Rumah Fantasi ditubuhkan pada awal 2010 bertujuan untuk menghimpunkan semua penulis-penulis bergenre fantasi, thriller, sains-fiksyen dan seram. Usaha ini dilakukan untuk meningkatkan martabat penulisan berbentuk seperti ini dan saling berkongsi ilmu dan manfaat bersama. Apa yang diharapkan lebih banyak karya-karya seperti ini lebih mendapat tempat di pasaran buku Malaysia suatu hari nanti. Pengasas Bersama RF : Anita Aruszi, Farah Husain dan Zuliana Abuas.

Monday, March 7, 2011

CUPID : Chapter 7

Seperti dijangka Henrietta menjadi tumpuan hari itu. Ramai pelajar mula menghampirinya, termasuk beberapa pelajar lelaki lain. Dia kelihatan kekok namun semakin lama semakin tenang. Aku perasan sekali-sekala matanya melirik ke arah Lex. 

"Dia dah berubah." kata Lex secara tiba-tiba. Aku tahu lelaki it sudah mula memandang Henrietta. Umpan kami mengena. Tetapi, bukan mudah untuk menjerat hati lelaki ini terhadap Henrietta. Bukan mudah untuk seseorang membentuk perasaan terhadap seseorang lain. Ditambah pula sikap Lex yang kurang berminat dengan perempuan semakin merumitkan keadaan.

Tetapi kemudian aku mulai sedar. Mungkin sikap Lex yang sebeginilah yang berjaya membuatkan Henrietta terpaut kepadanya. Lelaki itu bukan bermain 'hard to get' tetapi sikap semulajadinya yang begitu membuatkan orang lebih tertarik kepadanya. Lex bagaikan pelaburan baik yang berisiko tinggi.

"Comel kan dia. Tak sangka betul." kataku sambil memandang sebarang perubahan pada lelaki itu. 

"Ya. Kau nak pikat dia ke? Tak sangka kau suka perempuan negara aku juga." katanya acuh tak acuh.

Nampaknya cara begini tak berguna. Lelaki ini menyangkakan aku yang sukakan Henrietta. Fikirku sendiri. Aku mesti mencari jalan lain. Masa hanya tinggal hampir 3 minggu saja lagi untuk aku kembali ke duniaku. Jika aku gagal, Tuan Cassius pasti akan menghukumku nanti.

Sedang otakku ligat mencari idea, Lex memberitahuku yang latihan peribadi bola sepakku akan dibatalkan pada petang esok.

"Kenapa?"soalku. Sepatutnya keesokan hari ialah hari minggu.

"Aku kena pergi ke rumah anak yatim Sunshine. Aku kerja sebagai sukarelawan di situ setiap hari Sabtu." jawabnya perlahan hampir berbisik. Pensyarah muda, Encik Kirby sudah berada di hadapan kelas. 

Aku menggeleng-gelengkan kepala menahan ketawa. Mamat ni memang suka buat aktiviti kebajikan agaknya. Rajin dan bersemangat serba-serbi. 

Idea bijak tiba-tiba muncul di mindaku. "Kalau aku nak ikut sama boleh tak?" soalku sambil membuat muka yang berharap. Dia menjelingku pelik. "Kenapa? Kau tak ada benda lain nak buat ke?" tanyanya.

Soalan tu patut aku yang tanya pada kau! Fikirku sendiri. Tetapi aku hanya tersengih sambil menggeleng. "Aku nak buat banyak benda sepanjang sebulan aku ada kat sini. Kau kan kawan aku, jadi bawalah aku sekali." pujukku.

Dia berfikir seketika dan kemudian bersetuju. Kami berjanji akan berjumpa di hadapan pagar rumah anak yatim Sunshine itu tepat jam 8 pagi. 


Tamat kelas pagi itu pada jam 10.30 pagi, sekali lagi aku mengheret Henrietta ke keretaku. Dia seperti biasa menurut tanpa banyak soal. Memang senang kalau nak culik budak ni.

"Esok pagi jam 7.30 saya akan jemput awak di rumah. Pakai cantik-cantik. Tak, yang penting pakai baju biar kemas. Rambut tu ikat elok-elok." aku memberi arahan.

Henrietta memandangku tanpa berkedip. "Nak pergi mana pulak? Jadual aktiviti saya semakin penuh bila berkawan dengan awak ni." tanyanya. 

"Saya nak bawa awak keluar dating!" balasku membuatkan dia sedikit terperanjat.


Lex

Lex terperanjat besar. Bukan Asran seorang yang keluar dari kereta Honda birunya pagi itu, tetapi Henrietta turut ikut sama. Dia berjanji menunggu Asran di hadapan pintu pagar rumah anak yatim Sunshine pagi itu kerana Asran ingin menyertai aktiviti sukarelawan di situ. Dia langsung tidak menyangka Henrietta akan ikut serta.

Malah, dia tidak menyangka Asran mempunyai sebuah kereta yang kelihatan mewah. Asran nampaknya seperti seorang anak orang kaya di negaranya. Dia akui yang dia tidak mengetahui latar belakang Asran. Sedangkan dia hanya menunggang sebuah motor kapcai buruk kepunyaan abangnya yang diberikan kepadanya sebagai hadiah hari jadi 3 tahun lalu. Lex menanggalkan topi keledarnya dan meninggalkan di atas tempat duduk.

"Cantik kereta." puji Lex. Dia menghadiahkan senyuman kepada Henrietta yang kelihatan manis dengan penampilan barunya. Gadis itu sentiasa tunduk selepas mereka bertentang mata. Dia sendiri tidak tahu apa sebabnya. Dia mula berprasangka yang gadis itu berubah kerana Asran. Pastinya gadis itu mengetahui Asran ialah seorang yang kaya dan sengaja mengubah penampilannya untuk mendampingi lelaki itu. Perempuan memang licik! Fikirnya.

Tanpa mempedulikan pujian Lex, Asran terus berjalan masuk ke perkarangan rumah anak yatim Sunshine diikuti oleh Lex dan Henrietta. Sekumpulan kanak-kanak yang sedang berlari-lari di halaman rumah itu, terus berlari menghampiri Lex sambil memanggil namanya. Kanak-kanak itu nampaknya begitu rapat dengan Lex  kerana masing-masing berebut-rebut ingin memeluk dan memaut lengan sasa lelaki itu. Untuk seketika lelaki itu tidak kelihatan seperti seorang atlet yang gagah tetapi seperti bapa yang penyayang disambut pulang oleh anak-anaknya. 

Lex juga kelihatan gembira tersenyum dan ketawa. Raut wajahnya kelihatan berbeza sewaktu berada di kampus. Henrietta dan Asran masing-masing merenung Lex dengan takjub. Bagi Henrietta, ini ialah Lex yang masih belum pernah dikenalinya. Lex yang dikenalinya kelihatan dingin walaupun semua orang tahu yang dia ialah seorang yang baik.

Rumah anak yatim Sunshine kepunyaan seorang wanita tua bernama Lady Marionette Potter. Wanita itu turut menanti kedatangan Lex setiap Sabtu. Rumah itu setinggi 3 tingkat dicat dengan warna kuning cair. Rekaannya seperti rumah Inggeris klasik dan mempunyai banyak tiang dan hiasan Inggeris. 

Lady Marionette menjemput mereka masuk dan memberitahu yang Lex selalu berkunjung ke situ dan selalu membina dan mereka bentuk beberapa bilik di rumah itu. Dia mengaplikasikan pengetahuannya sebagai pelajar jurusan seni bina dengan baik.
"Saya harap puan tak kisah saya bawa mereka ke sini. Mereka kawan sekelas saya." kata Lex dan dibalas dengan tawa dari wanita tua itu yang menunjukkan dia tidak kisah.

Beberapa orang kanak-kanak perempuan memaut tangan Henrietta dan membawa mereka ke ruang rehat. 



Henrietta

Henrietta benar-benar kagum dengan Lex. Dia mengenali Lex sebagai lelaki yang berbeza sebelum ini. Baginya senyuman Lex kali ini sambil dikelilingi kanak-kanak itu begitu manis sekali.

Buat pertama kalinya dia mengunjungi rumah anak yatim. Dia begitu gembira berdampingan dengan mereka pada hari itu. Tambahan pula Lex yang begitu baik dengan mereka. Asran seperti biasa masih dapat memikat sesiapa sahaja dengan perwatakannya yang ceria dan lesung pipitnya yang manis itu walaupun kanak-kanak.

Henrietta membacakan buku cerita kepada kanak-kanak itu dan membantu mereka membaca dan menulis. Kesemua kanak-kanak di situ ialah dari lingkungan usia 3 hingga 6 tahun. Sedang dia membaca, Lex menghampirinya. Hatinya berdebar-debar sekali. Itulah pertama kali Lex mendekatinya.

"Awak pandai melayan kanak-kanak." tegur lelaki itu. 
"Awak pun sama." balas Henrietta memberanikan diri. Fikirannya ligat mencari ayat seterusnya. Diaingin berbual-bual lagi dengan Lex.

