Lex sedikit gelisah. Dia telah meluahkan perasaannya kepada Henrietta ketika mereka berdua menaiki Ferris Wheel tadi. Dia sememangnya merancang untuk memberitahu gadis itu sejak awal pagi dan fikirannya ligat mencari peluang. Apabila mereka ingin menaiki Ferris Wheel itu tadi, dia segera tahu yang dia telah mendapat peluang untuk berduaan dengan Henrietta dan seterusnya meluahkan perasaannya.
Dia terkenangkan peristiwa di dalam gondola tadi.
Hati Lex berdebar-debar. Dia terus memerhatikan wajah gadis itu yang kelihatan begitu asyik memandang permandangan di luar. Mereka tidak bercakap sepatah pun sewaktu menaiki gondola itu.
Lex berkira-kira dalam hati. Dia ingin memanggil Henrietta namun suaranya seperti terlekat di kerongkong.
Sewaktu gondola mereka hampir sampai ke puncak, angin senja bertiup masuk ke dalam gondola. Rambut Henrietta terbuai-buai ditiup angin di hadapan mukanya. Gadis itu menyebak rambutnya ke belakang.
Lex terpana melihat Henrietta yang pada ketika itu kelihatan begitu anggun baginya. Henrietta bukanlah seorang gadis yang begitu cantik sehingga menjadi rebutan namun dia berjaya menarik perhatian Lex.
"Henrietta!" panggil Lex bernada perlahan.
Gadis itu memandangnya dan menyahut. Seulas senyuman terukir di bibirnya.
"Saya emm.... saya rasa saya sukakan awak. Maksud saya, lebih dari seorang kawan." luah Lex sedikit teragak-agak. Dia menanti untuk melihat reaksi gadis itu.
Henrietta kelihatan sedikit terkejut. Matanya terbuka luas dan dia memandang Lex tanpa berkelip.
"Tak apa. Saya bukan mengharapkan jawapan awak sekarang. Awak fikirlah betul-betul dan beri jawapan awak bila awak dah bersedia." sambung Lex lagi. Untuk seketika dia menyesal kerana telah meluahkan kata-katanya tetapi sudah terlalu lambat untuk itu. Reaksi Henrietta susah untuk dibaca. Tetapi dia tahu buat masa sekarang, kesannya tidak begitu baik.
Dia nampak riak wajah Henrietta berubah. Dia nampak wajah Henrietta kelihatan seperti serba-salah dan sedikit sedih.
Mereka langsung tidak bercakap sementara menunggu gondola mereka menjejak ke bumi semula.
Lex, Asran, Henrietta dan Elis berjalan keluar ke kereta selepas itu. Suasana di dalam kereta senyap sunyi tanpa bunyi perbualan mereka mahupun radio. Matahari sudah mula melabuhkan dirinya.
Lex mengerling Henrietta yang duduk di kerusi belakang melalui cermin pandang belakang. Gadis itu sedang termenung memerhatikan permandangan luar tingkap yang gelap gelita itu. Fikirannya sedang menerawang jauh. Elis di sebelahnya pula sedang tidur nyenyak kepenatan.
Lex berkalih memandang Asran yang sedang memandu pula. Lelaki itu juga senyap dan wajahnya kelihatan serius dan muram. Tiada lagi wajah ceria di mukanya. Asran juga kelihatan seperti sedang termenung jauh.
Keesokan paginya Lex pergi ke padang universiti untuk latihan bola sepak. Dia masih dapat bermain dengan baik walaupun perkara semalam masih menganggu fikirannya. Asran juga datang untuk latihan. Dia berjanji akan bermain untuk perlawanan mereka nanti.
Selesai latihan, Lex dan Asran duduk di tepi padang. Mereka duduk berjauhan dengan beberapa pemain lain kerana ingin perbualan mereka tidak didengari.
Lex menceritakan tentang luahan perasaannya kepada Asran. Lelaki itu mendengar dengan khusyuk.
"Maksud kau dia masih belum beri jawapan?" soal Asran. Dahinya berkerut memikirkan sesuatu.
"Yelah. Mungkin dia terkejut sebab aku tiba-tiba cakap macam tu. Lagipun, dia mungkin tak sukakan aku." balas Lex. Nada suaranya merendah.
