Rumah Fantasi ditubuhkan pada awal 2010 bertujuan untuk menghimpunkan semua penulis-penulis bergenre fantasi, thriller, sains-fiksyen dan seram. Usaha ini dilakukan untuk meningkatkan martabat penulisan berbentuk seperti ini dan saling berkongsi ilmu dan manfaat bersama. Apa yang diharapkan lebih banyak karya-karya seperti ini lebih mendapat tempat di pasaran buku Malaysia suatu hari nanti. Pengasas Bersama RF : Anita Aruszi, Farah Husain dan Zuliana Abuas.

Monday, March 28, 2011

CUPID : Chapter 10

Henrietta

"Itu ke lelaki terhebat di abad ini kau tu? Boleh tahan juga kau ni ye. Patutla beria-ia ubah gaya ni." perli Elis. Makanan di hadapannya tidak disentuh. Dia memandang wajah Henrietta meminta penjelasan.

Henrietta mengangguk lalu tersenyum. Dia kelihatan bahagia dan tersengih seorang diri membuatkan Elis menampar pipinya perlahan.

"Jangan sengih-sengih macam tu di tempat awam ni boleh tak? Aku tak nak dikatakan berkawan dengan orang gila." tegur Elis sambil memandang kiri dan kanan. Henrietta terbatuk kecil lalu mengambil sudu dan menyuapkan makanannya dalam mulut. Selepas itu dia kembali tersengih sambil ketawa kecil.

"Kau jangan marah aku kalau aku tinggalkan kau kat meja makan ni sorang-sorang. Dah le memandai cakap nak bawa aku sekali pergi dating. Aku pun ada hal sendiri juga tau." marah Elis lagi.

"Janganlah marah. Aku segan sebenarnya tadi. Lagipun kami bukan keluar berdua saja. Ada sorang lagi kawan kami, lelaki. Takkanlah aku sorang saja perempuan. Kawan aku tu kacak juga tau." pujuk Henrietta cuba memancing minat Elis.

"Kau ingat aku suka ke lelaki hensem hah? Mereka tu tak boleh diharap." kata Elis lagi.

"Taklah. Kawan aku ni memang baik. Aku pasti kau mesti suka pada dia." balas Henrietta.

"Habis tu kenapa kau tak suka kawan kau tu pulak?" tempelak Elis lagi. Bukan mudah memujuk gadis itu.

"Sebab aku sukakan orang lain." bisik Henrietta sambil tersenyum-senyum lagi. Elis mencebik dan memandang Henrietta dengan satu pandangan yang menyindir. Tetapi, dia pasti dia akan terpaksa mengikut gadis itu juga nanti.

Malam itu Henrietta menelefon Asran. "Maaflah, saya tak ikut nasihat awak. Saya dah bercakap dengan Lex malah dah memaafkan dia."

Kedengaran suara Asran mendengus kecil. "Nak buat macam mana, awak cepat sangat cair dengan dia. Tapi, tak apalah kalau dia dah ajak awak keluar. Tapi, mesti awak kecewa, kan?" kata Asran. Mulutnya kedengaran berbunyi penuh. Henrietta pasti dia sedang mengunyah makanan.

"Kenapa pulak?" soal gadis itu hairan.

"Yelah. Sebab awak tak boleh keluar berdua saja dengan dia." jawab Asran sambil ketawa terkekeh-kekeh. Gemar sungguh dia mengusik Henrietta.

Wajah Henrietta menjadi panas. Memang itulah yang bermain difikirannya tadi. Asran seperti dapat membaca fikirannya dengan mudah, malah mengambil kesempatan untuk mengusiknya.

"Sudahlah. Saya nak letak telefon!" kata Henrietta cuba menahan malu. Namun kedengaran Asran memanggilnya.

"Esok petang, turun ke padang. Awak boleh tengok kami berlatih bola. Perlawanan dah dekat." beritahu Asran cuba meneutralkan keadaan sebelum mematikan telefon. 

