sesak. Dia terasa sukar bernafas. Matanya melirik ke arah Ean. “Sudah dikenal pasti siapa yang bertanggungjawab?”

Bibi menggeleng laju. “Ada sesuatu yang puan perlu tahu.” Nada suara Bibi sudah mula berubah. Riak ketakutan jelas terpancar di wajahnya.

“Apa Bibi?”

“Dia sudah...” Tiba-tiba perhubungan mereka terputus. Imej Bibi hilang begitu sahaja. Selena cuba menghubungi wanita itu namun gagal. Dia terus mencuba namun setelah berkali-kali isyarat tiada talian muncul di skrin transmisinya, Selena berhenti. Apa yang hendak disampaikan Bibi? Siapa dia yang dimaksudkan? Kenapa Bibi nampak ketakutan?

Soalan demi soalan muncul di fikirannya. Tiba-tiba dia teringatkan seseorang yang mampu memberi jawapan kepada semua soalan itu. Walaupun berat hatinya mahu menghubungi lelaki itu tetapi dia sudah tidak punya jalan lain.

Selena menarik nafas panjang. Tanpa berlengah, dia menekan butang berwarna merah di alat transmisinya. Nama-nama yang tertera di skrin dibaca sepintas lalu hinggalah dia menemui nama orang yang mahu dihubunginya. Dia menyentuh nama Arios di skrin dan status ‘sedang dihubungkan’ terpapar di skrin. Tidak sampai sepuluh saat, talian mereka dihubungkan dan imej Arios muncul di hadapannya.

“Selena? Aku bermimpikah? Apa khabar sahabatku?” Sapa Arios yang nampak terkejut bercampur gembira.

Tanpa mengendahkan sapaan Arios, Selena terus bertanyakan soalan yang sedang berlegar di fikirannya. “Benarkah apa yang aku dengar. Senator Zackaria telah dibunuh?”

Wajah Arios, Ketua Majlis Jaksa Pendamai yang ceria tadi terus berubah riak. Tangannya melurut-lurut janggutnya yang sejemput. “Dari mana kau dengar berita itu?”

“Itu tidak penting, Arios. Aku cuma mahu pengesahan dari kau. Benarkah Zackaria sudah dibunuh?”

Arios mengangguk lemah. “Beberapa jam yang lalu di Arena Kismet. Pasukan penyiasat sedang menjalankan siasatan.”

Selena menelan liur yang terasa kesat di tekaknya. “Dua minggu lalu, Senator Tobin dibunuh. Kemudian Senator Zofan. Dan hari ni, Zackaria. Apa maknanya semua ini Arios?” Dia memandang wajah Arios yang keruh, mengharapkan jawapan yang boleh meredakan kebimbangannya.

“Kami belum tahu lagi, Selena. Kami belum dapat apa-apa petunjuk.”

“Kesemua mereka pernah terlibat dengan peristiwa itu. Kau rasa adakah pembunuhan ini ada kena mengena dengan kejadian itu?”

Arios menggeleng. “Tak mungkin Selena. Mungkin ini hanya kebetulan. Lagipun, semua yang ada kena mengena dengan kejadian itu sudah mati, Selena. Selain dari kau, aku dan ...” Belum sempat Arios menghabiskan kata-katanya, Selenas pantas memotong.

“Dan dia, Arios. Dia masih hidup!”

“Jangan mengarut, Selena! Kita dah lakukan segala-galanya untuk pastikan dia tidak mengingati apa yang pernah terjadi.”

“Tapi...”

“Sudah!” Bentak Arios. “Kita dah berjanji akan lupakan perkara ini. Jangan ungkit lagi peristiwa lama, Selena. Lupakan segalanya dan teruskan kehidupan kau bersama Ean. Tentang pembunuhan senator-senator itu, jangan kau fikirkan sangat. Mungkin ini hanya perbuatan pihak pemberontak.”

Selena memandang Arios dengan perasaan yang bercampur baur. Lelaki itu satu masa dahulu pernah menjadi seseorang yang istimewa di dalam hidupnya namun kerana satu keputusan yang dibuat Selena, segala-galanya berubah. “Aku berdosa, Arios. Pada dia. Pada gadis itu. Dan pada Ean. Aku tak tahu, sampai bila aku sanggup teruskan hidup yang begini.”

Arios mengeleng seraya tersenyum tawar. “Kita sama-sama berdosa, Selena. Kalaulah aku cukup kuat dulu, semua ini dapat dielakkan.”

“Sampai bila kita harus begini, Arios?” Tanya Selena sayu.

Arios melepaskan keluhan yang panjang. “Segalanya terletak di dalam tanganmu, Selena. Kau yang memulakannya lima tahun dahulu. Hanya kau yang boleh mengakhirinya.”

Selena menoleh ke arah Ean. Tangan anak itu lincah membersihkan plak yang tertera nama mamanya. Alaina Zefri. Satu nama yang mencipta kemelut yang melanda dirinya kini. Dan nama itu akan sentiasa menghantui hidupnya selagi dia tidak mengakhiri segalanya.

Friday, February 11, 2011

CUPID : Chapter 2

Henrietta

Pagi yang cerah turut mengundang rasa sejuk di dada. Henrietta menarik selimutnya menutup sehingga ke kepala sambil mengomel-ngomel perlahan. Malas hendak bangun katanya. Namun jam loceng di meja yang berdering setelah hampir 10 kali dia menekan butang snooze, menyebabkan dia terus terduduk di atas katil. Jam sudah menunjukkan tepat pukul 7.30 pagi.

Henrietta bangun dan bergegas ke bilik mandi. Mandi, bersiap dan terus keluar dari biliknya sambil menggalas sebuah beg berwarna hijau tua. Mood paginya terbejat melihat rakan serumahnya, Elis berpakaian serba-serbi berwarna pink dari atas ke bawah. Elis duduk di meja makan sambil mengunyah sekeping roti. Henrietta bencikan warna pink.

"Selamat pagi, Henrietta." ucap Elis. "Aku ingatkan kau  tak ada kelas pagi ni."

Henrietta mengangguk. Rambut hitamnya yang panjang melepasi bahu itu kelihatan tidak terurus. Elis selalu merungut dan menyuruhnya supaya berdandan sedikit sebelum ke kelas. Malah, bukan penampilannya sahaja yang selalu dirungutkan. Elis selalu merungut nama panggilan Henrietta terlalu panjang dan dia sepatutnya mempunyai nama yang lebih mudah dipanggil dan disebut.

"Macam Etta ke, Rita ke..?"

Henrietta pula hampir menempeleng kawannya itu setiap kali namanya tidak habis disebut.
"Penat je mama aku beri nama sedap-sedap, sesuka hati kau saja nak pendekkan!" katanya. Dia memang marah jika diberi nama samaran.

Mereka berdua kawan baik yang tinggal serumah sejak dari tahun pertama di universiti lagi. Tetapi kedua-duanya bukan belajar dalam satu jurusan. Elis ialah pelajar jurusan kesusasteraan Jerman manakala Henrietta ialah pelajar jurusan Seni Reka Bangunan.  

Henrietta dan Elis menaiki tren ke kampus. Kedua-duanya sempat sampai sebelum kelas pagi bermula. Henrietta mengambil tempatnya di tengah dewan kuliah bersebelahan dengan seorang sahabatnya, Joan. 

Henrietta memang seorang yang kurang bercakap dan terkenal dengan sifat yang dingin. Gelak tawa pelajar sekelasnya jarang diendahkan dan dia lebih suka membuat halnya sendiri. Kelihatan seperti seorang gadis anti sosial dan kurang bermasyarakat. Sebab itu dia tiada ramai kawan. 