"Awak selalu datang ke sini?"soal Henrietta.

Lex mengangguk lalu melabuhkan punggung di sebelah Henrietta. Seorang kanak-kanak lelaki berlari dan duduk di ribanya. "Bila tak banyak kerja atau tak ada kelas tambahan hari Sabtu, saya akan datang ke sini. Tempat ni memang istimewa."

"Awak suka budak-budak ya?" Henrietta menyoal lagi.

Lex ketawa sedikit. "Bolehlah sikit-sikit. Saya dan abang saya anak yatim piatu. Saya dihantar ke rumah  anak yatim ketika masih sekolah rendah. Waktu tu abang saya belajar di sekolah menengah berasrama. Kami tak mampu beli rumah sendiri, tapi duit ibu bapa kami digunakan untuk menampung pelajaran abang saya. Lepas dia masuk kolej, dia beli rumah sendiri dan ambil saya keluar dan jadi penjaga sah saya."

Henrietta mendengar cerita Lex dengan senyap. Dia tidak pernah tahu latar-belakang lelaki itu. Sangkanya lelaki itu datang dari keluarga yang berada.

"Saya jarang ceritakan benda ni pada orang lain. Harap awak tak bagitahu sesiapa ye." Lex sempat berpesan. 
Henrietta mengangguk.

Seorang kanak-kanak perempuan menyerahkan sebuah buku kepada Henrietta. "Bacakan cerita ni, kakak."
Henrietta memandang buku itu. "Oh, buku The Little Mermaid ye. Tau tak cerita ni ada versi filem." tanyanya kepada budak perempuan itu. Dia mengangguk.

"Bosanlah. Itu cerita budak perempuan!" jerit seorang kanak-kanak lelaki dari jauh.

"Tak apalah Sid. Nanti, kakak ni akan ceritakan cerita yang Sid nak dengar pula. Biar kita baca cerita Fiona dulu. Alex memujuk budak lelaki bernama Sid itu yang telah memuncungkan bibirnya.


Asran yang asyik memerhatikan mereka dari jauh datang menyertai mereka dan duduk di sebelah Lex. Dia kelihatan seperti hendak mendengar cerita itu juga. Henrietta pun terus membaca buku tersebut yang merupakan adaptasi kartun The Little Mermaid terbitan Walt Disney. Asran juga turut mendengar dengan tekun.

"Nak tahu tak, sebenarnyakan, cerita puteri ikan duyung yang sebenarnya bukan macam ni." Lex tiba-tiba berkata sebaik sahaja Henrietta habis bercerita. Semua mata tepat memandangnya.

"Cerita asalnya berakhir dengan sad ending. Kartun The Little Mermaid ni dah ubah penamat cerita." terang Lex lagi. Henrietta turut mengangguk. Ternyata dia juga mengetahui perkara itu.

"Ceritakanlah cerita asalnya." Asran meminta. Dia kelihatan sungguh berminat dengan cerita itu.

Sebaik sahaja Henrietta hendak membuka mulut untuk bercerita, loceng makan tengah hari telah berbunyi. Semua kanak-kanak itu bangun dan bertempiaran lari ke bilik makan. Mereka semua telah dilatih untuk menepati masa. Henrietta, Asran dan Lex turut dijemput menjamu selera.

Henrietta membantu mengemaskan meja makan selepas selesai makan. Kemudian dia kembali ke bilik rehat dan menyertai Lex yang sedang berbual dengan Lady Marionette. Sebaik ternampak Henrietta, dia bangun mendapatkannya.

"Asran ada hal sedikit. Dia dah balik dulu. Dia minta saya hantarkan awak." kata Lex.

Jantung gadis itu berdegup kencang. Lex akan menghantarnya pulang. Malah, mereka akan menunggang motorsikalnya. Dengan malu dia cuba menolak.
"Tak apalah, saya balik naik bas saja. Lagipun awak tak bawa topi keledar lebih kan?"

"Asran suruh saya hantar awak juga. Dia dah pinjam topi keledar dari tukang kebun di sini untuk awak. Dia mungkin rasa bersalah agaknya." kata Lex lagi.

Tapi Henrietta tahu yang Asran bukannya rasa bersalah, mahupun mempunyai hal lain. Dia sengaja ingin membiarkan Henrietta dan Lex meluangkan masa bersama.

Henrietta tersenyum dan mengangguk. "Terima kasih, Lex" ucapnya.

Terima kasih, Asran. Fikirnya.

0 comments: