Rumah Fantasi ditubuhkan pada awal 2010 bertujuan untuk menghimpunkan semua penulis-penulis bergenre fantasi, thriller, sains-fiksyen dan seram. Usaha ini dilakukan untuk meningkatkan martabat penulisan berbentuk seperti ini dan saling berkongsi ilmu dan manfaat bersama. Apa yang diharapkan lebih banyak karya-karya seperti ini lebih mendapat tempat di pasaran buku Malaysia suatu hari nanti. Pengasas Bersama RF : Anita Aruszi, Farah Husain dan Zuliana Abuas.

Tuesday, January 18, 2011

Stanza Terakhir : Prolog

link
Pusat Perubatan Xen, Kota Xen…

Lucas melemparkan pandangan ke luar tingkap. Pemandangan Kota Xen yang cantik itu dipandang sepi. Kali pertama dia menjejakkan kaki ke kota ini beberapa bulan lalu, pemandangan yang sama membuatkan dia dan pasangannya teruja. Pandangan Lucas tertancap pada sebuah bangunan 10 tingkat berbentuk pentagon yang tertera perkataan Room Complex yang menyadiakan ratusan bilik sewa untuk mereka yang memerlukan tempat tinggal. Salah satu daripada bilik itu pernah dihuni bersama pasangannya. Setiap malam mereka akan berdiri di tingkap bilik sewa kecil mereka, memerhatikan keadaan kota ini sambil merancang kehidupan baru mereka. Kota metropolis yang tidak berada di bawah jajahan pemerintahan Crystallisa itu menjadi tempat pilihan mereka untuk memulakan hidup baru. Jauh dari tempat asal mereka yang penuh dengan kejahatan. Jauh dari mereka yang tidak mahu mereka bersatu.

Wajah seorang gadis yang sedang tersenyum manis terbayang di matanya. Lucas berpaling ke sisinya. Dengan langkah yang berat dia berjalan mendekati katil yang menempatkan gadis yang baru sahaja berada difikirannya tadi. Tanggan gadis itu dicapai lalu digenggam. Sebentuk cincin platinum yang tersarung dijari manisnya dikucup lama. Wajah yang pucat tidak bermaya itu direnung lama. Setiap inci wajah itu dipahatkan ke dalam kotak memorinya.

Senyuman manis yang selalu menghiasi bibir gadis itu tidak lagi kelihatan. Sebaliknya sebuah tiub panjang yang kelihatan di antara bibir itu tersambung ke mesin penyambung nyawa di sebelahnya. Setitis air matanya menitis membasahi pipi Lucas. Rasa sebak yang dirasai sejak sebulan yang lalu kembali menyesakkan dadanya. Hari ini, rasa sebak itu bercampur dengan rasa sedih, kecewa dan bersalah yang teramat sangat. Siapa sangka, kehidupan baru yang mereka idamkan hanya dapat dikecapi seketika cuma. Kejahatan yang mereka tinggalkan rupanya mengekori mereka hingga ke sini menyebabkan impian mereka berkecai sama sekali.

Bunyi derapan beberapa pasang kaki yang memasuki bilik persendirian itu membuatkan badannya tegang tiba-tiba. Dia tidak perlu menoleh untuk melihat siapa yang baru memasuki pintu automatik itu. Dia cukup maklum siapa yang sedang berdiri di belakangnya.

“Masanya sudah tiba.” Ujar seorang wanita yang memakai kot labuh berwarna putih dengan sebuah steteskop tergantung di leher.

“Kenderaan sudah menunggu.” Beritahu lelaki botak berkaca mata yang memakai sut berwarna hitam di sebelah doktor wanita itu.

Dia menyeka air mata dengan sebelah tangannya. Sebelah lagi tangannya masih utuh mengenggam tangan gadis di atas katil itu. Tangan itu dikucup untuk kali terakhirnya. Dia membongkokkan badannya ke arah wanita itu. Bibirnya didekatkan ke telinga wanita itu. “Maafkan aku kerana terpaksa memungkiri janji kita. Percayalah, sampai ke akhir hayatku, hanya kau gadis pertama dan terakhir dalam hati ini. Kau segala-galanya untukku. Kerana itu aku terpaksa lakukan semua ini. Maafkan aku.” Bisiknya perlahan. Air matanya jatuh menitis ke pipi dingin itu.

Cincin platinum di jari wanita itu diusap. Perlahan jarinya menanggalkan cincin yang baru sahaja sebulan tersarung di jari manis itu. Cincin itu digenggam erat. Wajah itu ditatap buat kali terakhir.

“Ingat. Jika kalian memungkiri janji kalian, aku akan pastikan hidup kalian tidak akan selamat!” Keras dia memberi amaran.

“Kau pegang janji kau, dan kami pegang janji kami. Selagi ada persefahaman itu di antara kita, aku beri jaminan semuanya akan berjalan lancar.” Janji doktor itu lagi.

Dia menelan liur yang terasa kesat di tekak. Matanya dipejam kuat. Tangan gadis itu digenggam sekuat hatinya. Hatinya mula berbelah bahagi. Melepaskan tangan ini bermakna dia akan kehilangan gadis ini. Namun jika dia masih berterusan begini, kesudahannya tetap sama. Dia tetap akan kehilangan. Dan kehilangan yang satu ini adalah untuk selamanya.

“Kita sudah tak punya masa yang banyak. Kita harus pergi sekarang.” Gesa lelaki botak itu.

Lucas menarik nafasnya dalam-dalam. Tangan gadis itu cepat-cepat dilepaskan. Tanpa menoleh dia terus melangkah keluar meninggalkan bilik itu. Kakinya melangkah pantas. Maafkan aku. Tidurlah, sayang. Sampai masanya aku akan kembali. Bisiknya dalam hati.

Di luar, beberapa orang lelaki berbaju hitam berdiri tegak mengelilingi sebuah kereta berwarna hitam. Dia diarahkan masuk ke dalam kereta itu diikuti lelaki botak yang mengiringinya tadi. Sebaik sahaja pintu kereta ditutup, lelaki botak itu terus menekan butang hijau pada papan kekunci di dalam kereta itu. Beberapa saat kemudian hologram seorang wanita muda yang sedang tersenyum manis muncul di hadapan mereka. Wajah wanita yang sedang tersenyum itu direnung tajam.

“Sudah aku katakan. Kau akan bersama aku akhirnya, Lucas.” Ujar wanita itu angkuh.

“Hanya sekarang Ixora. Selepas ini aku akan kembali kepada Alaina.”

Ixora ketawa kuat. Matanya merenung tepat ke dalam anak mata Lucas. “Beritahu aku sesuatu, Lucas. Macamana kau hendak kembali kepada orang yang sudah tiada?”

“Apa maksud kau?” Bentak Lucas. Serentak dengan itu satu letupan kuat kedengaran di belakangnya. Lucas pantas menoleh ke belakang. Dari dalam kereta dia melihat api yang sedang marak dengan asap berkepul-kepul naik ke udara di pusat perubatan yang baru ditinggalkan tadi. Jantung Lucas bagai hendak tercabut melihat bangunan 10 tingkat itu sudah berkecai dan kini hanya diselaputi asap tebal. Dia cuba untuk keluar dari perut kereta namun pantas dihalang lelaki botak di sisinya.

“Alaina…” Ucap Lucas sebelum pandangannya menjadi gelap.

3 comments:

FirasFirzana said...

best! bila nak sambung?...

Unknown said...

Nyum nyummm

Unknown said...

Terima kasih..dah lama tak bc story mcm ni..sambung ya..saya tunggu