Hakikat sebenarnya, hanya dia seorang yang tahu. Henrietta sebenarnya bukanlah seorang gadis yang begitu pemalu. Dia ceria dengan teman-teman yang rapat dengannya, namun sedikit kurang selesa dengan orang lain terutamanya lelaki. Sejak kecil badannya bertindak balas dengan lelaki. Dia akan mula menjarakkan diri dari mereka dan akan sedaya upaya mengelak dari tersentuh dengan lelaki, walaupun dalam bas ataupun tren.

"Semalam kau pegi kerja part time kau tu ke?" soal Joan secara tiba-tiba membuatkan Henrietta hampir melompat.

"Ya. Aku akan buat over time malam ni memandangkan esok hujung minggu." balas Henrietta sambil mengeluarkan buku dari beg. Dia bekerja separuh masa di sebuah restoran makanan Jepun berhampiran rumah sewanya hampir setiap malam demi menampung perbelanjaan di universiti. Walaupun keluarganya akan memasukkan wang saku ke dalam akaunnya setiap bulan, namun dia masih bekerja dan jarang menggunakan wang dari akaunnya. Dia bercadang ingin mengumpul duit sakunya sebanyak mungkin dan akan digunakan untuk melancong sebaik tamat pengajian nanti.

"Tak penat ke kerja malam?" soal Joan lagi.

Henrietta menggeleng sambil tersengih. "Dapat makan free apa salahnya. Duit gaji dapat lagi."


Seorang lelaki melangkah masuk ke kelas dan duduk selang 3 baris di belakang Henrietta. Gadis itu tiba-tiba terdiam dan tunduk memandang buku yang langsung tidak dibaca. Wajahnya menjadi sedikit hangat. Joan langsung tidak perasan perubahan Henrietta kerana dia sendiri begitu asyik memandang lelaki itu.

"Lex tu boleh tahan kan? Bijak, aktif dan nampak baik." kata Joan sambil tersenyum-senyum.
Henrietta sekadar mengangguk.

Lex Green.. lelaki yang sudah lama berada dalam hatinya. Dia dan Lex sekelas sejak di sekolah menengah lagi, namun mereka tidak pernah berbual. Pernah juga Lex menegurnya menyuruh dia memberi pesanan kepada guru kelas mereka ketika di sekolah tinggi dulu. Dia hanya terangguk-angguk sahaja pada waktu itu.

Dia memang tidak berani berbual dengan Lex. Sebabnya, dia sedar kelemahan yang ada padanya dan tindakan refleksnya terhadap lelaki. Dia kurang yakin Lex akan berasa selesa dengannya dan dia pasti tiada sesiapa akan suka berkawan dengan gadis aneh sepertinya.

Henrietta curi-curi memandang ke arah Lex. Lelaki itu sedang berbual-bual sambil tertawa kecil dengan sekumpulan pelajar lelaki dan perempuan yang mengelilinginya. Kadang-kadang dia sendiri berasa cemburu. Kenapakah dia tak boleh merapati lelaki itu seperti orang lain sedangkan dia terlebih dahulu mengenalinya.

Pintu bilik kuliah terbuka secara tiba-tiba. Seorang lelaki yang tidak dikenali melangkah masuk sambil menggalas sebuah beg di bahu kirinya. Lagaknya kelihatan bergaya. Matanya meliar seolah-olah mencari sesuatu di tempat duduk. Kelas yang tadinya bingit, tiba-tiba menjadi senyap sunyi dengan semua mata memandangnya. Beberapa pelajar perempuan kelihatan berbisik-bisik sesuatu. Henrietta sendiri seperti terpukau memandang lelaki itu.

Lelaki itu secara spontan tersenyum di hadapan kelas sambil berteriak.
"Selamat pagi, semua." Dia mendepangkan tangannya sambil tersenyum lebar. Lagaknya kelihatan kelakar, tapi yang peliknya dia langsung tak nampak pelik, sebaliknya kelihatan sungguh bergaya. Lelaki ini seolah-olah mempunyai aura yang luar biasa.

