Rumah Fantasi ditubuhkan pada awal 2010 bertujuan untuk menghimpunkan semua penulis-penulis bergenre fantasi, thriller, sains-fiksyen dan seram. Usaha ini dilakukan untuk meningkatkan martabat penulisan berbentuk seperti ini dan saling berkongsi ilmu dan manfaat bersama. Apa yang diharapkan lebih banyak karya-karya seperti ini lebih mendapat tempat di pasaran buku Malaysia suatu hari nanti. Pengasas Bersama RF : Anita Aruszi, Farah Husain dan Zuliana Abuas.

Wednesday, March 16, 2011

CUPID : Chapter 8

Henrietta

Henrietta membonceng motorsikal Lex selepas bersetuju untuk dihantar pulang. Dia agak ragu-ragu pada mulanya kerana tidak pernah membonceng motorsikal lelaki berdua begitu. Dia risau sekiranya dia berasa mual ataupun termuntah tiba-tiba. Namun Lex kelihatan biasa dan bersungguh-sungguh hendak menghantarkan gadis itu pulang. 

Henrietta menarik nafas panjang dan memikirkan kata-kata Asran pada malam sebelumnya ketika lelaki itu mengunjungi restoran tempat dia bekerja. "Cari kelebihan diri, dan perkara baik pasti akan berlaku." dia bercakap sendirian perlahan. Dia mula memikirkan yang penampilannya sekarang lebih baik dari dulu dan dia kelihatan setaraf dengan Lex yang baginya sangat hebat itu. 

Perlahan-lahan dia mengenakan topi keledar yang dipinjam dan naik ke atas motor. Hampir saja dia terjatuh, namun Lex sempat memegang tangannya. Gadis itu memaut bahu lelaki itu ketika naik. Mukanya terasa panas. Mereka mengucapkan selamat tinggal dan melambaikan tangan kepada penghuni rumah anak yatim Sunshine dan motorsikal itu meluncur laju membelah angin. Jam menunjukkan pukul 4.30 petang.

Henrietta masih berasa segan untuk menyentuh Lex, tetapi dia risau jika dia terjatuh. Lex seperti memahami fikiran gadis itu lalu memperlahankan motorsikalnya. Dia sekali-sekala memandang ke belakang. "Kalau awak nak jatuh, pegang baju saya." katanya.

Henrietta kemudian memaut baju kemeja Asran yang ditiup angin itu dengan erat. Tanpa disedarinya, dia menyandarkan kepalanya di belakang Lex sambil menahan rasa malu dan gembira yang teramat sangat. 

Sedang dia begitu asyik melayan perasaan dan berangan, motorsikal itu menjadi semakin perlahan dan tiba-tiba terlompat-lompat. Henrietta terkejut. Lex nampaknya sedikit cemas dan terus brek dan akhirnya mereka berhenti di tepi jalan raya. Gadis itu segera turun dari motorsikal.

"Kenapa?" tanyanya.

"Rosak agaknya. Pagi tadi saya dah isi minyak penuh. Motor ni pun dah lama." kata Lex. Dia masih nampak tenang. Dia turut turun dari motorsikal dan menongkat motorsikalnya itu. Kemudian dia duduk mencangkung sambil melihat-lihat keadaan motorsikalnya. Kemudian dia menggaru-garu belakang lehernya yang tidak gatal itu.

"Awak kisah tak kalau kita berjalan sedikit. Dalam 1 km lagi, kita akan sampai ke pekan. Mungkin saya boleh baiki motor ni di situ." kata Lex. Henrietta sekadar mengangguk. Mereka terus berjalan perlahan-lahan sambil Lex menolak motorsikalnya. Henrietta memandang sekeliling. Tiada bangunan di sekeliling mereka. Yang ada hanyalah semak samun di sepanjang jalan. Risau juga dia berjalan begini. Namun hatinya mengatakan dia tak akan apa-apa kerana adanya Lex bersamanya. Sekali-sekala dia mengerling Lex yang berjalan di hadapannya.

"Jangan-jangan motor ni rosak sebab awak berat sangat agaknya?" Lex mengusik gadis itu. Dia memperlahankan jalan dan berjalan di sebelah kanan gadis itu. Henrietta mencebik sedikit.

"Motor awak ni yang dah antik sangat." kata Henrietta bernada marah. Lex ketawa kecil. 

"Sebenarnya saya sangkakan awak memang jenis yang anti-sosial. Maaflah, kalau saya cakap macam tu. Tak sangka awak sukakan benda-benda macam ini juga." Lex menyatakan fikirannya. "Kalau awak nak datang jumpa kanak-kanak dekat rumah Sunshine tu, awak boleh datang lagi bila-bila masa saja."

"Saya boleh ikut awak bila-bila masa awak nak pergi." spontan Henrietta mencelah. Lex tergamam sedikit kemudian ketawa kecil.

"Okey, kita boleh pergi sama-sama. Saya akan beritahu awak bila saya akan pergi. Minta nombor telefon awak." kata Lex. Dia kemudian berhenti berjalan, menongkat motorsikalnya dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Mereka bertukar-tukar nombor telefon sebelum menyambung perjalanan sejauh 1 km itu sambil menolak sebuah motorsikal rosak. Sepanjang perjalanan mereka berbual-bual tentang diri masing-masing. 

Henriettalah orang yang paling gembira. 


Setibanya di pekan, Lex menghantar motorsikalnya ke kedai mekanik terdekat. Mereka kemudian minum di sebuah kafe yang berhampiran. Lelaki itu memesan latte ais dan Henrietta pula memesan Coklat Strawberi.

"Maaflah, saya tak ada kereta mewah macam Asran." Lex tiba-tiba berkata.
Henrietta memandangnya. Dia menggeleng. "Saya tak kisah pun."

Lex memandangnya dengan satu pandangan yang sedikit sinis. Henrietta mula berasa tidak sedap hati. Kenapa dengan dia ni? Tadi elok saja dia berborak dengan aku. Fikirnya. 

"Kenapa awak pandang saya macam tu?" tanya Henrietta. 

"Manalah tahu, awak rasa pelik berjalan dengan saya tadi. Naik motor buruk pula tu." Lelaki yang memang terkenal dengan sikap terus-terangnya itu laju menuturkan katanya. "Lagipun saya rasa awak suka pada Asran kan? Sebabnya awak berubah disebabkan dia. Saya tak kisah kalau awak berubah sebab awak memang suka pada dia."

Henrietta terkedu. Dia hairan kenapa Lex tiba-tiba berubah perwatakannya. "Tak.. saya.."

"Tapi, kalau awak berubah sebab awak kejar harta-benda dan kekayaan dia, saya tak suka. Awak sama macam perempuan pisau cu..." belum sempat Lex menghabiskan ayatnya, Henrietta bangun dari kerusi. Ringan tangannya hinggap di pipi Lex. Matanya sedikit berair.

"Awak memang tak tahu apa-apa. Bodoh!" Henrietta menjerit lalu keluar dari kafe itu. Lex terkelu. Dia tidak menyangka gadis itu begitu sensitif.

Henrietta berjalan laju menuju ke stesen tren. Dia mengesat air mata di pipinya. Entah kenapa dia begitu terasa dengan kata-kata itu yang dirasakan mencabar maruahnya. Ditambah pula ia dituturkan oleh lelaki yang disukainya.

Aku berubah sebab kaulah, Lex!! Hati Henrietta menjerit.

0 comments: