Rumah Fantasi ditubuhkan pada awal 2010 bertujuan untuk menghimpunkan semua penulis-penulis bergenre fantasi, thriller, sains-fiksyen dan seram. Usaha ini dilakukan untuk meningkatkan martabat penulisan berbentuk seperti ini dan saling berkongsi ilmu dan manfaat bersama. Apa yang diharapkan lebih banyak karya-karya seperti ini lebih mendapat tempat di pasaran buku Malaysia suatu hari nanti. Pengasas Bersama RF : Anita Aruszi, Farah Husain dan Zuliana Abuas.

Friday, February 11, 2011

CUPID : Chapter 2

Henrietta

Pagi yang cerah turut mengundang rasa sejuk di dada. Henrietta menarik selimutnya menutup sehingga ke kepala sambil mengomel-ngomel perlahan. Malas hendak bangun katanya. Namun jam loceng di meja yang berdering setelah hampir 10 kali dia menekan butang snooze, menyebabkan dia terus terduduk di atas katil. Jam sudah menunjukkan tepat pukul 7.30 pagi.

Henrietta bangun dan bergegas ke bilik mandi. Mandi, bersiap dan terus keluar dari biliknya sambil menggalas sebuah beg berwarna hijau tua. Mood paginya terbejat melihat rakan serumahnya, Elis berpakaian serba-serbi berwarna pink dari atas ke bawah. Elis duduk di meja makan sambil mengunyah sekeping roti. Henrietta bencikan warna pink.

"Selamat pagi, Henrietta." ucap Elis. "Aku ingatkan kau  tak ada kelas pagi ni."

Henrietta mengangguk. Rambut hitamnya yang panjang melepasi bahu itu kelihatan tidak terurus. Elis selalu merungut dan menyuruhnya supaya berdandan sedikit sebelum ke kelas. Malah, bukan penampilannya sahaja yang selalu dirungutkan. Elis selalu merungut nama panggilan Henrietta terlalu panjang dan dia sepatutnya mempunyai nama yang lebih mudah dipanggil dan disebut.

"Macam Etta ke, Rita ke..?"

Henrietta pula hampir menempeleng kawannya itu setiap kali namanya tidak habis disebut.
"Penat je mama aku beri nama sedap-sedap, sesuka hati kau saja nak pendekkan!" katanya. Dia memang marah jika diberi nama samaran.

Mereka berdua kawan baik yang tinggal serumah sejak dari tahun pertama di universiti lagi. Tetapi kedua-duanya bukan belajar dalam satu jurusan. Elis ialah pelajar jurusan kesusasteraan Jerman manakala Henrietta ialah pelajar jurusan Seni Reka Bangunan.  

Henrietta dan Elis menaiki tren ke kampus. Kedua-duanya sempat sampai sebelum kelas pagi bermula. Henrietta mengambil tempatnya di tengah dewan kuliah bersebelahan dengan seorang sahabatnya, Joan. 

Henrietta memang seorang yang kurang bercakap dan terkenal dengan sifat yang dingin. Gelak tawa pelajar sekelasnya jarang diendahkan dan dia lebih suka membuat halnya sendiri. Kelihatan seperti seorang gadis anti sosial dan kurang bermasyarakat. Sebab itu dia tiada ramai kawan. 

Hakikat sebenarnya, hanya dia seorang yang tahu. Henrietta sebenarnya bukanlah seorang gadis yang begitu pemalu. Dia ceria dengan teman-teman yang rapat dengannya, namun sedikit kurang selesa dengan orang lain terutamanya lelaki. Sejak kecil badannya bertindak balas dengan lelaki. Dia akan mula menjarakkan diri dari mereka dan akan sedaya upaya mengelak dari tersentuh dengan lelaki, walaupun dalam bas ataupun tren.

"Semalam kau pegi kerja part time kau tu ke?" soal Joan secara tiba-tiba membuatkan Henrietta hampir melompat.

"Ya. Aku akan buat over time malam ni memandangkan esok hujung minggu." balas Henrietta sambil mengeluarkan buku dari beg. Dia bekerja separuh masa di sebuah restoran makanan Jepun berhampiran rumah sewanya hampir setiap malam demi menampung perbelanjaan di universiti. Walaupun keluarganya akan memasukkan wang saku ke dalam akaunnya setiap bulan, namun dia masih bekerja dan jarang menggunakan wang dari akaunnya. Dia bercadang ingin mengumpul duit sakunya sebanyak mungkin dan akan digunakan untuk melancong sebaik tamat pengajian nanti.

"Tak penat ke kerja malam?" soal Joan lagi.

Henrietta menggeleng sambil tersengih. "Dapat makan free apa salahnya. Duit gaji dapat lagi."


Seorang lelaki melangkah masuk ke kelas dan duduk selang 3 baris di belakang Henrietta. Gadis itu tiba-tiba terdiam dan tunduk memandang buku yang langsung tidak dibaca. Wajahnya menjadi sedikit hangat. Joan langsung tidak perasan perubahan Henrietta kerana dia sendiri begitu asyik memandang lelaki itu.

"Lex tu boleh tahan kan? Bijak, aktif dan nampak baik." kata Joan sambil tersenyum-senyum.
Henrietta sekadar mengangguk.

Lex Green.. lelaki yang sudah lama berada dalam hatinya. Dia dan Lex sekelas sejak di sekolah menengah lagi, namun mereka tidak pernah berbual. Pernah juga Lex menegurnya menyuruh dia memberi pesanan kepada guru kelas mereka ketika di sekolah tinggi dulu. Dia hanya terangguk-angguk sahaja pada waktu itu.

Dia memang tidak berani berbual dengan Lex. Sebabnya, dia sedar kelemahan yang ada padanya dan tindakan refleksnya terhadap lelaki. Dia kurang yakin Lex akan berasa selesa dengannya dan dia pasti tiada sesiapa akan suka berkawan dengan gadis aneh sepertinya.

Henrietta curi-curi memandang ke arah Lex. Lelaki itu sedang berbual-bual sambil tertawa kecil dengan sekumpulan pelajar lelaki dan perempuan yang mengelilinginya. Kadang-kadang dia sendiri berasa cemburu. Kenapakah dia tak boleh merapati lelaki itu seperti orang lain sedangkan dia terlebih dahulu mengenalinya.

Pintu bilik kuliah terbuka secara tiba-tiba. Seorang lelaki yang tidak dikenali melangkah masuk sambil menggalas sebuah beg di bahu kirinya. Lagaknya kelihatan bergaya. Matanya meliar seolah-olah mencari sesuatu di tempat duduk. Kelas yang tadinya bingit, tiba-tiba menjadi senyap sunyi dengan semua mata memandangnya. Beberapa pelajar perempuan kelihatan berbisik-bisik sesuatu. Henrietta sendiri seperti terpukau memandang lelaki itu.

Lelaki itu secara spontan tersenyum di hadapan kelas sambil berteriak.
"Selamat pagi, semua." Dia mendepangkan tangannya sambil tersenyum lebar. Lagaknya kelihatan kelakar, tapi yang peliknya dia langsung tak nampak pelik, sebaliknya kelihatan sungguh bergaya. Lelaki ini seolah-olah mempunyai aura yang luar biasa.

Tanpa disangka lelaki itu berjalan ke arah Henrietta lalu terus duduk tanpa segan silu di sisinya. Henrietta terkejut, begitu juga dengan Joan disisinya. Lelaki itu sekali lagi tersenyum manis menampakkan lesung pipit yang dalam di pipi kirinya.

"Nama saya Asran." dia memperkenalkan diri.


Monday, February 7, 2011

Revenge 5 : Secret Glose Is Open!



Saliva terjaga dari tidur apabila terdengar gelak ketawa adiknya dan ibunya di halaman rumah. Cahaya matahari memancar masuk ke dalam biliknya melalui tingkap yang di buka oleh ibunya. Saliva menggaru-garu lengan kirinya sambil menguap. Selepas itu dia menghirup udara segar yang berada di sekelilingnya. Tangannya mencapai gambar yang berada di bawah bantal.

“Selamat pagi bonda dan ayahanda,” Saliva menarik senyum sambil mengusap gambar tersebut. Dia akan menabahkan hatinya untuk meneruskan hidupnya. Dia juga akan membalas dendam kepada The Dark Devils! Itu azamnya dan dia akan menunaikan azamnya itu suatu hari nanti. Kicauan burung menyedarkannya. Dia bingkas bangkit dari katil dan mencapai pakaian dan tualanya.

*****

Saliva menyisip air di hadapannya. Kini, rambutnya sudah panjang melepasi bahu. Rambut tersebut di biarkan lepas supaya dapat menikmati udara yang segar. Dia kini duduk di halaman rumah sambil memerhatikan Zella dan Kitty yang sedang bermain. Ibunya pula sedang menyiapkan tugasan yang diberi oleh ketuanya. Dia juga kurang pasti kerja ibunya walaupun kini sudah 4 tahun berlalu. Saliva memerhatikan adiknya yang kian membesar. Umur adiknya itu sudah mencecah 9 tahun. Mata Saliva mula beralih ke arah Kitty yang juga sudah mula membesar. Rantai yang mempunyai batu berwarna hijau masih lagi tergantung di leher Kitty.

Kini, sudah 3 tahun berlalu.. Hidupnya mula berubah. Dia mula belajar erti hidup yang sebenarnya. Hidup yang penuh dugaan, cubaan dan ujian. Dia harus menempuh segala dugaan, cabaran dan ujian untuk menjadi seperti sekarang. Seorang yang tabah dan berani. Sudah 3 tahun berlalu, sudah 3 tahun jugalah dia cuba berbagai cara untuk membuka Secret Glose. Dalam pada masa yang sama, dia juga mula belajar untuk mengawal kuasanya dan mempelajari beberapa mantera yang pernah dipelajari sewaktu belajar dengan ayahandanya.

Bondanya tidak membenarkan dia mempelajari mantera sebelum tiba waktu yang sesuai. Tetapi kini, kerana kedegilan dia dan kebaikan ayahanda dia, dia berasa bahawa memang tepat pilihannya untuk belajar mantera-mantera tersebut. Setiap hari dia berlatih seorang diri di dalam biliknya pada waktu pagi dan tengah malam kerana tidak mahu diketahui oleh ibu dan adiknya. Disebabkan dia sering berlatih, selera makannya juga kian menaik. Ibunya pelik melihat dia selalu sahaja kebuluran seperti tidak pernah makan nasi. Sehari 4 hingga ke 5 pinggan dia makan. Di tambah dengan snack ringan.

“Kakak!!” Lamunan Saliva terganggu kerana jeritan Zella yang agak kuat. Saliva memandang Zella yang sedang melambai-lambai ke arahnya. “Jom  main!” Jerit Zella lantang. Saliva menggelengkan kepalanya tanda tidak mahu. Melihat tindak balas Saliva, Zella berlari mendapatkan kakaknya dan menarik tangan kakaknya. Dia merengek-rengek meminta kakaknya bermain sama.

“Yalah, yalah. Nak main apa?” Akhirnya Saliva terpaksa mengalah dengan permintaan adiknya itu. Lagipun adiknya hanya mahu bermain dengannya sahaja. It is not a big deal after all. Fikir Saliva.

“Kita nak main apa ni?”
“Kejar-kejar. Akak kejar Zella. Tapi akak kena kira sampai 10 baru boleh kejar.” Saliva tercengang. Kejar-kejar? Rasa hendak menangis apabila mendengarnya.

“Kenapalah kau ajak akak kau yang dah matang ni main kejar-kejar, wahai adik yang tersayang?” Saliva bermonolog di dalam hati. Dia menghela nafas perlahan-lahan dan menganggukkan kepalanya.

“1,2,3 ......” Saliva mula mengira dengan kuatnya. Zella berlari jauh daripada Saliva agar dia tidak dapat di tangkap oleh kakaknya. Kitty turut berlari membuntuti Zella.

“10!” Saliva habis mengira lantas berlari mengejar adiknya yang sudah jauh berlari. Setelah 5 minit mengejar adiknya namun tidak dapat tangkap, Saliva terjatuh dalam kolam apabila dia tersepak batu besar yang berada di sekitar kolam tersebut. Habis basah seluruh badannya. Saliva berenang ke tepi kolam dan mula memanjat keluar dari kolam tersebut. Zella sudah ketawa di hujung meja yang di duduki olehnya sebelum mereka bermain permainan yang bodoh ni.

Saliva berjalan menuju ke dalam rumah dan masuk ke dalam biliknya. Zella mengikutinya dari belakang bersama-sama dengan Kitty yang setia mengikuti Zella. Zella duduk di atas katil kakaknya sementara menunggu kakaknya membersihkan diri. Kitty pula sedang berjalan-jalan di dalam bilik Saliva.

*****

Saliva baru sahaja selesai membersihkan diri apabila dia melihat buku Secret Glose tidak di lilit oleh batang pokok Mary Glose. Terjerit Saliva dengan penuh kesukaan. Dia berlari mendapatkan buku tersebut dan menyelak halaman buku itu. Zella terjaga apabila mendengar jeritan kakaknya, Saliva, begitu juga Kitty yang tidur di sebelah Zella.

“Kenapa kakak?” Tanya Zella dengan malasnya. Dia berasa pening apabila bangun dari tidur. Mungkin kerana dia tidak biasa tidur petang.

Saliva menunjukkan buku Secret Glose pada Zella. Zella mengerutkan dahinya. Dia hanya nampak buku Secret Glose itu sahaja. Tetapi apabila dia melihat Saliva menyelak buku tersebut dengan lajunya, dia cepat-cepat bangun dari katil empuk itu.

“Macam mana buku ni terbuka?” Tanya Zella dengan hairan. Saliva mengeleng-gelengkan kepalanya, “Kakak pun tidak tahu. Bila akak selesai mandi, kakak tengok batang pokok Mary Glose tak melilit buku ni.”

“Habis tu, macam mana buku ni boleh terbuka? Mana ada sesiapa dekat dalam bilik ni kecuali kita berdua ..... dan juga Kitty,”  Saliva hanya mendiamkan diri mendengar ayat yang meluncur keluar dari bibir Zella. Dia terlalu asyik menyelak buku tersebut. Tiba-tiba...

“Betul kata Zella, halaman belakang banyak yang kosong,” ujar Saliva dengan perlahan. Tangannya masih lagi menyelak buku tersebut.

“Haa.. Zella dah beritahu tapi tak percaya. Tengok.. kan betul cakap Zella. Mata Zella tak mungkin salah tengok. Itulah Zella dah beritahu kakak 3 tahun lepas. Baru sekarang kakak nak percaya,” balas Zella dengan bangga apabila dia dapat membuktikan bahawa matanya tidak salah tengok. Saliva pula hanya mampu mengerutkan dahinya dan mengetap bibir. Dia berjalan dengan perlahan menuju ke katil sambil memandang buku yang berada di pegangannya itu. Dia duduk di atas katil tersebut dengan perlahan.

“Pelik.. Kenapa halaman belakang banyak yang kosong? Sepatutnya semua halaman ada tulis sesuatu,” guman Saliva perlahan. Zella hanya memerhatikan kakaknya, manakala Kitty begitu asyik menggeselkan badannya pada kaki Zella.

“Tak mungkin buku ni, buku palsu. Tak mungkin. Buku ni hanya ada satu sahaja di dunia dan buku yang menjadi rebutan. Bonda yang simpan buku ni. Jadi tak mungkin buku ni, buku.... palsu,” Pening kepala Saliva mencari jawapan di atas sebab kekosongan halaman di belakang buku itu.

*****

“Macam mana buku ni tidak di lilit? Kenapa halaman belakang buku ni kosong?” Dua soalan tersebut berlegar-legar di dalam kepala Saliva. Dia berjalan ke hulu-hilir memikirkannya.

“Kakak, boleh duduk tak? Macam kucing nak beranak aje kakak ni. Kalau ya pun nak cari jawapan, duduklah dulu, fikir! Ini tidak, ke hulu hilir berjalan. Mahu roboh lantai ni nanti sebab tak larat nak tampung berat kakak,” Zella berasa rimas melihat kakaknya yang tak senang duduk dari tadi. Saliva terus duduk di atas lantai apabila adiknya menegurnya. Dia masih lagi belum dapat jawapan yang di carinya.

“Ok.. Masa Zella tidur tadi, ada tak sesiapa masuk bilik akak?”

“Akak? Kita hanya berdua aje dekat dalam rumah ni. Ibu pula di tempat kerjanya,”

“Zella yakin ke tak ada sesiapa yang masuk bilik akak tadi?”

“Ya, Zella yakin. Lagipun selain kita berdua, Kitty pun ada sekali dekat dalam bilik akak. Dia merayau-rayau dekat dalam bilik kakak tadi.”

Tiba-tiba, Saliva tepuk tangan, “Entah-entah.. Kitty tu kunci untuk membuka buku Secret Glose.”

“Ish.. apa yang akak merepek ni? Kitty ni hanya kucing yang berbaka Zenon. walaupun dia unik daripada semua kucing lain, tapi dia ni hanya haiwan peliharaan Zella. Kitty mana ada kuasa untuk membuka buku tu,” bantah Zella apabila kakaknya mengatakan bahawa Kitty adalah kunci. Kelakar!

“Habis tu, siapa lagi yang ada dekat rumah selain kita bertiga?” Zella terdiam mendengar soalan Saliva. Dia tidak tahu hendak cakap apa.

“Tapi Kitty hanya seekor kucing yang unik. Tak lebih dari tu. Lagipun tak mungkin haiwan merupakan kunci untuk sesuatu benda. Kelakarlah akak, kelakar.”

“Disebabkan dia unik, kakak yakin dia merupakan kunci untuk membuka buku ni,” Saliva menunjukkan buku yang terbuka di meja. Zella hanya memandang sahaja. Buku tersebut langsung tidak di tutup oleh kakaknya kerana takut di lilit lagi sekali.

“.... dan disebabkan tidak ada orang buatlah, bonda buat begitu. Supaya kuncinya lain daripada lain,” sambung Saliva, mempertahankan pendapatnya.

“Kalau Kitty ni kunci untuk buka buku tu, Zella nak kakak buktikan,” balas Zella sambil memberi Kitty kepada kakaknya. Saliva menyambut Kitty dan dia mengusap lembut bulu Kitty yang lebat itu.

“Kakak tak dapat buktikan. Mungkin suatu hari nanti akak dapat buktikan,” ujar Saliva dengan lemah.

Sunday, February 6, 2011

Stanza Terakhir : Bab 1


pic

Stesen MRT Metro, Bandaraya Crysta...

Sebaik sahaja dia melangkahkeluar dari perut kereta api, angin sejuk pada pagi itu menampar lembut pipinya yang putih kemerahan. Badannya menggeletar sedikit menahan kesejukkan. Ezara menggosok-gosok kedua belah tapak tangannya untuk menghasilkan sedikit haba untuk badannya. Dia sedikit menyesal kerana tidak mendengar pesanan kawan baiknya yang menyuruhnya memakai sarung tangan sebelum keluar rumah tadi.

Keadaan di stesen kereta api laju itu hingar bingar. Pemandangan begitu memang biasa pada waktu pagi begini memandangkan mode pengangkutan utama penduduk Crystallisa ialah kereta api laju. Stesen MRT Metro merupakan stesen utama yang terletak betul-betul di tengah bandaraya jadi jumlah pengguna kereta api laju di sini lebih ramai berbanding dengan stesen-stesen yang lain.

Di celah-celah orang ramai yang pantas bergerak menuju ke destinasi masing-masing, Ezara menghayunkan langkahnya ke sebuah kiosk yang menjual kopi dan donut berhampiran pintu masuk utama Stesen MRT Metro. Kehadirannya di hadapan kiosk itu disambut dengan senyuman mesra pemiliknya, Dori.

