Rumah Fantasi ditubuhkan pada awal 2010 bertujuan untuk menghimpunkan semua penulis-penulis bergenre fantasi, thriller, sains-fiksyen dan seram. Usaha ini dilakukan untuk meningkatkan martabat penulisan berbentuk seperti ini dan saling berkongsi ilmu dan manfaat bersama. Apa yang diharapkan lebih banyak karya-karya seperti ini lebih mendapat tempat di pasaran buku Malaysia suatu hari nanti. Pengasas Bersama RF : Anita Aruszi, Farah Husain dan Zuliana Abuas.

Sunday, February 6, 2011

Stanza Terakhir : Bab 1


pic

Stesen MRT Metro, Bandaraya Crysta...

Sebaik sahaja dia melangkahkeluar dari perut kereta api, angin sejuk pada pagi itu menampar lembut pipinya yang putih kemerahan. Badannya menggeletar sedikit menahan kesejukkan. Ezara menggosok-gosok kedua belah tapak tangannya untuk menghasilkan sedikit haba untuk badannya. Dia sedikit menyesal kerana tidak mendengar pesanan kawan baiknya yang menyuruhnya memakai sarung tangan sebelum keluar rumah tadi.

Keadaan di stesen kereta api laju itu hingar bingar. Pemandangan begitu memang biasa pada waktu pagi begini memandangkan mode pengangkutan utama penduduk Crystallisa ialah kereta api laju. Stesen MRT Metro merupakan stesen utama yang terletak betul-betul di tengah bandaraya jadi jumlah pengguna kereta api laju di sini lebih ramai berbanding dengan stesen-stesen yang lain.

Di celah-celah orang ramai yang pantas bergerak menuju ke destinasi masing-masing, Ezara menghayunkan langkahnya ke sebuah kiosk yang menjual kopi dan donut berhampiran pintu masuk utama Stesen MRT Metro. Kehadirannya di hadapan kiosk itu disambut dengan senyuman mesra pemiliknya, Dori.

“Selamat pagi, Cik Ezara.” Sapa Dori mesra.

“Selamat pagi, Dori. Beri saya kopi satu, ya.”

“Baiklah. Cik kena tunggu sekejap ya. Saya nak siapkan pesanan cik berdua ni,” balas Dori sambil memandang ke arah dua orang wanita yang berada di sebelah Ezara.

Ezara mengangguk faham sambil memandang ke arah wanita-wanita di sebelahnya. Dia tersenyum ke arah mereka namun dibalas dengan jelingan tajam. Mereka berbisik sesama sendiri sambil memandang permukaan tangan kanan Ezara yang bertanda dengan 5 garis hitam. Senyuman dibibirnya mati. Ezara mengetap bibir menahan rasa. Melihat permukaan tangan wanita itu yang kosong, Ezara cukup faham dengan jelingan yang diterimanya tadi.

“Musim sejuk dah nak tiba. Kau dah simpan stok makanan ke?” Tanya salah seorang daripada wanita itu kepada rakannya.

“Adalah sikit-sikit. Aku bukan mampu nak beli banyak-banyak pun. Gaji dahlah sedikit. Harga barang pula makin melonjak naik!” Balas rakannya dengan suara yang sengaja dikuatkan.

“Aku pun macam itu jugak. Harap-haraplah musim ini tak ada ribut teruk macam musim lepas sampai kita terpaksa duduk di dalam rumah berminggu-minggu. Kalau tidak, bukan kita mati sebab musim sejuk, tapi sebab kebuluran!”

“Hai...dah nasib orang miskin macam kita ni begitu. Orang-orang Sektor Emas itu lainlah. Boleh pakai baju tebal-tebal, pasang pemanas di dalam rumah. Makanan pun penuh satu stor. Selamatlah mereka.” Perli wanita itu.

Berdesing telinga Ezara mendengar perbualan mereka. Serta merta badannya menjadi panas namun dia tidak mampu berkata apa-apa. Bukan kerana dia takut, tetapi sebab dia tahu apa yang dikatakan ada benarnya. Ezara memandang ke arah Dori. Segaris senyuman pahit terpamer di bibir gadis itu. Dori yang faham dengan ketidakselesaan yang dirasai Ezara segera menghulurkan dua bekas berisi kopi dan sebungkus beg kertas berisi donut ke arah wanita-wanita itu.

“Cik Ezara janganlah terasa hati pula dengan kata-kata mereka tadi, ya. Mereka tu bukan apa. Ekonomi sedang meleset sekarang ni, jadi mood semua orang tak bagus,” ujar Dori seraya ketawa.

Ezara tersenyum kecil. “Saya faham. Saya tak marahkan mereka pun. Cuma...kalau diikutkan tak semua orang di Sektor Emas begitu kan?”

Dori ketawa kecil sambil melirik ke arah tangannya yang juga mempunyai garisan seperti tangan Ezara. Bezanya garisan Dori hanya 3 berbanding Ezara. Belum sempat dia menjawab, mereka dikejutkan dengan laungan kuat budak penjual surat khabar.

“Berita terkini...berita terkini...Tuan Jerome mati dibunuh!”

Laungan budak itu mengundang rasa kurang senang di hati Ezara dan Dori. Sambil menghulurkan kopi ke arah Ezara, wanita itu bersuara perlahan. “Cik Ezara tahu tak tentang khabar angin yang sedang bertiup sekarang?”

“Khabar angin tentang apa?” Soal Ezara hairan.

Dori bergerak keluar dari tempatnya menuju ke arah Ezara. Perlahan wanita itu berbisik di telinga Ezara. “Dengar khabar, pembunuhan-pembunuhan melibatkan orang-orang besar di sini adalah angkara Shadow Clan!”