"Tak mungkin. Dia kan ..." Asran mencelah dengan nada yang agak tinggi tetapi dia berhenti bercakap serta-merta. Lex memandangnya kehairanan.
"Dia apa?" soal lelaki itu cepat. Muka Asran ditatap.
Asran menggeleng. "Maaf, aku kena pergi sekarang. Ada hal." Dia bingkas berdiri dan terus berlari ke arah keretanya yang diparkir di luar padang. Lex ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga.
Dalam hatinya, Lex berasa curiga.
Henrietta
Pagi Ahad yang dingin. Henrietta masih berbaring di atas katil. Dia sudah lama bangun dari tidur, namun masih bermalas-malas di atas katil. Sengaja dia tidak menarik langsir membiarkan sinar pagi menerangi biliknya seperi selalu.
Biliknya bersaiz sederhana dan bergaya ringkas, dengan sebuah katil single di tepi tingkap. Sebuah laci kecil putih diletakkan di sisi katil dan dia meletakkan barang-barang peribadinya di situ. Sebuah almari pakaian diletakkan berhadapan dengan katilnya dan sebuah cermin kecil dilekatkan di dinding berdekatan pintu.
Fikirannya menerawang memikirkan setiap perkara yang berlaku padanya semalam. Memikirkan Lex yang telah meluahkan perasaannya, memikirkan setiap renungan Asran yang telah menggugahkan hatinya dan sedikit-sebanyak menghakis perasaannya terhadap Lex.
Henrietta menekup mukanya dengan bantal dan menjerit nyaring. Elis yang tidur di bilik sebelah bingkas membuka pintu biliknya dengan kelam-kabut.
"Kenapa Henrietta? Ada pencuri masuk ke?" soal gadis itu kelihatan mamai. Nampaknya dia masih tidur tadi.
Henrietta terduduk di atas katil. Dia menggeleng.
"Habis tu kenapa kau menjerit pagi-pagi ni?" soal Elis lagi sambil menguap. Dia kelihatan masih kepenatan selepas berhibur setengah hari semalam.
"Tak ada apa-apalah. Pergilah tidur balik." balas Henrietta. Terasa bersalah mengejutkan kawannya itu.
Tetapi Elis tidak berganjak sebaliknya berjalan perlahan-lahan ke katil Henrietta. Dia duduk di birai katil sambil menggosok-gosokkan matanya.
"Ada apa-apa yang berlaku ke, Henrietta?" gadis itu menyoal.
Henrietta memandang Elis. Tiada apa-apa yang boleh disembunyikan dari kawan baiknya itu.
Henrietta tersenyum dan menggeleng, masih mahu menyembunyikan kegusaran hatinya. Dia tidak mahu bercerita kepada sesiapa.
"Kau runsing sebab Lex ke? Ataupun sebab Asran?" Elis memancing jawapan. Dia nampaknya tahu kawannya itu rungsing disebabkan salah seorang dari mereka. Dia nampak perubahan wajah gadis itu semalam selepas mereka pulang dari taman tema Flamingo. Henrietta kelihatan bermuram durja, layanannya berbeza. Elis begitu pasti sesuatu telah berlaku melibatkan gadis itu dengan Lex dan Asran atau sekurang-kurangnya salah seorang dari mereka.
Henrietta memandang Elis terkejut. Elis merenungnya menunggu jawapan. Akhirnya Henrietta membuka mulut.
"Dia cakap dia sukakan aku semalam." kata Henrietta perlahan. Mukanya tunduk memandang bantal yang dipeluknya sedari tadi.
Mata Elis membulat. "Siapa? Lex?"
Henrietta mengangguk.
"Bila?" soalnya lagi.
"Waktu naik ferris wheel." jawab Henrietta sepatah.
"Apa kau jawab? Kau terima?" soal Elis lagi mula hilang sabar. Rasa mengantuknya hilang dan dia kini segar-bugar.
"Aku tak jawab apa-apa. Aku tak janji apa-apa." balas Henrietta. Dia mula memeluk bantalnya dengan erat.