“Selamat pagi, Cik Ezara.” Sapa Dori mesra.

“Selamat pagi, Dori. Beri saya kopi satu, ya.”

“Baiklah. Cik kena tunggu sekejap ya. Saya nak siapkan pesanan cik berdua ni,” balas Dori sambil memandang ke arah dua orang wanita yang berada di sebelah Ezara.

Ezara mengangguk faham sambil memandang ke arah wanita-wanita di sebelahnya. Dia tersenyum ke arah mereka namun dibalas dengan jelingan tajam. Mereka berbisik sesama sendiri sambil memandang permukaan tangan kanan Ezara yang bertanda dengan 5 garis hitam. Senyuman dibibirnya mati. Ezara mengetap bibir menahan rasa. Melihat permukaan tangan wanita itu yang kosong, Ezara cukup faham dengan jelingan yang diterimanya tadi.

“Musim sejuk dah nak tiba. Kau dah simpan stok makanan ke?” Tanya salah seorang daripada wanita itu kepada rakannya.

“Adalah sikit-sikit. Aku bukan mampu nak beli banyak-banyak pun. Gaji dahlah sedikit. Harga barang pula makin melonjak naik!” Balas rakannya dengan suara yang sengaja dikuatkan.

“Aku pun macam itu jugak. Harap-haraplah musim ini tak ada ribut teruk macam musim lepas sampai kita terpaksa duduk di dalam rumah berminggu-minggu. Kalau tidak, bukan kita mati sebab musim sejuk, tapi sebab kebuluran!”

“Hai...dah nasib orang miskin macam kita ni begitu. Orang-orang Sektor Emas itu lainlah. Boleh pakai baju tebal-tebal, pasang pemanas di dalam rumah. Makanan pun penuh satu stor. Selamatlah mereka.” Perli wanita itu.

Berdesing telinga Ezara mendengar perbualan mereka. Serta merta badannya menjadi panas namun dia tidak mampu berkata apa-apa. Bukan kerana dia takut, tetapi sebab dia tahu apa yang dikatakan ada benarnya. Ezara memandang ke arah Dori. Segaris senyuman pahit terpamer di bibir gadis itu. Dori yang faham dengan ketidakselesaan yang dirasai Ezara segera menghulurkan dua bekas berisi kopi dan sebungkus beg kertas berisi donut ke arah wanita-wanita itu.

“Cik Ezara janganlah terasa hati pula dengan kata-kata mereka tadi, ya. Mereka tu bukan apa. Ekonomi sedang meleset sekarang ni, jadi mood semua orang tak bagus,” ujar Dori seraya ketawa.

Ezara tersenyum kecil. “Saya faham. Saya tak marahkan mereka pun. Cuma...kalau diikutkan tak semua orang di Sektor Emas begitu kan?”

Dori ketawa kecil sambil melirik ke arah tangannya yang juga mempunyai garisan seperti tangan Ezara. Bezanya garisan Dori hanya 3 berbanding Ezara. Belum sempat dia menjawab, mereka dikejutkan dengan laungan kuat budak penjual surat khabar.

“Berita terkini...berita terkini...Tuan Jerome mati dibunuh!”

Laungan budak itu mengundang rasa kurang senang di hati Ezara dan Dori. Sambil menghulurkan kopi ke arah Ezara, wanita itu bersuara perlahan. “Cik Ezara tahu tak tentang khabar angin yang sedang bertiup sekarang?”

“Khabar angin tentang apa?” Soal Ezara hairan.

Dori bergerak keluar dari tempatnya menuju ke arah Ezara. Perlahan wanita itu berbisik di telinga Ezara. “Dengar khabar, pembunuhan-pembunuhan melibatkan orang-orang besar di sini adalah angkara Shadow Clan!”

Ezara tersentak. Riak mukanya nyata terkejut mendengar nama yang sudah bertahun-tahun tidak didengarnya itu. “Mana awak tahu?”

“Di Sektor Zero dah heboh tentang perkara ni. Di sini saja orang diamkan lagi. Tiada siapa berani bercakap sebab takut.” Jawab Dori. Dia kembali semula ke bahagian dalam kiosknya untuk melayan tiga orang pelanggan yang baru sampai ke kiosk kopinya.

Ezara terdiam. Dia menunjukkan isyarat mahu berlalu kepada Dori sebelum bergerak ke arah pintu besar di sebelah kanannya. Sambil berjalan menuju ke akademi tempatnya mengajar, fikiran Ezara ligat memikirkan kahabar yang baru didengarnya dari Dori sebentar tadi. Hatinya tertanya-tanya mengapa kumpulan itu muncul kembali. Setahu Ezara, Shadow Clan, kumpulan pengganas yang terbesar di Crystallisa itu telah lama terkubur. Ketuanya sudah mati dibunuh hampir sepuluh tahun lalu. Orang-orang kanan kumpulan itu juga sudah ditangkap malah ada yang sudah dijatuhkan hukuman mati oleh pihak pemerintah. Serpihan anggotanya juga sudah dibuang negara dan dihantar jauh dari Crystallisa.

Jadi macamana pula nama itu boleh muncul kembali? Ada orang cuba hidupkan kembali kumpulan itukah? Soal Ezara dalam hati.

“Arghh... mungkin ini perbuatan orang-orang yang sengaja mahu menimbulkan masalah!” Ngomelnya sendiri sambil menggeleng. Mungkin pembunuhan itu dilakukan pembunuh bersiri hanya untuk mendapat wang. Dengan keadaan ekonomi Crystallisa yang semakin teruk sekarang, orang sanggup buat apa sahaja demi duit termasuklah membunuh, fikirnya lagi sampil mempercepatkan langkahnya.

***

Neo berdiri tegak bagaikan patung di tepi sebuah kiosk informasi dihadapan sebuah pintu gerbang yang tertera perkataan Akademi Crystallisa. Wajahnya dingin tidak berperasaan. Sorotan mata dan senyuman dari gadis-gadis remaja berpakaian seragam merah putih yang dilontarkan ke arahnya tidak diendahkan. Bukan gadis-gadis itu yang dicari tetapi orang lain. Dari sebalik kaca mata hitamnya dia memerhatikan pelajar-pelajar yang berpusu-pusu melalui pintu gerbang itu. Matanya melirik ke arah jam besar di bangunan menara akademi itu. Tinggal kurang lima minit lagi sebelum sesi persekolahan bermula namun orang yang dicari masih belum muncul. Hatinya mula resah. Dia tidak mahu misinya gagal. Demi sahabatnya dia perlu menemui orang itu.

Tangannya dimasukkan ke dalam poket jaket kulitnya. Sekeping gambar yang sudah hampir renyuk dikeluarkan. Imej seorang gadis sedang tersenyum diampaing seorang lelaki yang tertera di atas gambar itu direnung seketika sebelum dia kembali memerhatikan pintu gerbang itu. Kelibat seorang wanita muda memakai jaket labuh berwarna biru yang sedang berlari-lari anak ke arah pintu gerbang itu membuatkan nafasnya terhenti seketika. Setiap inci wajah itu diperhatikan dalam-dalam.

“Sama!” Bisiknya. Kemudian wanita itu tersenyum ke arah sekumpulan pelajar yang menegurnya. Melihatkan senyuman wanita itu membuatkan dia terkesima. Dia memandang semula gambar ditangannya. “Memang dia!” Ujarnya perlahan.

Neo kembali memerhatikan wanita itu sehingga tubuh wanita itu hilang dari pandangan. Alat perhubungan di dalam poket jaketnya dikeluarkan. Butang ‘1’ ditekan. Tidak lama kemudian kedengaran suara garau seorang lelaki di hujung talian.

“Aku dah jumpa dia!” Beritahunya teruja.

“Kau yakin itu dia?” Tanya suara garau itu.

“Tak syak lagi. Walaupun dia nampak lebih dewasa namun senyuman itu masih sama!”

Suara di hujung talian itu terdiam.

“Grim?” Panggil Neo. Kebisuan sahabatnya itu sedikit merisaukan dirinya. “Grim, kau ok?”

“Kalau itu dia maknanya kita semakin hampir, Neo.” Balas Grim perlahan.

Neo tersenyum kecil. “Ya, Grim. Kita semakin hampir. Tak lama lagi segalanya akan terjawab dan kau akan temui kebahagian kau semula!” Balas Neo. Aku akan pastikan kau menemuinya Grim. Walaupun aku akan terkorban aku akan pastikan kau menemuinya semula, Grim. Aku bersumpah! Ikrar Neo dalam hati.

Friday, February 4, 2011

CUPID : Chapter 1

Bukannya aku nakkan kerja macam ni, tapi aku sudah tercipta macam ni. Aku bencikannya sebab aku bencikan manusia. Mereka makhluk istimewa, ada kehidupan yang baik tetapi langsung tak pandai nak menghargai apa yang mereka ada. Mereka hanya tahu merungut dan bermasam muka, tapi langsung tak mau berusaha. Cuma mengharapkan tuah jatuh kelepuk di depan mata. 

Cupid selalunya sekadar menjadi pemerhati perhubungan antara manusia dan langsung tak terlibat dengan mereka secara langsung. Fizikal kami bukannya seperti yang selalu dibayangkan oleh manusia. Kami bukannya budak-budak kecil bersayap pakai baju tak cukup kain dan memanah orang tak tentu hala. Fizikal kami macam manusia biasa, ada dua jantina dan tinggal di satu dunia yang tak terjangkau pemikiran manusia biasa. Kami juga ada kelas society kami sendiri, yang mana aku ni masih menjadi pegawai bawahan dan menurut arahan (yang selalunya aku abaikan). Manusia tidak boleh melihat kami, tetapi, kami boleh membuat mereka boleh melihat kami jika perlu. 