Ezara tersentak. Riak mukanya nyata terkejut mendengar nama yang sudah bertahun-tahun tidak didengarnya itu. “Mana awak tahu?”

“Di Sektor Zero dah heboh tentang perkara ni. Di sini saja orang diamkan lagi. Tiada siapa berani bercakap sebab takut.” Jawab Dori. Dia kembali semula ke bahagian dalam kiosknya untuk melayan tiga orang pelanggan yang baru sampai ke kiosk kopinya.

Ezara terdiam. Dia menunjukkan isyarat mahu berlalu kepada Dori sebelum bergerak ke arah pintu besar di sebelah kanannya. Sambil berjalan menuju ke akademi tempatnya mengajar, fikiran Ezara ligat memikirkan kahabar yang baru didengarnya dari Dori sebentar tadi. Hatinya tertanya-tanya mengapa kumpulan itu muncul kembali. Setahu Ezara, Shadow Clan, kumpulan pengganas yang terbesar di Crystallisa itu telah lama terkubur. Ketuanya sudah mati dibunuh hampir sepuluh tahun lalu. Orang-orang kanan kumpulan itu juga sudah ditangkap malah ada yang sudah dijatuhkan hukuman mati oleh pihak pemerintah. Serpihan anggotanya juga sudah dibuang negara dan dihantar jauh dari Crystallisa.

Jadi macamana pula nama itu boleh muncul kembali? Ada orang cuba hidupkan kembali kumpulan itukah? Soal Ezara dalam hati.

“Arghh... mungkin ini perbuatan orang-orang yang sengaja mahu menimbulkan masalah!” Ngomelnya sendiri sambil menggeleng. Mungkin pembunuhan itu dilakukan pembunuh bersiri hanya untuk mendapat wang. Dengan keadaan ekonomi Crystallisa yang semakin teruk sekarang, orang sanggup buat apa sahaja demi duit termasuklah membunuh, fikirnya lagi sampil mempercepatkan langkahnya.

***

Neo berdiri tegak bagaikan patung di tepi sebuah kiosk informasi dihadapan sebuah pintu gerbang yang tertera perkataan Akademi Crystallisa. Wajahnya dingin tidak berperasaan. Sorotan mata dan senyuman dari gadis-gadis remaja berpakaian seragam merah putih yang dilontarkan ke arahnya tidak diendahkan. Bukan gadis-gadis itu yang dicari tetapi orang lain. Dari sebalik kaca mata hitamnya dia memerhatikan pelajar-pelajar yang berpusu-pusu melalui pintu gerbang itu. Matanya melirik ke arah jam besar di bangunan menara akademi itu. Tinggal kurang lima minit lagi sebelum sesi persekolahan bermula namun orang yang dicari masih belum muncul. Hatinya mula resah. Dia tidak mahu misinya gagal. Demi sahabatnya dia perlu menemui orang itu.

Tangannya dimasukkan ke dalam poket jaket kulitnya. Sekeping gambar yang sudah hampir renyuk dikeluarkan. Imej seorang gadis sedang tersenyum diampaing seorang lelaki yang tertera di atas gambar itu direnung seketika sebelum dia kembali memerhatikan pintu gerbang itu. Kelibat seorang wanita muda memakai jaket labuh berwarna biru yang sedang berlari-lari anak ke arah pintu gerbang itu membuatkan nafasnya terhenti seketika. Setiap inci wajah itu diperhatikan dalam-dalam.

“Sama!” Bisiknya. Kemudian wanita itu tersenyum ke arah sekumpulan pelajar yang menegurnya. Melihatkan senyuman wanita itu membuatkan dia terkesima. Dia memandang semula gambar ditangannya. “Memang dia!” Ujarnya perlahan.

Neo kembali memerhatikan wanita itu sehingga tubuh wanita itu hilang dari pandangan. Alat perhubungan di dalam poket jaketnya dikeluarkan. Butang ‘1’ ditekan. Tidak lama kemudian kedengaran suara garau seorang lelaki di hujung talian.

“Aku dah jumpa dia!” Beritahunya teruja.

“Kau yakin itu dia?” Tanya suara garau itu.

“Tak syak lagi. Walaupun dia nampak lebih dewasa namun senyuman itu masih sama!”

Suara di hujung talian itu terdiam.

“Grim?” Panggil Neo. Kebisuan sahabatnya itu sedikit merisaukan dirinya. “Grim, kau ok?”

“Kalau itu dia maknanya kita semakin hampir, Neo.” Balas Grim perlahan.

Neo tersenyum kecil. “Ya, Grim. Kita semakin hampir. Tak lama lagi segalanya akan terjawab dan kau akan temui kebahagian kau semula!” Balas Neo. Aku akan pastikan kau menemuinya Grim. Walaupun aku akan terkorban aku akan pastikan kau menemuinya semula, Grim. Aku bersumpah! Ikrar Neo dalam hati.

4 comments:

FirasFirzana said...

Best...senyum sampai ke telinga...bab 2 bila nak....errr nak upload...(takut nak tanya nih!)

Juliaesqa said...

Mungkin kerana aku sudah tahu ini cerita Sic-Fi jadi secara auto fikiran aku terbayangkan stesen MRT moden.. org2nya ... sekolahnya... menarik. Nak tunggu bab 2 lak.hehe.

Megat Alam said...

Salam...
Cik Farah Husain, kenapa bab 3 tak boleh dibaca ye? Puas dah saya klik-klik tapi takce apa-apa pun yang berlaku..masih pegun jugak kat situ..

Farahusain said...

MA, tak boleh baca sebab belum upload lagi. Maaf ye. Slow sikit sebab saya tumpukan pada manuskrip sekarang ni. Insya-Allah akan diupload secepat mungkin.