Elis sekali lagi membulatkan mata. "Kenapa? Bukankah kau sukakan Lex? Kenapa kau nampak serba-salah pulak ni?" soalnya lagi. Dia teringat betapa seronoknya Henrietta apabila Lex mengajaknya keluar minggu lalu di kafetaria. Tetapi kini, gadis itu mula berbolak-balik.
Henrietta tidak menjawab. Dia hanya memandang muka Elis. Elis menekup mulutnya. "Sebab... Asran ke?" dia bertanya lambat-lambat.
Perlahan-lahan Henrietta mengangguk.
Elis menarik nafas panjang. Dia mula bersandar di bucu katil. "Sejak bila kau suka Asran pulak? Dulu kau cakap dia hanya kawan."
"Entahlah. Memang dia dulu kawan aku. Lagipun, dialah yang membantu aku berubah macam sekarang ni. Dia jugak yang tolong aku mendekati Lex. Aku sendiri tak sedar sejak bila aku... "Henrietta tidak dapat menghabiskan kata-katanya. Dia termalu sendiri.
"Okey, sejak bila kau suka Lex?" Elis mula menyoal siasat lagak seorang polis.
"Err... sejak emm... sekolah menengah dulu." jawab Henrietta teragak-agak. Elis merenungnya bagai tidak percaya. "Aku sekelas dengan dia sejak sekolah menengah dan sekolah tinggi sampailah sekarang." jelas Henrietta lagi.
"Okey, sejak bila kau kenal Asran pulak?" tanya Elis lagi.
"Dia pelajar pertukaran dari Barnadia. Dia masuk kelas aku lebih kurang 3 minggu lepas." jawab Henrietta.
"Maksudnya, cinta kau kepada Lex yang dah lama tu," Elis mula mengira dengan jari. "...yang dah 10 tahun tu, dah hilang sebab lelaki yang baru kau kenal 3 minggu lepas?"
Henrietta mengeluh. "Janganlah judge aku macam tu. Aku tak pernah bercakap langsung dengan Lex selama ni. Aku rasakan yang aku lebih kenal Asran daripada aku kenal Lex."
"Betul ke kau benar-benar kenal Asran tu?" tanya Elis memprovok.
Henrietta terkedu. Cakap Elis ada benarnya. Dia memang tidak mengetahui apa-apa berkenaan Asran kecuali namanya. Lelaki itu tidak pernah bercakap tentang dirinya. Gadis itu berbaring dan merenung siling.
"Sudahlah. Dia tak mungkin suka aku, kan?" kata Henrietta perlahan. Dia tidak mahu membina harapan tinggi.
Elis memandang Henrietta. Dia tiba-tiba seperti teringatkan sesuatu namun, tidak pasti samada dia melakukan perkara yang betul untuk memberitahu kawannya itu atau tidak. Elis mengeluh kuat menyebabkan Henrietta berkalih memandangnya.
"Aku mula-mula nak abaikan saja apa yang aku nampak sebab aku tak begitu pasti." kata Elis sambil menggigit bibir. Dia menyebak rambut ikal coklatnya ke belakang.
"Apa?" soal Henrietta hairan. Dia duduk kembali di atas katil.
"Aku nampak err... cara Asran pandang kau berdua lain sangat. Muka dia macam marah-marah, macam sedih pun ada. Dia banyak termenung bila berdua saja dengan aku. Sepatah aku tanya, sepatah dia jawab." beritahu Elis.
Henrietta kehairanan. Dia mengengsot menghampiri Elis di penjuru katil. "Betul ke?"
Elis mengangguk. "Dia asyik pandang kau dan Lex aje. Kau tau, cara pandangan dia tu macam... cemburu."
"Cemburu?" Henrietta menyoal kembali. Dahinya berkerut. "Tak mungkin." bisiknya sendiri.
Telefon bimbit Henrietta yang tiba-tiba berdering mengejutkan mereka berdua. Henrietta segera mencapai telefonnya yang diletakkan di atas laci kecil di tepi katil. Dia memandang skrin dan mengerutkan wajah.
"Asran." katanya kepada Elis sambil menunjukkan skrin telefon sebelum menekan punat untuk menjawab.
0 comments:
Post a Comment