Tanpa disangka lelaki itu berjalan ke arah Henrietta lalu terus duduk tanpa segan silu di sisinya. Henrietta terkejut, begitu juga dengan Joan disisinya. Lelaki itu sekali lagi tersenyum manis menampakkan lesung pipit yang dalam di pipi kirinya.

"Nama saya Asran." dia memperkenalkan diri.


Monday, February 7, 2011

Revenge 5 : Secret Glose Is Open!



Saliva terjaga dari tidur apabila terdengar gelak ketawa adiknya dan ibunya di halaman rumah. Cahaya matahari memancar masuk ke dalam biliknya melalui tingkap yang di buka oleh ibunya. Saliva menggaru-garu lengan kirinya sambil menguap. Selepas itu dia menghirup udara segar yang berada di sekelilingnya. Tangannya mencapai gambar yang berada di bawah bantal.

“Selamat pagi bonda dan ayahanda,” Saliva menarik senyum sambil mengusap gambar tersebut. Dia akan menabahkan hatinya untuk meneruskan hidupnya. Dia juga akan membalas dendam kepada The Dark Devils! Itu azamnya dan dia akan menunaikan azamnya itu suatu hari nanti. Kicauan burung menyedarkannya. Dia bingkas bangkit dari katil dan mencapai pakaian dan tualanya.

*****

Saliva menyisip air di hadapannya. Kini, rambutnya sudah panjang melepasi bahu. Rambut tersebut di biarkan lepas supaya dapat menikmati udara yang segar. Dia kini duduk di halaman rumah sambil memerhatikan Zella dan Kitty yang sedang bermain. Ibunya pula sedang menyiapkan tugasan yang diberi oleh ketuanya. Dia juga kurang pasti kerja ibunya walaupun kini sudah 4 tahun berlalu. Saliva memerhatikan adiknya yang kian membesar. Umur adiknya itu sudah mencecah 9 tahun. Mata Saliva mula beralih ke arah Kitty yang juga sudah mula membesar. Rantai yang mempunyai batu berwarna hijau masih lagi tergantung di leher Kitty.

Kini, sudah 3 tahun berlalu.. Hidupnya mula berubah. Dia mula belajar erti hidup yang sebenarnya. Hidup yang penuh dugaan, cubaan dan ujian. Dia harus menempuh segala dugaan, cabaran dan ujian untuk menjadi seperti sekarang. Seorang yang tabah dan berani. Sudah 3 tahun berlalu, sudah 3 tahun jugalah dia cuba berbagai cara untuk membuka Secret Glose. Dalam pada masa yang sama, dia juga mula belajar untuk mengawal kuasanya dan mempelajari beberapa mantera yang pernah dipelajari sewaktu belajar dengan ayahandanya.

Bondanya tidak membenarkan dia mempelajari mantera sebelum tiba waktu yang sesuai. Tetapi kini, kerana kedegilan dia dan kebaikan ayahanda dia, dia berasa bahawa memang tepat pilihannya untuk belajar mantera-mantera tersebut. Setiap hari dia berlatih seorang diri di dalam biliknya pada waktu pagi dan tengah malam kerana tidak mahu diketahui oleh ibu dan adiknya. Disebabkan dia sering berlatih, selera makannya juga kian menaik. Ibunya pelik melihat dia selalu sahaja kebuluran seperti tidak pernah makan nasi. Sehari 4 hingga ke 5 pinggan dia makan. Di tambah dengan snack ringan.

“Kakak!!” Lamunan Saliva terganggu kerana jeritan Zella yang agak kuat. Saliva memandang Zella yang sedang melambai-lambai ke arahnya. “Jom  main!” Jerit Zella lantang. Saliva menggelengkan kepalanya tanda tidak mahu. Melihat tindak balas Saliva, Zella berlari mendapatkan kakaknya dan menarik tangan kakaknya. Dia merengek-rengek meminta kakaknya bermain sama.

“Yalah, yalah. Nak main apa?” Akhirnya Saliva terpaksa mengalah dengan permintaan adiknya itu. Lagipun adiknya hanya mahu bermain dengannya sahaja. It is not a big deal after all. Fikir Saliva.

“Kita nak main apa ni?”
“Kejar-kejar. Akak kejar Zella. Tapi akak kena kira sampai 10 baru boleh kejar.” Saliva tercengang. Kejar-kejar? Rasa hendak menangis apabila mendengarnya.

“Kenapalah kau ajak akak kau yang dah matang ni main kejar-kejar, wahai adik yang tersayang?” Saliva bermonolog di dalam hati. Dia menghela nafas perlahan-lahan dan menganggukkan kepalanya.

“1,2,3 ......” Saliva mula mengira dengan kuatnya. Zella berlari jauh daripada Saliva agar dia tidak dapat di tangkap oleh kakaknya. Kitty turut berlari membuntuti Zella.

“10!” Saliva habis mengira lantas berlari mengejar adiknya yang sudah jauh berlari. Setelah 5 minit mengejar adiknya namun tidak dapat tangkap, Saliva terjatuh dalam kolam apabila dia tersepak batu besar yang berada di sekitar kolam tersebut. Habis basah seluruh badannya. Saliva berenang ke tepi kolam dan mula memanjat keluar dari kolam tersebut. Zella sudah ketawa di hujung meja yang di duduki olehnya sebelum mereka bermain permainan yang bodoh ni.

Saliva berjalan menuju ke dalam rumah dan masuk ke dalam biliknya. Zella mengikutinya dari belakang bersama-sama dengan Kitty yang setia mengikuti Zella. Zella duduk di atas katil kakaknya sementara menunggu kakaknya membersihkan diri. Kitty pula sedang berjalan-jalan di dalam bilik Saliva.

*****

Saliva baru sahaja selesai membersihkan diri apabila dia melihat buku Secret Glose tidak di lilit oleh batang pokok Mary Glose. Terjerit Saliva dengan penuh kesukaan. Dia berlari mendapatkan buku tersebut dan menyelak halaman buku itu. Zella terjaga apabila mendengar jeritan kakaknya, Saliva, begitu juga Kitty yang tidur di sebelah Zella.

“Kenapa kakak?” Tanya Zella dengan malasnya. Dia berasa pening apabila bangun dari tidur. Mungkin kerana dia tidak biasa tidur petang.

Saliva menunjukkan buku Secret Glose pada Zella. Zella mengerutkan dahinya. Dia hanya nampak buku Secret Glose itu sahaja. Tetapi apabila dia melihat Saliva menyelak buku tersebut dengan lajunya, dia cepat-cepat bangun dari katil empuk itu.

“Macam mana buku ni terbuka?” Tanya Zella dengan hairan. Saliva mengeleng-gelengkan kepalanya, “Kakak pun tidak tahu. Bila akak selesai mandi, kakak tengok batang pokok Mary Glose tak melilit buku ni.”

“Habis tu, macam mana buku ni boleh terbuka? Mana ada sesiapa dekat dalam bilik ni kecuali kita berdua ..... dan juga Kitty,”  Saliva hanya mendiamkan diri mendengar ayat yang meluncur keluar dari bibir Zella. Dia terlalu asyik menyelak buku tersebut. Tiba-tiba...

“Betul kata Zella, halaman belakang banyak yang kosong,” ujar Saliva dengan perlahan. Tangannya masih lagi menyelak buku tersebut.

“Haa.. Zella dah beritahu tapi tak percaya. Tengok.. kan betul cakap Zella. Mata Zella tak mungkin salah tengok. Itulah Zella dah beritahu kakak 3 tahun lepas. Baru sekarang kakak nak percaya,” balas Zella dengan bangga apabila dia dapat membuktikan bahawa matanya tidak salah tengok. Saliva pula hanya mampu mengerutkan dahinya dan mengetap bibir. Dia berjalan dengan perlahan menuju ke katil sambil memandang buku yang berada di pegangannya itu. Dia duduk di atas katil tersebut dengan perlahan.