Malam itu Henrietta tidak dapat melelapkan mata. Dia hairan bagaimana keadaan boleh berubah setibanya Asran disisinya. Asran seolah-olah menjadi penyelamatnya sejak akhir-akhir ini. Akhirnya dia tertidur juga, mengharapkan Lex yang hadir dalam mimpinya.

Namun, orang yang muncul dalam mimpinya malam itu bukannya Lex tetapi Asran. Dia bangun pada keesokan harinya dalam keadaan bingung.

Pagi itu seperti biasa Asran tersengih melihatnya sebelum duduk di sebelah Lex. Dia tidak lagi duduk disisinya seperti dulu. Untuk seketika dia terkenangkan mimpinya semalam. 

Asran hadir dalam mimpinya dan mencium dahinya sebelum hilang secara tiba-tiba. Badannya menjadi hangat memikirkan Asran yang telah mencium dahinya di dalam mimpi.

Henrietta segera memandang ke hadapan kelas. Kemudian dia menggeleng-gelengkan kepala. 

Asran yang perasan akan perubahan gadis itu hanya memandangnya dengan tanda tanya.


Lex

Hati Lex melonjak-lonjak petang itu. Henrietta sedang duduk di tepi padang bersama beberapa rakan sekuliah mereka dan memerhatikannya berlatih. Entah kenapa semenjak dua ini fikirannya hanya ada Henrietta. Malah di dalam kelas, matanya sentiasa melirik memandang gadis itu yang duduk beberapa baris di hadapannya.

Dia menjadi semakin sensitif dengan kewujudan Henrietta. Telinganya akan cepat menangkap perbualan dan gelak tawa gadis itu. Matanya pula sentiasa mencari-cari kelibat Henrietta di mana-mana. Apabila dia terpandang Henrietta, hatinya berdegup sedikit kencang.

Apabila dia menyuarakan rasanya itu kepada Asran, lelaki itu ketawa terbahak-bahak. Asran memegang tangan kanannya lalu meletakkannya di dada.

"Tanyalah hati kau sendiri." katanya.


Sepanjang minggu itu Lex dan Henrietta banyak meluangkan masa bersama. Tak kira di kafetaria, di kelas, mahupun di perpustakaan. Lex yang bijak itu selalu menawarkan diri membantu Henrietta dalam pelajaran yang tidak difahaminya. Kadang-kadang sahaja mereka akan disertai oleh Asran.

Asran pula berjanji akan bermain untuk pasukan universiti ketika perlawanan bola sepak mereka yang akan diadakan kurang dari dua minggu lagi. Mereka bertiga menjadi semakin akrab. Henrietta tidak lagi kelihatan seperti gadis pendiam atau pemalu di dalam kelas.

Lex semakin teruja menghitung hari untuk keluar bersama-sama gadis itu pada hujung minggu ini.

**********

Hari yang dinanti-nantikan kedua-dua mereka tiba juga akhirnya. Pada pagi Sabtu yang cerah dan nyaman itu, kami berempat berkumpul di perkarangan universiti. Aku menawarkan diri menjadi pemandu memandangkan aku seorang yang mempunyai kereta. Henrietta datang bersama seorang kawan perempuannya yang diperkenalkan kepadaku. Elis namanya. 

"Macam double date pulak ye." kata Elis dengan gembira. Lex dan Henrietta merenungnya dan wajah masing-masing berubah merah. Gadis bernama Elis ini kelihatan ceria dan boleh menghidupkan suasana. 

 Kedua-dua gadis itu yang membuat perancangan pada hari itu. Kami akan ke Taman Tema Flamingo yang merupakan taman tema terbesar di negara itu. Aku juga sedikit teruja kerana inilah pertama kali aku ke taman tema. Malah bersama kawan-kawan.

Nanti dulu! Kawan-kawan? Sejak bila aku menganggap mereka sebagai kawan?