Modus operandi kami seperti yang dicakap tadi, bukannya guna anak panah cinta atau love potion ataupun serbuk pixie. Kami makhluk bertamadun dan menggunakan cara bertamadun dan halus. Kami ada soft skills yang baik, dan kami boleh menjadi sahabat yang baik. Kadang-kadang ada antara cupid yang akan menyamar menjadi manusia dan menjadi penghubung antara pasangan yang masih belum berjumpa atau menerima satu sama lain. Pasangan itu pula mestilah yang ditakdirkan sudah berjodoh antara satu sama lain. Rekodnya akan ada tercatat dalam fail-fail yang masih bersepah di atas meja Tuan Cassius tu.


Pertama kali aku membaca profil klien aku yang sebegini. Gadis itu, Henrietta Miles seorang gadis yang agak pendiam. Dia bukannya pasif tetapi, dia mempunyai satu masalah yang aku sendiri pening kepala memikirkan cara untuk menyelesaikannya. Dia seorang yang sangat sensitif dengan makhluk berlainan jantina (lelaki) dan badannya akan menolak lelaki secara spontan setiap kali ada lelaki yang mendekatinya. Seolah-olah dia mempunyai kutub magnet yang sama. Senang cerita, dia tak selesa berdekatan dengan lelaki, dia akan rasa mual dan tak sedap badan sampailah lelaki tu mulai bosan dengan dia. Memang kesian...

Aku cuba memeriksa kalau-kalau dia lebih cenderung terhadap sesama jantina, dan nasib baiklah tidak. Henrietta ni sebenarnya sangat menyukai seorang lelaki yang sememangnya ditakdirkan berjodoh dengan dia. Mereka berdua sekelas sejak di sekolah menengah tapi langsung tak pernah berbual. Dia hanya memandang lelaki itu yang bernama Lex Green dari jauh sahaja sepanjang masa selama hampir 10 tahun. Dan, perasaan dia langsung tak pernah berubah. 

Aku sendiri pun rasa pelik kenapalah mereka berdua ni boleh berjodoh seolah-olah di jari kelingking masing-masing disambung dengan benang merah, sedangkan si gadis ini seorang magnet penolak dan si lelaki itu pulak mungkin langsung tak menyedari kewujudan gadis itu. Mungkin bagi Tuan Cassius, tugas aku kali ni adalah untuk menghubungkan kedua-dua mereka ialah tugasan tersusah bagi aku. Ceh... tak ada apa yang mustahil untuk aku buat di dunia ni! Aku, Asran si Cupid yang hebat!

Dengan segera aku berjumpa Tuan Cassius. "Saya setuju untuk terima tugasan ni. Kalau saya gagal, tuan boleh pecat saya dan hantar saya ke tempat lain. Tapi, kalau saya berjaya, tuan mesti bersihkan nama saya dan benarkan saya buat tugasan yang saya mahukan saja." kataku penuh semangat.

Tuan Cassius memandangku seketika. Dia tersenyum. "Baiklah, saya setuju. Kamu boleh pergi ke dunia manusia sebaik sahaja kamu membuat persiapan."

"Okey. Saya bercadang akan menyamar menjadi manusia dan belajar di tempat yang sama dengan mereka berdua." 

Tuan Cassius mengangguk. Beliaulah yang akan menguruskan hal-hal seterusnya seperti mencipta atau memadamkan memori manusia serta mencari tempat tinggal untukku di dunia manusia. Tugasan baruku akan bermula tak lama lagi, demi membuktikan aku bukan seorang yang gagal. 


Sebelum aku keluar ke dunia manusia beberapa hari kemudian, Tuan Cassius berpesan sesuatu kepadaku yang seharusnya aku ingat selama-lamanya.

Wednesday, February 2, 2011

CUPID : Prolog

Perangai dan sifat manusia memang dinamik. Selalu berubah-ubah. Sekejap yang ini, sekejap yang itu. Sekurang-kurangnya, itulah apa yang aku nampak setakat ini. Benci pun ada, tapi itu hak individu. Kalau aku menganggu, namanya mencabul hak asasi manusia pula. 

Tetapi, ada seorang yang kelihatan pasif dan statik. Dari awal sampai akhir, dia tidak pernah berubah. Seolah-olah tak pernah bosan dengan apa yang dirasainya. Aneh, memang aneh. Selalunya, manusia mudah berputus asa. Bila sekali dua mencuba tapi tak berhasil, pandangan manusia mula beralih. Bagaikan lalang yang ditiup angin. Tapi dia... sejak beberapa tahun dahulu, hatinya keras seperti batu. Seolah-olah dia telah menetapkan matlamatnya di situ dan sedikitpun tak akan tergugah walaupun masa akan berlalu. 

Menariknya profil budak ni. Sebab itulah aku bersetuju untuk menerima tugasan kali ini tanpa mengeluh panjang dan cubaan melarikan diri. Aku bukanlah pemalas, tetapi, aku bagaikan Sherlock Holmes yang hanya menerima kes-kes menarik sahaja. Dan dia ni... memang menarik perhatianku.


Beberapa hari lalu.... 