“Pelik.. Kenapa halaman belakang banyak yang kosong? Sepatutnya semua halaman ada tulis sesuatu,” guman Saliva perlahan. Zella hanya memerhatikan kakaknya, manakala Kitty begitu asyik menggeselkan badannya pada kaki Zella.

“Tak mungkin buku ni, buku palsu. Tak mungkin. Buku ni hanya ada satu sahaja di dunia dan buku yang menjadi rebutan. Bonda yang simpan buku ni. Jadi tak mungkin buku ni, buku.... palsu,” Pening kepala Saliva mencari jawapan di atas sebab kekosongan halaman di belakang buku itu.

*****

“Macam mana buku ni tidak di lilit? Kenapa halaman belakang buku ni kosong?” Dua soalan tersebut berlegar-legar di dalam kepala Saliva. Dia berjalan ke hulu-hilir memikirkannya.

“Kakak, boleh duduk tak? Macam kucing nak beranak aje kakak ni. Kalau ya pun nak cari jawapan, duduklah dulu, fikir! Ini tidak, ke hulu hilir berjalan. Mahu roboh lantai ni nanti sebab tak larat nak tampung berat kakak,” Zella berasa rimas melihat kakaknya yang tak senang duduk dari tadi. Saliva terus duduk di atas lantai apabila adiknya menegurnya. Dia masih lagi belum dapat jawapan yang di carinya.

“Ok.. Masa Zella tidur tadi, ada tak sesiapa masuk bilik akak?”

“Akak? Kita hanya berdua aje dekat dalam rumah ni. Ibu pula di tempat kerjanya,”

“Zella yakin ke tak ada sesiapa yang masuk bilik akak tadi?”

“Ya, Zella yakin. Lagipun selain kita berdua, Kitty pun ada sekali dekat dalam bilik akak. Dia merayau-rayau dekat dalam bilik kakak tadi.”

Tiba-tiba, Saliva tepuk tangan, “Entah-entah.. Kitty tu kunci untuk membuka buku Secret Glose.”

“Ish.. apa yang akak merepek ni? Kitty ni hanya kucing yang berbaka Zenon. walaupun dia unik daripada semua kucing lain, tapi dia ni hanya haiwan peliharaan Zella. Kitty mana ada kuasa untuk membuka buku tu,” bantah Zella apabila kakaknya mengatakan bahawa Kitty adalah kunci. Kelakar!

“Habis tu, siapa lagi yang ada dekat rumah selain kita bertiga?” Zella terdiam mendengar soalan Saliva. Dia tidak tahu hendak cakap apa.

“Tapi Kitty hanya seekor kucing yang unik. Tak lebih dari tu. Lagipun tak mungkin haiwan merupakan kunci untuk sesuatu benda. Kelakarlah akak, kelakar.”

“Disebabkan dia unik, kakak yakin dia merupakan kunci untuk membuka buku ni,” Saliva menunjukkan buku yang terbuka di meja. Zella hanya memandang sahaja. Buku tersebut langsung tidak di tutup oleh kakaknya kerana takut di lilit lagi sekali.

“.... dan disebabkan tidak ada orang buatlah, bonda buat begitu. Supaya kuncinya lain daripada lain,” sambung Saliva, mempertahankan pendapatnya.

“Kalau Kitty ni kunci untuk buka buku tu, Zella nak kakak buktikan,” balas Zella sambil memberi Kitty kepada kakaknya. Saliva menyambut Kitty dan dia mengusap lembut bulu Kitty yang lebat itu.

“Kakak tak dapat buktikan. Mungkin suatu hari nanti akak dapat buktikan,” ujar Saliva dengan lemah.