Lex menunjukkan jalan sedang aku menjadi pemandu. Kedua-dua gadis itu pula berbual-bual di belakang. Kami tiba apabila hampir tengah hari. Cuaca yang cerah dan sangat baik itu sangat menyebelahi kami. Aku beharap ia akan berlanjutan hingga ke petang.  

Taman tema itu sangat luas dan kelihatan begitu ramai orang yang mengunjung, dari pasangan muda, hinggalah keluarga yang ramai. Kanak-kanak begitu seronok berlari ke sana-sini. Terdapat banyak gerai kecil yang menjual makanan ringan dan permainan kanak-kanak. Kedengaran suara-suara jeritan dari mereka yang menaiki roller coaster.

"Apa yang kita nak naik dulu?" Elis menyoal sambil menggosok-gosok gelang taman tema yang dipakai di tangan kirinya itu. Dia nampaknya tidak sabar hendak bermain. Seutas gelang plastik diberikan kepada pengunjung ketika membeli tiket tadi dan mereka diminta menunjuk gelang itu jika ingin menaiki permainan di situ.

"Jom kita naik roller coaster dulu." ajakku kepada Elis. Gadis itu mengangguk lalu kami terus berjalan ke bahagian permainan roller coaster tanpa mempedulikan Lex dan Henrietta. Begitu ramai orang beratur untuk menaiki permainan itu dan kami turut sama berdiri di belakang barisan. Kedua-dua Lex dan Henrietta mengikut dari belakang.

Sengaja kubiarkan mereka berjalan berdua dan melayan kerenah Elis. Sekali-sekala aku menoleh memandang ke arah mereka yang sedang berbual. Henrietta masih kelihatan malu namun dia sudah mula membiasakan dirinya. Lex pula nampaknya cuba bersikap gentleman. Aku tahu panah cinta Henrietta sudah mengena. Lex nampaknya sudah menyukai gadis itu.

Untuk seketika aku berdiri memerhatikan mereka yang berjalan lambat-lambat ke arah kami. Satu perasaan aneh melintasi hatiku apabila melihat mereka berdua yang begitu mesra. Aku tidak pasti kenapa tetapi rasanya hatiku terasa begitu sakit seperti dicucuk dengan duri tajam.

"Asran!" tegur Elis dua-tiga kali. Barisan semakin pendek dan kami harus bergerak ke hadapan. Aku segera sedar dan berjalan mengikutinya. 

Apabila tiba giliran kami berempat, aku duduk berdua bersama Elis dan Henrietta bersama Lex duduk di barisan hadapan kami. Apabila keretapi itu mulai bergerak, suara Elislah yang paling jelas kedengaran. Tangan kanan Henrietta merangkul erat lengan kiri Lex. Dia kelihatan sedikit takut namun langsung tidak menjerit.

Pada waktu itu, aku mula berasa mual. Tetapi aku pasti ianya bukan disebabkan oleh roller coaster yang bergerak laju itu.


Henrietta

Hari sudah petang apabila hampir kesemua permainan dinaiki mereka. Henrietta duduk kepenatan di sebuah kerusi batu. Elis masih belum puas menaiki permainan itu dan dia mahu menaiki roller coaster sekali lagi. Asran yang bersemangat juga itu pun sudah mengaku kalah. Dia dan Lex juga duduk di kerusi batu itu, kedua-duanya di sebelah kanan dan kiri Henrietta.

Asran menarik nafas panjang. "Hebat betul Elis tu ya! Perut dia boleh tahan bila naik permainan yang berpusing-pusing laju semua. Apa yang dia makan agaknya?" kata lelaki itu sambil menyandar pada kerusi itu.

Henrietta ketawa. "Dia memang tahan lasak serba-serbi."

"Awak tu pun apa kurangnya. Langsung tak menjerit bila naik roller coaster." Asran berkata. Suaranya kedengaran serius. Matanya memandang tepat ke mata Henrietta. Pandangan dari mata Asran itu membuatkan Henrietta tersentak. Anak matanya berwarna hitam pekat itu merenung wajah Henrietta tajam. Gadis itu terus memandang ke arah lain. Jantungnya berdebar-debar.

