Rumah Fantasi ditubuhkan pada awal 2010 bertujuan untuk menghimpunkan semua penulis-penulis bergenre fantasi, thriller, sains-fiksyen dan seram. Usaha ini dilakukan untuk meningkatkan martabat penulisan berbentuk seperti ini dan saling berkongsi ilmu dan manfaat bersama. Apa yang diharapkan lebih banyak karya-karya seperti ini lebih mendapat tempat di pasaran buku Malaysia suatu hari nanti. Pengasas Bersama RF : Anita Aruszi, Farah Husain dan Zuliana Abuas.

Wednesday, July 6, 2011

Stanza Terakhir : Bab 3

Dewan berbentuk heksagon yang sederhana besarnya itu riuh rendah dengan suara beberapa orang ahli tertinggi Majlis Senat. Wajah masing-masing kelihatan gusar, risau dan ada di antaranya yang pucat lesi. Semuanya gara-gara berita yang diterima mereka beberapa jam lalu. Berita yang sama juga yang membuatkan sidang tergempar ini terpaksa diadakan demi menyakinkan ahli-ahli senat bahawa tiada apa yang perlu mereka bimbangkan.

Rayyu duduk memerhatikan gelagat ahli-ahli senat di hadapannya dengan wajah bosan. Kalau bukan kerana diajak Arios, dia tidak ingin menjejakkan kaki ke tempat ini. Bukan dia tidak tahu dirinya tidak disukai oleh seorang pun anggota senat yang hadir. Sepatutnya pakciknya yang duduk di kerusinya pada waktu ini. Namun keadaan kesihatan Raja Malique tidak begitu sihat hari ini dan pewaris tunggalnya pula tiada di Crystalissa ketika ini, dia sebagai anak saudara Malique terpaksa menggantikan tempat raja itu.
“Nyawa kami semua di dalam bahaya, Arios. Kau sebagai ketua Majlis Jaksa Pendamai perlu lakukan sesuatu!” Ujar Senator Emaen kuat.
Keadaan menjadi senyap seketika. Rayyu menoleh ke sebelah kanannya. Wajah senator beruban putih itu dipandang tidak berperasaan. Kemudian pandangannya beralih ke arah Arios, yang berada duduk di sebelah kirinya. Wajah ketua Majlis Jaksa Pendamai yang juga ketuanya itu kelihatan tenang.
“Benar Arios! Sudah tiga orang senator mati dibunuh.  Tak kan kau nak tunggu ramai lagi yang mati baru kau hendak ambil tindakan?” Seorang lagi senator yang duduk di kerusi bertentangan dengan Rayyu bersuara. “Entahkan, aku mangsa seterusnya?” Sambung lelaki itu lagi.
Rayyu cuba menyembunyikan senyumannya. Wajah Senator Nafiq yang jelas ketakutan dipandang sekilas. Memang kau patut takut, bisik hatinya.
Suasana menjadi hingar bingar semula. Masing-masing sibuk menyuarakan kebimbangan mereka. Arios di sebelahnya masih tenang seperti tadi. Tetapi Rayyu sudah tidak betah lagi menjadi pemerhati. Dia menarik nafas dalam-dalam.
“Sudah!” Bentak Rayyu sambil menghentakkan tangannya ke atas meja. Semua yang hadir di dalam dewan itu terdiam. Mereka semua memandang ke arah Rayyu yang nampak tegang.
“Kamu semua panggil beta ke mari untuk dengar kamu bertengkar?” Soal Rayyu sinis. Satu persatu wajah mereka yang hadir di dalam dewan itu dipandangnya. Walaupun wajah mereka nampak tidak senaang dengan jerkahan Rayyu tetapi tiada siapa yang berani bersuara. Walaupun mereka bencikan putera raja itu namun rasa takut kepada putera itu lebih menebal. Akhirnya semuanya tunduk membisu.
Rayyu menoleh ke arah Arios. Dia memberi isyarat agar lelaki itu bersuara. Arios mengangguk faham. “Tuan-tuan semua. Saya tahu anda semua risau dengan kejadian yang berlaku kebelakangan ini dan percayalah, pihak majlis memandang serius akan perkara ini. Sebab itulah, kami panggil semua ahli tertinggi Majlis Senat ke sini hari ini untuk membincangakan langkah-langkah yang akan kami ambil,” ujar Arios tenang.
Ahli-ahli Majlis Senat berpandangan sesama sendiri. Kata-kata Arios seolah-olah mengesahkan andaian mereka selama ini. “Jadi benarlah khabar angin yang mengatakan para senator adalah sasaran utama pembunuh itu?” Tanya Senator Nafiq. Wajahnya yang sejak tadi kepucatan bertambah pucat.
“Sejauh mana kebenaran khabar angin itu belum dapat kami pastikan. Namun langkah berjaga-jaga akan diambil,” balas Arios.
“Nyawa kami semua dalam bahaya? Kita akan mati?” Tanya Senator Nafiq lagi.
“Apa yang kau merepek ni, Nafiq?” Bentak Senator Nolan.
Senator Nafiq mulai panik. “Kita akan dibunuh. Kita akan jadi macam Zofan, Tobin dan Zackaria. Kita akan mati! Kita akan mati!” Dia bangun dari tempatnya dan berjalan mundar-mandir di dalam dewan itu. Mulutnya tidak berhenti-henti mengucapkan perkataan mati. Kepanikan Senator Nafiq membuatkan senator-senator yang lain tidak senang duduk. Keadaan mulai menjadi hiruk pikuk dengan suara mereka bertengkar sesama sendiri.
“Tuan-tuan, bawa bertenang,” pinta Arios namun suaranya tenggelam di dalam kebisingan bilik itu.
Rayyu menggeleng perlahan. Jarinya memicit-micit pangkal hidungnya, cuba menenangkan hatinya untuk tidak naik angin. Namun suara pertengkaran itu semakin kuat. Malah ada di antara mereka yang sudah mula bertindak kasar. Dia sudah tidak sabar lagi. Tangannya mencapai pistol laser yang tersemat di pinggangnya.
“Tuanku?” Arios di sebelahnya memegang tangannya, cuba menghalang dia dari melepaskan tembakan.
“Ini saja caranya nak suruh mereka diam!” Balas Rayyu seraya melepaskan tembakan ke udara. Bunyi tembakan disusuli dengan bunyi kaca berderai membuatkan mereka yang berada di dalam dewan itu terdiam. Mata mereka membulat memandang Rayyu dengan pistol laser di tangan.
“Kembali ke tempat masing-masing dan biarkan Tuan Arios habiskan kata-kata dia atau sasaran seterusnya bukan lampu di siling itu, faham?” Dalam suara Rayyu bertanya. Tanpa banyak soal, mereka kembali ke tempat mereka.
“Uruskan mereka. Beta akan berada di bilik menunggu,” ujar Rayyu pada Arios seraya keluar dari dewan itu. Lagi lama dia berada di dalam dewan itu, entah apa lagi yang akan dilakukannya.
***
Rayyu merenung panorama senja dari tingkap bilik menunggu. Bandaraya Crsytalissa diterangi lampu-lampu neon pelbagai warna. Dari bilik itu dia dapat melihat dengan jelas keadaan bandar yang sibuk itu. Kalau melihat pada jam digital di dinding bilik itu, sekarang adalah waktu pulang dari pejabat. Sebab itulah kenderaan bertali arus memenuhi jalanraya dan keretapi laju tidak berhenti-henti melalui landasannya.
Kalau dilihat dengan mata kasar, Crystallissa tidak ubah seperti bandar lain. Namun hakikatnya negara ini hanya ‘cantik’ di permukaannya sahaja sedangkan di sebaliknya penuh dengan kotoran yang menjijikan. Kalau tidak masakan di antara puluhan orang ramai di bawah sana, terdapat anggota keselamatan yang berkawal setiap masa? Kenapa perlu peraturan yang tidak masuk akal diwujudkan? Dan yang paling membuatkan Rayyu marah adalah pemisahan sector yang diwujudkan. Kenapa perlu diwujudkan Sektor Emas dan Sektor Zero? Kenapa penduduk Crystallisa tidak boleh hidup di negara ini tanpa mengira bangsa, keturunan dan status?