Aku sedang berseronok menikmati makanan di kafetaria apabila Jim memanggilku. Katanya aku dipanggil Tuan Cassius. Aku mengeluh berat. Mau sahaja aku melarikan diri pada waktu itu juga, tetapi mengenangkan reputasi burukku sebagai lelaki yang suka melarikan diri apabila dipanggil pihak atasan dan hampir-hampir diturunkan pangkat membuatkan niatku terbantut. Tapi, otakku ligat berfikir bagaimana caranya untuk mengelak. Bukan apa, aku cuma bencikan kerjaku ini. Malah, aku sangat-sangat menyampah dengan apa yang selalu aku buat di sini.

"Okey, nanti aku jumpa dia." kataku sambil menghayunkan tangan menghalau Jim dari meja makanku. Tapi Jim langsung tidak berganjak. Dia seperti menantiku selesai makan. Aku mengangkat kepala memandangnya dengan curiga. Aku tahu Tuan Cassius pasti menyuruhnya memastikan aku akan berjumpa dengannya. 

"Yelah.. yelah! Aku pergi sekarang." balasku malas.

Bilik Tuan Cassius berada jauh di tingkat 15 dengan pintu besar berwarna perak tersergam di hadapannya. Tanpa mengetuk terlebih dahulu, aku masuk ke biliknya. Kelihatan dia sedang duduk di meja kerjanya yang dilitupi dengan beratus-ratus fail dan buku. Dia mengerlingku tajam.

"Adakah bilikku tak punyai pintu, Asran?" tanyanya lantang. Cara percakapannya yang bagaikan orang kuno itu membuatku hampir tertawa. Untuk seketika aku tidak memahami apakah maksud ayatnya itu.

Dia mengeluh kecil sambil memanggilku dari celah-celah fail yang bertimbun itu. Aku berjalan menghampirinya dan duduk di kerusi.

"Berapa banyak tugasan yang diserahkan kepadamu bulan ini, Asran?"soalnya.

Aku berfikir sejenak. "Errr... sepuluh."

"Dan berapa banyak tugasan yang dilakukan?"

"Dua." balasku sambil merenung siling memikirkan tugasan yang diselesaikanku itu. Aku tersengih memandang Tuan Cassius yang memandangku dengan muka yang menyinga.

"Kamu tahu bukan kita ada jadual yang perlu diikuti? Kita punya KPI kita sendiri." Tuan Cassius menyoal berkenaan dengan Key Performance Index yang selalu diikuti oleh pegawai yang bertugas. 

Aku mengangguk perlahan. 

Dia hanya menggeleng kepala sambil mengeluh. Dicampakkan sebuah fail di hadapanku. Bagus betul!! Sekarang aku dah ada 9 tugasan semula, yang entah bila aku akan laksanakan.

"Saya beri tempoh sebulan untuk kamu buat kerja ini. Cuma satu fail ini. Kalau gagal, fail ini akan jadi kerja terakhir kamu, dan saya akan pastikan kamu dihantar ke tempat yang lebih sesuai dengan pemalas seperti kamu ini." kata Tuan Cassius bernada sedikit keras dan kedengaran mengugut. 

"Kerja kamu yang lain akan diserahkan kepada pegawai lain. Kamu cuma perlu tumpukan perhatian untuk fail ini sahaja."

Aku memandangnya seperti tidak percaya. Betul ke tidak, bos aku ni? Tetapi, dia tak kelihatan seperti tengah bergurau. Aku sekadar mengangguk lalu mengambil fail itu tanpa membukanya. 



Seperti dijangka aku hanya membuka fail itu selepas 3 hari. Aku bukannya malas sebenarnya, tapi aku adalah salah seorang yang kurang bernasib baik sebab berkecimpung dalam karier yang bukan menjadi pilihan. Aku mengambil masa hampir setengah jam meneliti fail itu. Profil klien, aku belek sedalam-dalamnya.

Klienku, seorang gadis berusia awal 20-an, sedang menuntut di universiti. Seorang gadis yang berwajah cukup biasa namun masih kelihatan manisnya. Berambut panjang dan berfesyen langsung tidak menarik. Pendek kata, jika diberi rating, gadis ini selayaknya mendapat rate C+. Okeylah tu.. masih lulus.

Si lelakinya, juga kelihatan biasa (jika dibandingkan dengan aku). Berwajah agak serius tapi berprofil agak tinggi. Seorang intelektual dan atlet yang handal. Muka macam skema sikit, tetapi agak bergaya dan aku pasti pasti menjadi kegilaan gadis juga. 

Hmm... susah ni. Gadis biasa dan lelaki yang agak cool. Ini dah macam drama Korea. Jangan salah sangka, bukannya aku sukakan sangat drama Korea, tapi aku sekadar menonton untuk mendapatkan inspirasi tugasan-tugasan aku. 

Kalau nak diikutkan hatiku, malas aku hendak menerima tugasan begini. Malangnya, ini dah menjadi tugasan kami menguruskan pasangan-pasangan yang ditakdirkan berjodoh, namun tak akan menjadi tanpa bantuan kami. 

Ya... sudah semestinya anda semua sudah dapat meneka apakah pekerjaanku sekarang, bukan? Bukannya pembunuh upahan ataupun yakuza. Tapi, aku ialah CUPID.