Lex tiba-tiba bangun dari kerusi. "Saya nak belikan minuman. Kamu berdua nak minum apa?" soalnya.
"Kau nak belanja ke?" soal Asran tersengih, kembali ke sifat asalnya. 
"Yalah. Sebab kau sponsor kereta hari ni." balas Lex.
"Belikan aku coke sejuk. Letak aiskrim di atas kalau ada." pesan Asran. Dia kemudian memandang Henrietta.
"Chocolate strawberry." Henrietta memesan minuman kegemarannya itu.
Lex mengangguk dan berlalu ke satu arah mencari-cari gerai menjual minuman. 

Henrietta terdiam. Dia kelihatan kekok secara tiba-tiba apabila berdua sahaja bersama Asran. Lelaki itu pula masih bersandar di kerusi. Kedua-dua mereka masih diam membisu.

Beberapa minit kemudian Asran memecahkan kesunyian itu. "Apa perkembangan awak dengan Lex sekarang?" 

Henrietta berkalih memandangnya. "Kami makin rapat. Saya dapat berbual macam biasa dengan dia." jawab gadis itu.

"Baguslah. Awak hampir dapat apa yang awak nak, kan? Semuanya sebab awak memang hebat." puji Asran. Dia tersenyum manis menampakkan lesung pipitnya itu. Henrietta terpana memandang senyuman itu. Dari dahulu lagi lesung pipit Asran yang manis itu memang menarik perhatiannya namun kali ini, senyuman itu telah membuatkan jantung Henrietta berdegup laju. Berbeza dengan dahulu.

Asran segera memandang ke hadapan mereka. Matanya menangkap satu bangunan di hadapan mereka yang tertulis 'WORLD OF WALT DISNEY'. Dia bingkas duduk tegak. 

"Bukan ke cerita ikan duyung yang awak pernah bacakan dahulu ialah adaptasi kartun dari Walt Disney?" soalnya kepada Henrietta secara tiba-tiba. 

Henrietta kemudian teringatkan cerita The Little Mermaid yang dibacanya di rumah anak yatim Sunshine dahulu. "Ya. Kenapa?" soalnya hairan. Dia turut melihat ke arah bangunan di hadapan mereka itu.

"Bukankah Lex pernah cakap yang versi asal cerita ikan duyung bukan macam tu? Awak tahu tak versi asalnya?" tanya Asran. 

"Tahu. Tapi kenapa awak macam minat je dengan cerita ni?" Henrietta menyoal membali kehairanan. 

Asran ketawa kecil. "Anggap je la saya pun ada sifat feminin dalam hati." katanya sambil meletakkan tangan didada.

Henrietta tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala. 

"Ceritanya macam ni. Ada sorang ikan duyung cantik yang tinggal dalam laut ni. Satu hari dia sengaja timbul di permukaan dan ternampak sebuah kapal. Tiba-tiba saja ribut datang dan kapal tu terbalik. Nakhoda kapal yang merupakan seorang anak bangsawan terjatuh dalam laut dan ikan duyung tu selamatkan dia dan letakkan dia di atas batu."

"Ikan duyung jatuh cinta, dan setiap hari dia akan timbul di permukaan untuk tengok lelaki tu. Dia tak dapat naik ke darat sebab dia bukan manusia dan tak ada kaki. Kemudian dia pergi berjumpa ahli sihir dalam laut dan minta untuk ditukarkan menjadi manusia. Ahli sihir bersetuju untuk memberi sepasang kaki kepada ikan duyung dengan syarat ikan duyung memberi suaranya yang sedap tu kepada ahli sihir."

Asran mendengar dengan khusyuk setiap patah perkataan Henrietta.

"Syarat seterusnya, ikan duyung mesti membuat lelaki manusia tu jatuh cinta kepadanya dalam satu tempoh masa tertentu. Kalau gagal dia akan mati."

"Mati?" Asran menyoal. Wajahnya berkerut.