Rayyu tersenyum hambar. Jawapannya ada pada pakciknya yang sedang sakit dan senator-senator yang berada di dalam dewan tadi. Selagi mereka ini masih hidup, negara ini akan kekal seperti ini. Dahulu, ketika zaman pemerintahan datuknya, semua ini tidak pernah wujud. Namun sejak Raja Malique menaiki tahkta, segalanya berubah. Sebab itu Rayyu tidak peduli tentang kejadian pembunuhan yang melibatkan senator-senator sejak kebelakangan ini. Baginya mereka wajar mati. Hanya itu sahaja caranya itu mengembalikan kegemilangan Crsytallisa.
“Putera Rayyu.” Sapaan Arios menyentak lamunan Rayyu. Dia berpaling.
“Dah selesai?”
Arios mengangguk. “Seperti yang dikehendaki tuanku raja, setiap senator dan ahli keluarganya akan diberikan pengawal keselamatan dari Majlis Jaksa Pendamai. Sehingga pembunuh itu ditangkap, mereka akan dijaga 24 jam.”
Rayyu ketawa kecil sambil mengadap kembali ke tingkap. “Kita sendiri tidak ada petunjuk angkara siapa semua ini, bagaimana tangkapan hendak dilakukan? Dan sejujurnya, Arios, aku lebih suka kalau pembunuh itu dibiarkan lepas. Senang tugas kita nak bersihkan negara ini kembali!”
Arios tersenyum tawar. “Walaupun patik setuju dengan pendapat tuanku, tapi negara ini masih ada undang-undang. Setiap yang salah patut dibicarakan dulu.”
Rayyu menjeling Arios dengan ekor matanya. “Dibicarakan?” Rayyu ketawa sinis. “Bila Malique dah tidak ada nanti baru kita boleh bercakap tentang perbicaraan, Arios. Selagi dia yang mengetuai kerajaan, selagi itu negara ini akan terus begini,” sambung Rayyu perlahan. “Kalau nenda masih hidup, pasti keadaannya berbeza.” Bisik Rayyu namun masih mampu didengari oleh Arios. Bahu putera itu ditepuk perlahan. Simpati dengan apa yang dirasai pemuda itu.
“Bersabarlah, tuan putera. Patik percaya, keadilan masih wujud di luar sana. Cuma kita perlu lebih banyak bersabar dan cuba sedaya upaya untuk mengubah Crystallisa,” ujar Arios.
Rayyu tersenyum kecil. Pandangannya dilemparkan ke arah lanskap bandaraya Crystallisa di hadapannya. “Mungkin keadilan itu telah pun bermula?”
Arios tersentak. Wajah Rayyu yang sedang tersenyum direnung tajam. Riak wajah itu dan nada bicara putera itu tidak sekata. Belum sempat dia mahu bertanya apa-apa, anak muda itu berpaling untuk keluar dari bilik itu. Soalan Arios mati di dadanya. Namun dalam hati dia berharap agar kata-kata itu tidak mempunyai maksud apa-apa.

********************************************************************
Saya minta maaf pada sesiapa yang menunggu sambungan kisah ini. Kisah ini masih lagi dalam proses penyiapan. Saya pos di sini sebagai salah satu cara untuk naikkan semangat saya agar segara menyiapkannya. Bagi yang ingin tahu, Stanza Terakhir ialah sebuah novel  genre romance fantasi. Sebuah kisah cinta yang berlaku di dalam sebuah dunia ciptaan saya sendiri. Maaf jika ia tidak dapat memenuhi selera semua golongan pembaca. Terima kasih kepada yang mengikuti. ^_^

2 comments:

Lolozh04 said...

sambungan seterusnya :)

Anonymous said...

maaf d trima,sbb sy suke cter nie..hehehee,next yea!