"Ikan duyung tu masih bersetuju dan dia pun mendapat sepasang kaki. Dia naik ke darat dan pergi ke rumah lelaki tu dan tinggal di sana. Mereka berkawan baik, tetapi ikan duyung yang bisu tu tak dapat meluahkan perasaannya. Lelaki ni pula bercinta dengan orang lain dan berkahwin. Ikan duyung ni enggan pulang ke laut sebab dia terlampau cintakan lelaki tu dan akhirnya, dia berubah menjadi buih-buih di laut sebab cintanya yang tak kesampaian."

Henrietta menamatkan cerita.

"Penamat yang menyedihkan." Henrietta terdengar Asran berbisik sendiri.

Lex muncul dari jauh dengan membawa 4 gelas plastik minuman dan sebungkus makanan ringan. Dia turut membeli minuman yang sama dengan Henrietta untuk Elis yang masih belum kelihatan itu.

Mereka menikmati minuman di kerusi itu apabila telefon bimbit Henrietta berbunyi. Elis menelefonnya dan menyuruh mereka datang ke tempat permainan ferris wheel. Katanya dia ingin mereka menaiki ferris wheel sebelum pulang dan menamatkan hari itu.


Matahari hampir terbenam apabila mereka menaiki gondola. Taman tema itu hampir lengang dan pengunjung mula beransur pulang. Taman tema itu tidak dibuka pada malam hari. Disebabkan tidak ramai yang menaiki gondola ferris wheel pada waktu itu, Lex mencadangkan mereka menaikinya secara berpasangan.

Henrietta dan Lex menaiki gondola di hadapan manakala Asran dan Elis menaiki gondola yang seterusnya. Henrietta duduk di bahagian yang menghadap gondola di belakang manakala Lex duduk di hadapannya.

Suasana begitu romantik pada waktu itu dengan matahari yang mulai berlabuh. Warna oren senja mula mewarnai langit. 

Henrietta dan Lex terdiam sahaja sewaktu menaiki gondola itu. Masing-masing tidak banyak bercakap dan hanya tersenyum apabila mata mereka bertembung.

Sedang Henrietta begitu asyik memandang permandangan di luar, Lex tiba-tiba bersuara yang membuatkan dia begitu terperanjat. Lelaki itu telah meluahkan perasaannya terhadap gadis itu, dan dia kelihatan malu.

Henrietta mengeluh di dalam hati. Jika dulu kata-kata itulah yang paling dinanti-nantikan untuk keluar dari mulut Lex, namun sekarang kata-kata itu membuatkan dia berasa serba-salah dan berasa terbeban.

Sebabnya dia dalam hatinya kini, hadirnya seorang lagi lelaki. Dia hanya tersenyum tanpa memberi kata putus. Lex bersedia memberi masa kepadanya untuk berfikir.

Henrietta mengangkat kepala memandang gondola di belakang gondola mereka. Sekali lagi jantungnya berdegup kencang apabila terpandang Asran yang duduk menghadap gondolanya. Lelaki itu sedang merenungnya dengan muka yang serius.


5 comments:

Witch a.k.a Okie said...

VW, rasanya2 kan Cupid ni nanti ada versi ke-2 kah nanti? mengharap ni...hehe..btw, keep it up :)

Sasha Aihara @ Virtual Writer said...

Okie: tak taula.. hahaaa.. yg kat sini sama dgn dlm blog sy. akan difikirkan utk buat CUPID 2. Thanks for the suggestion.

Witch a.k.a Okie said...

wah..tak sabar rasanya nak baca C2, sbb sy sedih sgt Asran mati dalam C1 T_T...hehe

Anonymous said...

virtual writer..... boleh satu tau address blog awak...nk baca enovel awak...plsss...nk baca cupid...plsssss

Sasha Aihara @ Virtual Writer said...

http://keretatua.blogspot.com/

ps: ada dua lagi e-novel yg belum habis dan satu cerpen. Enjoy ur visit dan sila komen.